Ubat apakah yang paling berkesan untuk mengelakkan orang menjadi sakit (muntah) selepas pembedahan?

Mengapa orang sakit selepas pembedahan?

Berasa tidak sihat (loya) atau sakit (muntah) adalah kesan biasa anestesia umum yang tidak diingini—ubat yang membuat orang tidak sedar dan tidak responsif agar mereka tidak bergerak atau merasa sakit semasa pembedahan.

Kebanyakan kesan yang tidak diingini dari anestesia umum, termasuk berasa atau menjadi sakit, berlaku sejurus kemudian dan berhenti selepas beberapa jam, walaupun sesetengah orang mungkin terus berasa sakit sehingga sehari. Jika orang terus merasa atau menjadi sakit, mereka mungkin perlu tinggal di hospital lebih lama dari jangkaan dan mungkin mengalami kesan tidak diingini atau komplikasi yang lain.

Wanita lebih cenderung menjadi sakit selepas pembedahan, sama seperti orang yang mengambil ubat penahan sakit opioid, mereka yang mengalami mabuk perjalanan, dan mereka yang pernah sakit selepas pembedahan terdahulu.

Ubat untuk mencegah orang daripada sakit

Ubat yang dipanggil antiemetik diberi untuk mencegah orang merasa atau menjadi sakit. Ubat-ubatan ini boleh diberi sebelum atau semasa anestesia.

Ubat-ubat antiemetik dikelompokkan kepada enam kelas utama berdasarkan cara ia bertindak. Menggabungkan ubat-ubat dari kelas berlainan kadang-kala membuatnya lebih berkesan.

Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini

Kami ingin tahu ubat terbaik untuk mencegah orang menjadi sakit selepas pembedahan dan paling kurang menyebabkan kesan yang tidak diingini. Kesan lazim ubat antiemetik yang tidak diingini termasuklah sakit kepala, sembelit, gangguan pergerakan seperti tremor, mengantuk, degupan jantung tidak teratur, dan jangkitan luka.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang melihat penggunaan ubat antiemetik dalam kalangan dewasa yang menerima anestesia umum untuk mencegah orang menjadi sakit selepas itu.

Kami mencari kajian rawak terkawal, yang mana rawatan diterima orang adalah ditentukan secara rawak. Kajian jenis ini biasanya memberikan bukti yang paling boleh dipercayai tentang kesan rawatan.

Tarikh carian

Kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga November 2017; pada April 2020, kami menemui 39 kajian lagi, yang masih belum dimasukkan dalam analisis.

Apa yang kami temui

Kami menemui 585 kajian dengan 97,516 orang yang diberi ubat antiemetik sebelum atau semasa anestesia umum. Peserta kajian lebih cenderung sakit setelah anestesia, kerana 83% adalah wanita dan 88% mengambil ubat penahan sakit opioid. Kebanyakan kajian dijalankan di Asia, Eropah, atau Amerika Utara.

Kajian-kajian ini sama ada mengukur berapa orang yang sakit dalam 24 jam pertama selepas pembedahan mereka atau berapa banyak kesan yang tidak diingini dilaporkan, atau kedua-dua hasil ini. Kebanyakan kajian membandingkan ubat (diberi sendirian atau dalam kombinasi) dengan rawatan palsu (plasebo).

Kami membandingkan semua ubat antiemetik antara satu sama lain menggunakan kaedah matematik dipanggil meta-analisis rangkaian.

Apa hasil utama kami dan sejauh mana hasilnya boleh dipercayai?

Berbanding rawatan plasebo, 10 daripada 28 ubat tunggal dan 29 daripada 36 kombinasi ubat mencegah orang dari menjadi sakit dalam tempoh 24 jam pertama selepas pembedahan mereka (282 kajian). Kombinasi ubat antiemetik secara umum berfungsi lebih baik daripada ubat tunggal yang diberi sendirian. Walau bagaimanapun, aprepitant, casopitant, dan fosaprepitant berfungsi dengan baik bersendirian seperti kebanyakan kombinasi antiemetik. Ubat tunggal yang paling berkesan dalam semua ubat adalah fosaprepitant, diikuti casopitant, aprepitant, ramosetron, granisetron, dexamethasone, tropisetron, ondansetron, dolasetron, dan droperidol.

Kami yakin aprepitant, ramosetron, granisetron, dexamethasone, dan ondansetron mencegah orang daripada menjadi sakit. Kami sederhana yakin tentang berapa baik fosaprepitant dan droperidol berkesan, tetapi penemuan ini mungkin berubah apabila bukti lebih lanjut menjadi tersedia. Kami tidak pasti tentang berapa baik casopitant, tropisetron, dan dolasetron berfungsi.

Tidak semua kajian melihat kesan tidak diingini yang serius dan mengancam nyawa. Kami tidak pasti berapa banyak kesan-kesan ini dilaporkan apabila mengambil ubat antiemetik dan sama ada kesan-kesan tidak diingini yang serius dan mengancam nyawa berlaku pada kadar yang sama atau berkurang berbanding plasebo (28 kajian).

Dalam kalangan ubat-ubatan terbaik dengan bukti yang paling dipercayai untuk mencegah sakit, granisetron dan ondansetron mungkin membuat sedikit atau tidak ada perbezaan dalam berlakunya kesan yang tidak diingini berbanding dengan plasebo, manakala dexamethasone dan droperidol mungkin menyebabkan kurang kesan yang tidak diingini berbanding plasebo. Kami tidak pasti tentang kesan-kesan tidak diingini dengan aprepitant dan ramosetron (61 kajian). Kami tidak menemui kajian yang melihat kepada kesan-kesan yang tidak diingini untuk fosaprepitant.

Kami kurang yakin tentang kesan-kesan yang tidak diingini untuk ubat antiemetik yang ain kerana kami menemui sedikit bukti yang dipercayai mengenai perkara ini. Keputusan kami untuk kesan-kesan tidak diingini mungkin berubah apabila bukti lebih lanjut menjadi tersedia.

Kesimpulannya

Bagi orang yang berisiko lebih tinggi, kami mendapati bahawa beberapa ubat antiemetik berfungsi dengan baik untuk mengelakkan mereka daripada sakit selepas anestesia umum. Ubat antiemetik terbaik dengan bukti yang dipercayai adalah aprepitant, ramosetron, granisetron, dexamethasone, dan ondansetron, diikuti fosaprepitant dan droperidol.

Walau bagaimanapun, kami tidak menemui cukup bukti yang boleh dipercayai tentang potensi kesan-kesan tidak diingini untuk menilai ubat-ubat ini berdasarkan berapa baik ia boleh diterima.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save