Menggunakan telefon bimbit untuk menjejaki ubat-ubatan dan memberitahu pihak atasan bila lebih banyak diperlukan

Apakah matlamat ulasan ini?

Dalam ulasan Cochrane ini, kami bertujuan untuk menilai jika pekerja kesihatan akan mendapat akses yang lebih baik ubat-ubatan dan bekalan lain jika mereka mengguna telefon bimbit atau peranti mudah alih lain untuk menjejaki amaun bekalan sedia ada, dan memberitahu pihak atasan apabila lebih banyak bekalan diperlukan. Kami juga menjelaskan cara pekerja kesihatan mengguna sistem bergerak ini dan faktor-faktor yang mempengaruhi penggunaannya.

Mesej utama

Kami tidak tahu jika penggunaan telefon bimbit untuk menjejaki bekalan perubatan memberi pekerja kesihatan primer akses lebih baik bekalan-bekalan ini. Ini adalah kerana kepastian bukti kajian-kajian sedia ada amatlah rendah. Walau bagaimanapun, bukti menunjukkan beberapa faktor yang dapat mempengaruhi pelaksanaan sistem ini. Ini termasuk perkongsian data di semua peringkat sistem kesihatan; akses elektrik dan internet yang boleh dipercayai; telefon dan sistem yang mudah digunakan dan berfungsi; sokongan teknikal yang baik; dan latihan dan penyeliaan yang cukup. Sistem digital yang berfungsi dengan baik hanya akan berjaya jika bekalan perubatan benar-benar ada.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Pekerja penjagaan kesihatan memerlukan ubat-ubatan, vaksin, picagari dan bekalan lain untuk menjalankan tugas mereka dengan baik. Tetapi banyak persekitaran penjagaan kesihatan, terutamanya di negara-negara miskin sering kekurangan bekalan kerana kerajaan tidak mampu membelinya atau kerana mereka tidak mempunyai sistem yang baik untuk mengedarkannya ke tempat yang tepat pada waktu yang tepat.

Untuk menangani masalah-masalah ini, pengurus dan pekerja kesihatan boleh mengguna telefon bimbit untuk menjejaki bekalan, memutuskan berapa banyak lagi yang perlu dipesan dan waktu diperlukan, dan memberitahu orang di tahap sistem lebih tinggi bila bekalan hampir habis.

Tujuan utama ulasan kami adalah untuk mengetahui jika pekerja kesihatan yang menggunakan sistem mudah alih punyai akses lebih baik ke atas bekalan berbanding pekerja kesihatan yang menggunakan sistem lain, atau tiada langsung sistem. Kami juga melihat bagaimana sistem mudah alih ini diguna di persekitaran penjagaan kesihatan primer, dan faktor-faktor yang mempengaruhi penggunaannya.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mendapati satu kajian dari Malawi yang mengukur kesan sistem telefon bimbit terhadap akses ubat dan bekalan di fasiliti kesihatan. Walau bagaimanapun, kami tidak tahu sama ada sistem ini memperbaik akses atau tidak kerana kepastian bukti ini sangat rendah.

Kami mendapati 16 kajian yang dilaksana di negara-negara Afrika dan Asia, di mana para penulis kajian mengenal pasti beberapa faktor yang berjaya membantu mengatur sistem.

- Penulis kajian mencadangkan pegawai penjagaan kesihatan di semua tahap sistem penjagaan kesihatan dibenarkan melihat data yang boleh membantu mereka memberi respon tepat pada waktunya dan mengelakkan kekurangan bekalan (keyakinan rendah).

- Para penulis kajian menjelaskan bagaimana akses elektrik dan internet yang teruk boleh menyukarkan pekerja kesihatan untuk mengecas telefon dan menghantar data (keyakinan sederhana).

- Para penulis kajian menunjukkan pentingnya sistem yang mesra pengguna, dibangun dengan penyertaan pengguna (keyakinan sederhana); akses kepada pakar teknikal untuk membangun dan mengekalkan sistem (keyakinan rendah); sokongan dan pengawasan yang tepat untuk pekerja kesihatan (keyakinan sederhana); dan latihan pekerja kesihatan bagaimana menggunakan sistem mudah alih itu sendiri (keyakinan sederhana).

- Seorang penulis mencadangkan penambahan kredit telefon ke telefon bimbit pekerja kesihatan untuk kegunaan peribadi mereka dapat memotivasi mereka dan memperbaik penggunaan sistem (keyakinan rendah). Para penulis kajian juga mencadangkan beberapa fungsi telefon bimbit yang boleh membantu pekerja kesihatan menggunakan sistem ini. Ini termasuk telefon yang boleh mengambil gambar dan memeta lokasi geografi, sistem yang membolehkan pemesejan teks bebas tol, komunikasi dua hala dan perkongsian maklumat yang mudah (keyakinan rendah). Tetapi penulis kajian juga menyarankan pekerja kesihatan mungkin lebih mudah mengguna telefon asas dan mengekalkan telefon peribadi mereka sendiri (keyakinan rendah).

- Penulis kajian menekankan sistem notifikasi digital hanya akan memberi pekerja kesihatan akses bekalan yang lebih baik jika bekalan benar-benar tersedia di peringkat daerah atau nasional (keyakinan rendah).

Adakah ulasan ini mutakhir?

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Ogos 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information