Transfusi plasma sebelum pembedahan major (selain pembedahan jantung) atau prosedur invasif, untuk mencegah perdarahan

Soalan ulasan

Plasma manusia, satu komponen darah sering ditransfus kepada orang sebelum menjalani pembedahan atau prosedur lain (seperti memasukkan tiub saliran ke dada) apabila ujian darah menunjukkan darah mereka tidak boleh klot secukupnya. Matlamat kajian ini adalah untuk menilai sejauh mana keberkesanan amalan ini dalam mengurangkan perdarahan lanjut atau keperluan transfusi darah, dan sama ada pendekatan ini meningkatkan risiko kematian atau lain-lain kesan berbahaya yang ketara. Kajian ini mengecualikan orang yang mempunyai penyakit perdarahan keturunan dan mereka yang mengambil ubatan mencairkan darah.

Latar belakang

Plasma manusia diperolehi daripada darah penderma. Ia mengandungi banyak faktor yang membantu pembekuan darah. Walaupun plasma boleh ditransfusi kepada orang berdasarkan ujian darah yang mencadangkan darah mereka mungkin tidak dapat membeku secukupnya, namun ujian-ujian tersebut ada limitasi. Darah seseorang mungkin akan membeku secukupnya walaupun keputusan ujian adalah abnormal. Keputusan ujian yang abnormal juga tidak dapat meramalkan secara jelas mereka yang akan mengalami perdarahan. Tambahan pula, transfusi plasma memperbetulkan pelbagai tahap ujian darah yang abnormal.

Plasma juga sangat mahal, dan sesetengah negara bermasalah kekurangan produk darah, penderma yang boleh dipercaya, saringan jangkitan yang tidak lengkap bagi jangkitan yang berisiko jangkitan melalui transfusi produk darah. Memandangkan transfusi plasma berpotensi menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa, penggunaan plasma darah dalam kes ini membawa risiko mudarat tanpa bukti jelas manfaatnya.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan lima kajian yang kesemuanya dijalankan di negara berpendapatan tinggi.

Carian kami adalah terkini sehingga 28 Januari 2019. Satu kajian membandingkan transfusi plasma dan tiada transfusi plasma. Satu lagi kajian membandingkan transfusi plasma atau platelet atau kedua-duanya dengan tiada transfusi plasma atau platelet. Satu kajian membandingkan transfusi plasma dengan produk alternatif unutk membantu darah klot. Satu kajian lain membandingkan pelbagai ujian darah bagi memulakan transfusi plasma, dan satu kajian lagi membandingkan pelbagai pencetus transfusi menggunakan ujian darah yang sama.

Empat kajian melibatkan peserta dewasa berumur 18 tahun ke atas, dan kajian kelima tidak menyatakan umur peserta secara spesifik. Di dalam empat kajian, peserta menjalani prosedur di sisi katil. Hanya satu kajian melibatkan beberapa peserta yang menjalani operasi pembedahan major. Dua kajian memasukkan hanya peserta di unit penjagaan intensif, dan dua lagi kajian memasukkan hanya peserta dengan penyakit hati.

Satu kajian hanya merekrut dua peserta. Oleh itu, keputusan ulasan ini termasuk empat lagi kajian, menjadikan kesemua 234 peserta. Tiga lagi kajian masih dalam perlaksanaan.

Keputusan-keputusan utama

Apabila transfusi plasma dibanding dengan tiada transfusi, kami sangat tidak pasti sama ada terdapat perbezaan dalam perdarahan major, bilangan transfusi darah bagi setiap peserta, atau kesan berbahaya daripada transfusi tersebut. (1 kajian, kualiti bukti sangat rendah). Apabila transfusi plasma atau platelet atau kedua-duanya dibandingkan dengan sama ada tiada transfusi plasma mahupun platelet, kami sangat tidak pasti sama ada terdapat perbezaan mortaliti dalam tempoh 30 hari, atau dalam bilangan individu yang memerlukan transfusi (1 kajian; kualiti bukti sangat rendah).

Apabila transfusi plasma dibanding dengan agen hemostatik lain, kami sanat tidak pasti sama ada terdapat perbezaan dalam perdarahan major atau kesan berbahaya daripada transfusi tersebut. (1 kajian, kualiti bukti sangat rendah).

Apabila pelbagai pencetus bagi transfusi plasma dibandingkan (1 kajian; 60 peserta), kami sangat tidak pasti sama ada terdapat perbezaan dalam perdarahan major atau kesan berbahaya daripada transfusi tersebut akibat bukti berkualiti sangat rendah bagi hasil-hasil ini. Bilangan orang yang memerlukan produk darah mungkin telah berkurangan secara keseluruhan, meskipun ini adalah berdasarkan bukti berkualiti rendah.

Tiada kajian melaporkan peristiwa berbahaya berkaitan dengan prosedur atau kualiti hidup sebagai hasil.

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan bukti lebih banyak adalah sangat rendah bagi beberapa hasil klinikal penting oleh kerana gabungan isu dalam kajian, seperti potensi untuk bias, persekitaran klinikal yang terhad, dan anggaran tidak dapat tentang kesan intervensi.

Kesimpulan penulis

Kami sangat tidak pasti tentang keberkesanan dan keselamatan penggunaan plasma dalam pembedahan bukan jantung atau prosedur invasif kerana bukti kualiti yang sangat rendah. Lagipun, oleh kerana kajian-kajian tidak meliputi berbagai konteks pembedahan, keyakinan kami untuk mengaplikasi keputusan kajian kepada persekitaran pembedahan yang lebih luas adalah terhad. Secara keseluruhan bukti adalah terhad untuk penggunaan transfusi plasma kepada orang dalam konteks ini adalah tidak cukup untuk menyokong atau menentang penggunaannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nur Syafiah Syazwani Binti Abdul Manap (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save