Latar belakang
COVID-19 adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 yang mudah merebak dalam kalangan orang serupa dengan cara selesema merebak. Kebanyakan orang dengan COVID-19 mempunyai penyakit respiratori ringan hingga sederhana, dan sesetengah mungkin tiada gejala (jangkitan asimptomatik). Yang lain mungkin mengalami gejala yang teruk dan memerlukan rawatan pakar dan penjagaan intensif.
Sistem imun orang dengan COVID-19 respon kepada jangkitan dengan membentuk protein yang boleh menyerang virus (antibodi) dalam darah mereka. Ujian-ujian untuk mengesan antibodi dalam darah orang mungkin menunjukkan sama ada mereka dijangkiti COVID-19 semasa atau terdahulu.
Mengapa ujian tepat penting?
Ujian yang tepat membolehkan pengenalan orang yang mungkin memerlukan rawatan, atau yang perlu mengasingkan diri untuk mencegah penyebaran jangkitan. Kegagalan mengesan orang dengan COVID-19 semasa (keputusan negatif palsu) boleh menangguhkan rawatan dan terus berisiko menyebarkan jangkitan kepada orang lain. Pengenalpastian COVID-19 yang tidak tepat apabila ia tidak ada (hasil positif palsu) boleh menyebabkan ujian lanjutan, rawatan, dan pengasingan orang dan kontak rapat yang tidak perlu. Pengenalpastian tepat orang yang pernah dijangkiti COVID-19 adalah penting dalam mengukur penyebaran penyakit, menilai kejayaan intervensi kesihatan awam (seperti pengasingan), dan berpotensi dalam mengenal pasti individu dengan imuniti (seandainya antibodi di masa depan menunjukkan imuniti).
Untuk mengenal pasti keputusan positif palsu dan negatif palsu, keputusan ujian antibodi dibandingkan dalam kalangan orang yang diketahui ada COVID-19 dan diketahui tiada COVID-19. Peserta kajian dikelaskan sama ada mereka diketahui atau tidak diketahui dijangkiti COVID-19 berdasarkan kriteria yang dikenal sebagai 'standard rujukan'. Banyak kajian menggunakan sampel yang diambil dari hidung dan tekak untuk mengenal pasti orang dengan COVID-19. Sampel menjalani ujian yang disebut ‘reverse transcriptase polymerase chain reaction (RT-PCR)’. Proses ujian ini kadang-kadang boleh terlepas jangkitan (keputusan negatif palsu), tetapi ujian tambahan dapat mengenal pasti jangkitan COVID-19 dalam kalangan orang dengan keputusan RT-PCR negatif. Ini termasuk mengukur gejala klinikal, seperti batuk atau suhu tinggi, atau ujian ‘pengimejan’ seperti sinar-X dada. Orang yang diketahui tiada COVID-19 kadang-kadang dikenal pasti dari sampel darah tersimpan yang diambil sebelum COVID-19 wujud, atau dari pesakit dengan gejala respiratori yang disebabkan oleh penyakit lain.
Apakah kajian ulasan ini?
Kajian ini melihat tiga jenis antibodi, IgA, IgG dan IgM. Sebilangan besar ujian mengukur IgG dan IgM, tetapi beberapa mengukur satu antibodi tunggal atau gabungan ketiga-tiga antibodi tersebut.
Paras antibodi naik dan turun pada masa yang berlainan selepas jangkitan. IgG adalah yang terakhir naik tetapi bertahan paling lama. Paras antibodi biasanya paling tinggi beberapa minggu selepas jangkitan.
Sesetengah ujian antibodi memerlukan peralatan makmal khusus. Yang lain menggunakan alat pakai buang, serupa dengan ujian kehamilan. Ujian-ujian ini boleh diguna di makmal atau di mana sahaja pesakit berada (point-of-care), di hospital atau di rumah.
Kami ingin mengetahui sama ada ujian antibodi:
- cukup tepat untuk mendiagnosis jangkitan dalam kalangan orang dengan atau tanpa gejala COVID-19, dan
- boleh digunakan untuk mengetahui sama ada seseorang sudah dijangkiti COVID-19.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang mengukur ketepatan ujian antibodi berbanding dengan kriteria standard rujukan untuk mengesan jangkitan COVID-19 semasa atau terdahulu. Kajian-kajian boleh menilai sebarang ujian antibodi berbanding dengan sebarang piawaian standard. Orang boleh diuji di hospital atau komuniti. Kajian-kajian boleh menguji orang yang diketahui ada - atau tiada - atau disyaki dijangkiti COVID-19.
Ciri-ciri kajian
Kami menemui 54 kajian yang relevan. Kajian-kajian berlangsung di Asia (38), Eropah (15), dan kedua-dua di Amerika Syarikat dan China (1).
Empat puluh enam kajian memasukkan orang di hospital dengan hanya disyaki atau disahkan dijangkiti COVID-19. Dua puluh sembilan kajian membandingkan keputusan ujian dalam kalangan orang dengan COVID-19 dengan keputusan ujian orang yang sihat atau orang dengan penyakit lain.
Tidak semua kajian memberikan perincian mengenai usia dan jantina peserta. Seringkali, kami tidak dapat mengetahui sama ada kajian menilai jangkitan semasa atau terdahulu, kerana hanya sedikit yang melaporkan sama ada peserta beransur pulih. Kami tidak menemui kajian yang hanya menguji orang asimptomatik.
