Manfaat dan risiko antibiotik yang diambil secara oral atau diberikan sebagai suntikan untuk merawat otitis media supuratif kronik (jangkitan telinga yang berterusan atau berulang dengan discaj)

Mengapakah soalan ini penting?

Otitis media supuratif kronik (CSOM), juga dikenali sebagai otitis media kronik (COM), ialah keradangan dan jangkitan pada telinga tengah yang berlangsung selama dua minggu atau lebih. Orang yang menghidap CSOM biasanya mengalami discaj yang berulang atau berterusan – nanah yang keluar dari lubang atau koyakan pada gegendang telinga – dan kehilangan pendengaran.

CSOM boleh dirawat dengan antibiotik (ubat-ubatan yang melawan jangkitan bakteria) yang diambil secara oral atau diberikan sebagai suntikan (iaitu rawatan sistemik di mana seluruh tubuh dirawat). Antibiotik sistemik boleh digunakan:

- bersendirian;
- dalam kombinasi dengan antibiotik dalam bentuk titisan, semburan, salap atau krim (topikal, iaitu rawatan permukaan setempat); atau
- dalam kombinasi dengan rawatan lain seperti steroid (ubat anti-radang) atau antiseptik (bahan yang menghentikan atau melambatkan pertumbuhan mikro-organisma).

Untuk mengetahui keberkesanan antibiotik sistemik untuk merawat CSOM, dan sama ada ia membawa kepada kesan sampingan, kami mengulas bukti dari kajian-kajian penyelidikan.

Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti?

Pertama, kami mencari penulisan perubatan untuk kajian yang mengikuti orang yang menghidap CSOM sekurang-kurangnya satu minggu dan membandingkan:

- antibiotik sistemik yang digunakan sendiri dibandingkan rawatan plasebo (rawatan palsu), tanpa rawatan atau antibiotik sistemik lain;
- antibiotik sistemik yang digabungkan dengan rawatan lain, dibandingkan rawatan lain itu sahaja.

Kami kemudiannya membandingkan keputusannya, dan merumuskan bukti dari semua kajian. Akhir sekali, kami menilai keyakinan kami terhadap bukti tersebut, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian, dan konsistensi keputusan merentasi kajian-kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 18 kajian yang melibatkan seramai 2135 orang yang menghidap CSOM. Orang dirawat dari antara lima hari dan 12 minggu, dan diikuti hingga satu tahun. Empat kajian memberikan maklumat mengenai bagaimana mereka dibiayai atau siapa yang membekalkan ubat: dua kajian dibiayai awam, dan ubat-ubatan disediakan oleh syarikat farmaseutikal dalam dua kajian yang lain.

Kajian membandingkan:

- antibiotik sistemik berbanding tanpa rawatan (satu kajian);
- antibiotik sistemik ditambah antibiotik topikal berbanding antibiotik topikal sahaja (enam kajian);
- antibiotik sistemik ditambah rawatan lain (selain daripada antibiotik topikal sahaja), berbanding rawatan yang sama tanpa antibiotik sistemik (empat kajian);
- antibiotik sistemik yang berlainan berbanding antara satu sama lain (lapan kajian).

Antibiotik sistemik sahaja tanpa rawatan

Kami tidak dapat menentukan daripada satu-satunya kajian yang kami temui sama ada antibiotik sistemik sahaja adalah lebih baik atau lebih buruk berbanding tanpa rawatan. Ini terutamanya disebabkan kajian tersebut:

- kecil;
- dilakukan dengan cara yang dapat menimbulkan ralat dalam keputusan; dan
- melaporkan maklumat yang terhad.

Antibiotik sistemik ditambah antibiotik topikal berbanding antibiotik topikal sahaja

Antibiotik sistemik ditambah antibiotik topikal mungkin kurang atau tidak berkesan terhadap sama ada discaj telinga berhenti setelah satu hingga dua minggu, berbanding dengan antibiotik topikal sahaja (lima kajian). Kami tidak tahu sama ada antibiotik sistemik yang ditambahkan pada antibiotik topikal mempunyai kesan positif atau negatif yang lain, kerana:

- terlalu sedikit kajian;
- kajian sedia ada adalah kecil dan mungkin telah dilakukan dengan cara yang menimbulkan ralat dalam keputusannya.

Antibiotik sistemik ditambah rawatan lain (selain antibiotik topikal sahaja), berbanding rawatan yang sama tanpa antibiotik sistemik

Kami tidak dapat menentukan dengan bukti sedia ada sama ada antibiotik sistemik adalah berkesan atau menyebabkan kesan sampingan buruk apabila ditambah pada rawatan selain antibiotik topikal sahaja. Ini terutamanya disebabkan maklumat yang terhad dilaporkan oleh sedikit kajian yang ada.

Perbandingan antara antibiotik sistemik yang berlainan

Kami tidak tahu sama ada sebilangan antibiotik sistemik adalah lebih baik berbanding yang lain. Ini terutama kerana cara kajian dilakukan mungkin menyebabkan kesalahan pada keputusannya.

Apakah maksudnya?

Tidak ada bukti yang kukuh untuk menentukan sama ada antibiotik sistemik adalah rawatan berkesan untuk CSOM, dan sama ada ia membawa kepada kesan sampingan. Bukti mengenai kesan sampingan adalah terhad. Apabila ditambahkan dengan antibiotik topikal, antibiotik sistemik mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan sama ada discaj hilang setelah satu hingga dua minggu. Kami tidak tahu sama ada sebilangan antibiotik sistemik adalah lebih baik berbanding yang lain.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Mac 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Yean Albert (Manipal Academy of Higher Education). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information