Intervensi permulaan membaca untuk kanak-kanak dan remaja dengan ketidakupayaan intelektual

Apakah tujuan ulasan ini?

Kanak-kanak dan remaja dengan ketidakupayaan intelektual mempunyai kebolehan kognitif dan kemahiran harian yang bawah sederhana. Pada masa lalu, tiada sesiapa menjangka mereka akan belajar membaca, tetapi sekarang perkara tersebut telah berubah. Ulasan ini bertujuan untuk mengetahui jika pengajaran membaca khusus (contohnya, pengajaran kelompok kecil tentang kesedaran huruf-bunyi) mampu membantu kanak-kanak dan remaja yang mempunyai ketidakupayaan intelektual belajar membaca.

Apakah kajian ulasan ini?

Kami mengkaji intervensi permulaan membaca (kaedah) yang disediakan di sekolah untuk kanak-kanak dan remaja dengan ketidakupayaan intelektual. Kami mengkaji kesan-kesan intervensi tersebut terhadap kemahiran permulaan membaca, termasuk kesedaran fonologik (pemaduan bunyi menjadi perkataan), membaca perkataan, penyahkodan (membunyikan perkataan bertulis dengan betul), dan kemahiran bahasa seperti perbendaharaan kata.

Apakah hasil utama ulasan?

Kami menjumpai tujuh kajian yang mengkaji intervensi permulaan membaca untuk kanak-kanak dan remaja dengan ketidakupayaan intelektual. Empat kajian dijalankan di Amerika Syarikat, satu kajian di Kanada dan dua kajian di UK. Kajian-kajian tersebut membandingkan intervensi permulaan membaca dengan pengajaran membaca secara standard. Kajian-kajian ini melibatkan 352 kanak-kanak dan remaja dengan ketidakupayaan intelektual. Semua kajian menyediakan intervensi dalam persekitaran sekolah. Dapatan ulasan menyarankan bahawa intervensi permulaan membaca mungkin memperbaiki kesedaran fonologik, bacaan perkataan, dan kemahiran bahasa (bukti berkualiti sederhana) dan boleh memperbaiki kemahiran penyahkodan dan kefasihan bacaan lisan (bukti berkualiti rendah). Tiga kajian telah dibiayai oleh geran daripada Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat, Institut Sains Pendidikan; satu kajian dibiayai oleh Rangkaian Penyelidikan Bahasa dan Celik Huruf Kanada dan Yayasan Kajian Kesihatan Nova Scotia; dan tiga kajian tidak menyatakan sumber pembiayaan.

Mesej-mesej utama

Hasil ulasan ini menunjukkan bahawa intervensi permulaan membaca adalah berkesan secara sederhana dalam meningkatkan kesedaran fonologik, bacaan perkataan, kemahiran penyahkodan, kefasihan bacaan lisan, dan kemahiran bahasa bagi kanak-kanak dan remaja dengan ketidakupayaan intelektual. Kualiti bukti adalah rendah dan sederhana merentasi kelima-lima hasil yang kami analisis. Tiada kajian melaporkan kesan-kesan sampingan rawatan.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami memasukkan kajian yang diterbitkan sebelum Oktober 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Ilyas bin Afendi. Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi m.ilyas.afendi@gmail.com. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia)

Tools
Information