Alkohol mempunyai kesan dua fasa terhadap tekanan darah dan meningkatkan degupan jantung

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti sedia ada mengenai kesan jangka pendek dos minuman alkohol yang berbeza berbanding minuman bukan alkohol terhadap tekanan darah dan degupan jantung dalam orang dewasa (≥ 18 tahun) dengan tekanan darah yang normal dan tinggi.

Latar belakang

Minum alkohol berlebihan dianggap salah satu penyebab peningkatan tekanan darah yang paling lazim. Kami ingin mengukur kesan dos tunggal alkohol terhadap tekanan darah dan degupan jantung dalam tempoh 24 jam dari penggunaan.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 32 kajian rawak terkawal melibatkan 767 peserta yang diterbitkan sehingga Mac 2019. Walaupun kajian-kajian ini menyertakan orang dewasa berumur 18 hingga 96 tahun dengan pelbagai keadaan kesihatan, kebanyakan peserta kajian merupakan lelaki muda yang sihat. Sumber pembiayaan tidak dilaporkan untuk sebahagian besar kajian.

Keputusan utama

Bagi dos alkohol yang rendah, kami mendapati segelas alkohol mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap tekanan darah dan peningkatan degupan jantung dalam tempoh enam jam selepas minum.

Kami agak yakin bahawa dos alkohol yang sederhana mengurangkan tekanan darah dan meningkatkan degupan jantung dalam tempoh enam jam dari penggunaan. Kami tidak mendapati sebarang perubahan yang signifikan dalam tekanan darah atau degupan jantung selepas itu, tetapi bukti adalah terhad.

Kami juga agak yakin bahawa dos alkohol yang tinggi mengurangkan tekanan darah dalam tempoh enam jam, dan kesannya bertahan sehingga 12 jam. Selepas itu, tekanan darah didapati meningkat. Degupan jantung meningkat dengan signifikan selepas pengambilan alkohol dan kekal meningkat sepanjang tempoh yang diukur.

Oleh itu alkohol mengurangkan tekanan darah pada awalnya (sehingga 12 jam selepas pengambilan) dan meningkatkan tekanan darah selepas itu. Alkohol secara konsisten meningkatkan degupan jantung pada setiap masa dalam tempoh 24 jam dari penggunaan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information