Rawatan bisfosfonat untuk memperbaik kesihatan tulang dalam kalangan kanak-kanak dengan palsi serebrum

Mengapakah ulasan ini penting?

Kekuatan tulang yang lemah adalah lazim dalam kalangan orang dengan palsi serebrum (CP). Penyebabnya termasuk: kurang aktiviti galas berat yang membina kekuatan tulang, seperti berjalan atau berlari, terutama dalam kalangan orang yang memerlukan peranti bantuan mobiliti; kurang pengambilan vitamin dan mineral yang meningkatkan kekuatan tulang, termasuk kalsium dan vitamin D; dan peningkatan penggunaan ubat-ubatan yang mencegah pembentukan tulang, seperti ubat antisawan. Ini menyebabkan risiko fraktur tulang yang tinggi, walaupun trauma yang sangat ringan. Kanak-kanak dengan CP yang tidak dapat berjalan berisiko fraktur patah tulang di kaki. Bisfosfonat adalah sekumpulan ubat yang diguna untuk memperbaik kekuatan tulang. Bisfosfonat lazim diguna dalam kalangan dewasa dengan kekuatan tulang yang lemah. Walau bagaimanapun, terdapat kurang bukti penggunaannya dalam kalangan kanak-kanak.

Apakah soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

Pertama, apakah kesan rawatan bisfosfonat berbanding plasebo (pil palsu) atau tiada rawatan terhadap pelbagai ukuran kekuatan tulang dalam kalangan kanak-kanak sehingga 18 tahun dengan CP? Ukuran-ukuran termasuk penanda darah kesihatan tulang, kekerapan fraktur, sakit tulang, dan kualiti hidup.

Kedua, adakah sebarang kesan sampingan negatif?

Kajian manakah yang disertakan dalam ulasan ini?

Kami meneliti bukti sedia ada untuk penggunaan rawatan bisfosfonat dalam kalangan kanak-kanak dengan CP hingga September 2020. Kami temui dua kajian yang membandingkan penggunaan rawatan bisfosfonat dengan plasebo atau tanpa rawatan untuk memperbaik kekuatan tulang dalam kalangan kanak-kanak dengan CP. Kedua-dua kajian menyertakan sejumlah 34 peserta dengan tahap keterukan CP yang serupa. Peserta dalam kedua-dua kajian berumur 16 tahun ke bawah, dan terdapat bilangan lelaki dan perempuan yang sama dalam setiap kajian. Kedua-dua kajian melibatkan kanak-kanak yang tidak dapat berjalan. Kedua-dua kajian menggunakan pelbagai jenis rawatan bisfosfonat, yang diberi selama enam bulan dalam satu kajian dan 12 bulan dalam satu kajian lagi. Perbandingan lanjut rawatan tersebut tidak dapat dilakukan kerana kurangnya maklumat yang diterbitkan dalam satu kajian.

Satu kajian disokong oleh yayasan-yayasan penyelidikan, akademik dan hospital, dengan syarikat farmaseutikal menyumbang komponen penambahan kalsium dan vitamin. Satu lagi kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan.

Apakah yang ditunjuk oleh bukti daripada ulasan ini?

Keputusan kedua-dua kajian memberi beberapa bukti pemberian rawatan bisfosfonat untuk kanak-kanak dengan CP untuk sekurang-kurangnya enam bulan, mungkin memperbaik kekuatan tulang mereka. Kekuatan kesan ini hanya dapat diukur dalam satu kajian dengan 12 peserta. Ini menunjukkan peningkatan purata kekuatan tulang sebanyak 18%, diukur dengan kepadatan mineral tulang (BMD). Walau bagaimanapun, oleh kerana bilangan peserta yang sangat kecil dalam kedua-dua kajian, variasi hasil yang besar, dan beberapa masalah dengan cara perlaksanaan kajian, kesimpulannya adalah tidak pasti.

Setiap kajian melaporkan hasil perubahan penanda darah kekuatan tulang dengan cara yang berbeza, yang bermaksud bukti adalah tidak konklusif, dan tidak dapat membuat kesimpulan tentang kesan rawatan bisfosfonat.

Tiada kajian yang melaporkan sebarang risiko yang ketara atau hasil buruk yang serius dalam kalangan kanak-kanak yang menjalani rawatan bisfosfonat.

Kedua-dua kajian tidak meneliti persoalan sama ada rawatan bisfosfonat berkesan terhadap perubahan kepadatan tulang sebenar, atau kadar fraktur tulang bagi kanak-kanak dengan CP.

Rumusan penulis

Kami berkeyakinan terhad sama ada rawatan bisfosfonat dapat memperbaik kesihatan tulang dalam kalangan kanak-kanak dengan CP.

Kajian lanjut diperlukan untuk menilai manfaat dan risiko rawatan bisfosfonat dalam kalanhgan kanak-kanak dengan CP. Kajian masa depan tentang bisfosfonat harus menilai kesan bisfosfonat yang digabung dengan pilihan rawatan baharu yang lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information