Pembedahan sebagai rawatan obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja

Soalan ulasan

Sejauh manakah keberkesanan pembedahan bariatrik dalam mengurangkan berat badan dengan selamat pada kanak-kanak dan remaja obes?

Latar belakang

Di seluruh dunia, lebih ramai kanak-kanak dan remaja mengalami berat badan berlebihan dan obesiti. Oleh sebab kanak-kanak dan remaja yang mempunyai berat badan berlebihan dan obesiti lebih berkemungkinan untuk menghadapi masalah kesihatan, lebih banyak maklumat tentang cara terbaik untuk merawat masalah ini adalah diperlukan.

Ciri-ciri kajian

Kami tidak menemui sebarang kajian baru berbanding versi terdahulu. Oleh itu, kerja ini masih melibatkan satu kajian rawak terkawal dengan sejumlah 50 orang peserta (25 orang dalam kedua-dua kumpulan intervensi dan perbandingan) dan disusuli untuk dua tahun. Pembedahan yang digunakan ialah 'laparoscopy adjustable gastric banding' (tali gastrik diletakkan di sekeliling pintu masuk perut melalui pembedahan lubang kunci). Kumpulan kawalan menerima program yang terdiri daripada pengurangan pengambilan tenaga (pelan pemakanan individu di antara 800 sehingga 2000 kcal sehari, bergantung pada umur dan berat badan), peningkatan aktiviti (sasaran 10,000 langkah sehari) dengan satu jadual senaman berstruktur sekurang-kurangnya 30 minit sehari dan pengubahsuaian tingkah laku.

Keputusan utama

Remaja Australia (lebih banyak perempuan daripada lelaki) dengan purata umur 16.5 dan 16.6 tahun dalam kumpulan gastric banding dan kumpulan kawalan telah mengambil bahagian dalam kajian. Penulis kajian tersebut telah melaporkan purata penurunan berat badan sebanyak 34.6kg pada dua tahun, bersamaan dengan perubahan dalam unit indeks jisim badan (kg/m²) sebanyak 12.7 untuk kumpulan gastrik; dan purata penurunan berat badan sebanyak 3.0 kg bersamaan dengan perubahan unit indeks jisim badan sebanyak 1.3 untuk kumpulan intervensi kawalan. Kesan sampingan telah dilaporkan dalam 12 daripada 25 (48%) peserta dalam kumpulan intervensi dan 11 daripada 25 (44%) dalam kumpulan kawalan. Seramai 28% daripada remaja yang menjalani gastric banding memerlukan satu 'prosedur revisional' (pembedahan disebabkan komplikasi dari pembedahan gastric banding). Tiada data yang dilaporkan untuk semua punca kematian, perubahan tingkah laku, pandangan peserta terhadap intervensi dan kesan sosioekonomi. Pada dua tahun, peserta gastric banding adalah lebih baik berbanding dengan peserta gaya hidup dalam dua daripada lapan konsep kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan yang diukur berdasarkan Soal Selidik Kesihatan Kanak-kanak (skor fungsian fizikal (94 berbanding 78), norma-norma komuniti 95) dan perubahan dalam skor kesihatan (4.4 berbanding 3.6, norma-norma komuniti 3.5).

Kualiti bukti

Keputusan kami ini adalah terhad pada tempoh susulan dua tahun dan adalah berdasarkan satu kajian kecil di Australia dengan beberapa risiko berat sebelah yang tinggi, yang dijalankan di hospital swasta dan menerima pembiayaan daripada pengeluar tali gastrik. Masih terdapat bukti RCT yang tidak mencukupi untuk memaklumkan cadangan garis panduan klinikal. Garis panduan semasa bergantung kepada bukti yang semakin meningkat daripada data pemerhatian.

Kekinian bukti

Bukti ini adalah terkini sehingga Ogos 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Julie Yeo (Taylor's University, Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information