Keputusan utama
Penemuan kami datang terutamanya dari 38 kajian yang memberikan hasil berdasarkan masa sejak orang pertama kali menyedari gejala.
Ujian antibodi seminggu selepas gejala pertama hanya mengesan 30% orang yang ada COVID-19. Ketepatan meningkat pada minggu ke-2 dengan 70% dikesan, dan tertinggi pada minggu ke-3 (lebih daripada 90% dikesan). Hanya sedikit bukti yang ada selepas minggu ke-3. Ujian-ujian memberi hasil positif palsu dalam 2% dari mereka tanpa COVID-19.
Hasil dari ujian IgG/IgM tiga minggu setelah gejala bermula menunjukkan jika 1000 orang menjalani ujian antibodi, dan 50 (5%) dari mereka benar-benar ada COVID-19 (seperti yang kami jangka dalam tinjauan saringan kebangsaan):
- 58 orang akan diuji positif untuk COVID-19. Dari jumlah tersebut, 12 orang (21%) tiada COVID-19 (hasil positif palsu).
- 942 orang akan diuji negatif untuk COVID-19. Dari jumlah tersebut, 4 orang (0.4%) sebenarnya akan ada COVID-19 (hasil negatif palsu).
Jika diuji 1000 pekerja penjagaan kesihatan (dalam persekitaran berisiko tinggi) yang ada gejala, dan 500 (50%) dari mereka benar-benar ada COVID-19:
- 464 orang akan diuji positif untuk COVID-19. Dari jumlah tersebut, 7 orang (2%) tidak akan dijangkiti COVID-19 (hasil positif palsu).
- 537 orang akan diuji negatif untuk COVID-19. Dari jumlah tersebut, 43 (8%) sebenarnya ada COVID-19 (hasil negatif palsu).
Kami tidak menemui perbezaan ketepatan yang meyakinkan untuk pelbagai jenis ujian antibodi.
Sejauh manakah ketepatan keputusan kajian-kajian di dalam ulasan ini?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad kerana beberapa sebab. Secara amnya, kajian adalah kecil dan tidak menggunakan kaedah yang boeh dipercaya dan tidak melaporkan keputusan sepenuhnya. Seringkali, mereka tidak memasukkan pesakit dengan COVID-19 yang mungkin ada keputusan negatif palsu PCR, dan mengambil data mereka untuk orang yang tiada COVID-19 dari rekod ujian yang dilakukan sebelum COVID-19 muncul. Ini mungkin mempengaruhi ketepatan ujian, tetapi adalah mustahil untuk mengenal pasti jumlahnya.
Kepada siapakah keputusan ulasan ini diaplikasi?
Kebanyakan peserta berada di hospital dengan COVID-19, oleh itu lebih cenderung dengan penyakit yang lebih teruk berbanding orang-orang dengan gejala ringan yang tidak dimasukkan ke hospital. Ini bermaksud kami tidak tahu berapa tepat ujian antibodi untuk orang dengan penyakit yang lebih ringan atau tanpa gejala.
Lebih separuh kajian-kajian menilai ujian yang mereka buat sendiri, yang kebanyakannya tidak dapat dibeli. Banyak kajian diterbitkan dalam talian dengan pantas sebagai ‘pra-cetak’. Pra-cetak tidak menjalani pemeriksaan ketat terhadap kajian yang diterbitkan, jadi kami tidak pasti sejauh mana ia boleh dipercayai.
Oleh kerana kebanyakan kajian dilakukan di Asia, kami tidak tahu sama ada keputusan ujian akan serupa di tempat lain di dunia.
Apakah implikasi ulasan ini?
Ulasan menunjukkan ujian antibodi mungkin ada peranan berguna dalam mengesan jika seseorang telah dijangkiti COVID-19, tetapi pemasaan ujian digunakan adalah penting. Ujian antibodi dapat membantu mengesahkan jangkitan COVID-19 dalam kalangan orang yang ada gejala lebih dari dua minggu dan tidak mempunyai ujian RT-PCR, atau mempunyai hasil ujian RT-PCR negatif. Ujian-ujian lebih bagus untuk mengesan COVID-19 dua minggu atau lebih setelah gejala bermula, tetapi kami tidak tahu berapa bagus berkesan lebih dari lima minggu setelah gejala bermula. Kami tidak tahu berapa bagus ujian tersebut dilakukan untuk orang dengan penyakit ringan atau tanpa gejala, kerana kajian-kajian dalam ulasan ini dilakukan terutamanya pada orang yang berada di hospital. Dalam masa terdekat kami akan terus mengetahui sama ada jangkitan COVID-19 terdahulu memberi individu imuniti terhadap jangkitan masa depan.
Penyelidikan lanjut diperlukan untuk penggunaan ujian antibodi dalam kalangan orang yang pulih dari jangkitan COVID-19, dan dalam kalangan orang yang pernah mengalami gejala ringan atau yang tidak pernah mengalami gejala.
Adalah ulasan ini mutahkir?
Ulasan ini menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 27 April 2020. Oleh kerana banyak penyelidikan baru diterbitkan dalam bidang ini, kami akan kerap mengemas kini ulasan ini.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.