Apakah itu penyakit Crohn?
Penyakit Crohn (CD) ialah gangguan keradangan kronik yang boleh mempengaruhi sebarang segmen saluran gastrousus. Simptom termasuklah sakit perut, cirit-birit tidak berdarah dan kehilangan berat badan. CD dicirikan oleh tempoh relaps klinikal apabila orang mengalami simptom dan tempoh remisi klinikal apabila simptom berhenti. Walaupun terdapat terapi sedia ada, kira-kira separuh pesakit memerlukan pembedahan dan reseksi segmen yang terjejas dalam tempoh 10 tahun selepas diagnosis. Pembedahan ini sangat berkesan, walau bagaimanapun, majoriti memerlukan pembedahan kedua selepas 10 tahun.
Apakah itu kolonoskopi?
Kolonoskopi ialah prosedur di mana doktor memasukkan tiub pemerhatian (kolonoskop) ke dalam rektum untuk tujuan memeriksa kolon.
Apakah yang dikaji penyelidik?
Kebanyakan pesakit yang mengalami relaps klinikal CD mempunyai keradangan mukosa usus berminggu-minggu atau berbulan-bulan sebelum simptom bermula. Keradangan asimptomatik ini boleh dikesan dengan kolonoskopi dan ia sering dipanggil perulangan endoskopik. Para penyelidik menyiasat sama ada inisiasi atau intensifikasi terapi profilaksis yang dipandu oleh pengesanan perulangan endoskopik dapat memperbaiki prognosis CD pascaoperasi.
Apakah isu yang berkait untuk memulakan terapi profilaksis dalam kalangan pesakit asimptomatik?
Ubat yang sering diguna sebagai terapi profilaksis CD adalah 5-aminosalicylate, antibiotik, thiopurine, methotrexate dan/atau antibodi faktor nekrosis anti-tumor (anti-TNFα). Isu-isu utama berkaitan ubat-ubat ini adalah kos dan kesan-kesan buruk. Peristiwa buruk paling kerap ialah alopesia, tak toleran gastrousus, jangkitan, simptom sensori, lupus, vaskulitis, leukopenia, pankreatitis, lesi kulit dan yang kurang kerap adalah kanser kulit dan hematologi.
Bagaimanakah kajian ini dijalankan?
Ulasan sistematik literatur semasa dibuat untuk menilai efikasi terapi profilaksis yang dipandu oleh kolonoskopi dalam mengurangkan CD pascaoperasi berulang. Carian elektronik beberapa pangkalan data dijalankan dan kajian-kajian yang memenuhi kriteria kemasukan kami dipilih untuk penilaian lebih lanjut.
Apakah yang ditemui penyelidik?
Para penyelidik mengenal pasti tiga strategi pengurusan CD selepas pembedahan: terapi profilaksis dipandu oleh simptom klinikal, terapi profilaksis dipandu oleh kolonoskopi dan rawatan penuh sejurus selepas pembedahan.
Lima kajian membandingkan terapi profilaksis dipandu kolonoskopi dengan terapi profilaksis dipandu simptom klinikal. Dalam kajian-kajian ini, semua pesakit menerima terapi profilaksis yang sama sejurus selepas pembedahan. Dalam kumpulan pengurusan berdasarkan kolonoskopi, terapi dipergiat dalam kes keradangan mukosa asimptomatik, dan dalam kumpulan kawalan, terapi dipergiat hanya dalam kes simptom klinikal. Menurut kajian-kajian ini, intensifikasi terapi yang dipandu oleh kolonoskopi dapat mengurangkan perulangan klinikal pascaoperasi dan perulangan endoskopik apabila dibanding dengan intensifikasi yang dipandu oleh simptom. Data dari kajian dengan kualiti metodologi yang tertinggi menunjukkan 378 pesakit dalam kumpulan pengurusan berpandukan kolonoskopi mengalami perulangan klinikal berbanding dengan 462 pesakit dalam kumpulan yang mana pengurusan dipandu oleh simptom, seandainya 18 bulan susulan dan populasi 1000 pesakit menjalani reseksi usus akibat CD dalam setiap kumpulan. Pada 18 bulan manfaat adalah lebih besar dari segi perulangan endoskopi, yang merupakan peramal yang baik bagi perulangan klinikal. Kajian-kajian kualiti metodologi yang lebih rendah tetapi susulan yang lebih lama juga menyokong manfaat dari segi perulangan klinikal. Tambahan juga, mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko peristiwa buruk dalam pengurusan berpandukan kolonoskopi berbanding intensifikasi dipandu oleh simptom. Kami tidak pasti sama ada intensifikasi terapi profilaksis yang dipandu oleh kolonoskopi berbanding terapi dipandu oleh simptom mengimpak perulangan pembedahan kerana kepastian bukti adalah sangat rendah.
Tiga kajian membandingkan terapi profilaksis dipandu oleh kolonoskopi berbanding rawatan penuh sejurus selepas pembedahan. Dalam kumpulan pengurusan berdasarkan kolonoskopi, terapi tertangguh sehingga pengesanan keradangan mukosa asimptomatik, sementara dalam kumpulan yang lain ubat dimulakan segera selepas pembedahan. Malangnya, kajian-kajian ini mempunyai banyak batasan, oleh itu kepastian bukti dinilai sebagai sangat rendah. Memandangkan perkara ini, kami tidak pasti tentang kesan memulakan terapi yang dipandu oleh kolonoskopi terhadap perulangan pascaoperasi dan peristiwa buruk apabila dibandingkan dengan terapi sejurus selepas pembedahan.
Kesimpulan
Terapi profilaksis yang dipandu oleh kolonoskopi dapat mengurangkan risiko perulangan klinikal dan endoskopi berbanding terapi profilaksis yang dipandu oleh simptom dengan sedikit atau tiada perbezaan risiko peristiwa buruk. Kami tidak pasti sama ada inisiasi terapi dipandu oleh kolonoskopi berbanding inisiasi sejurus selepas pembedahan memberi kesan kepada perulangan pascaoperasi dan peristiwa buruk.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my