Intervensi untuk pesalah wanita yang menggunakan dadah

Apakah tujuannya?

Untuk menilai keberkesanan intervensi dalam mengurangkan penggunaan dadah, aktiviti jenayah atau kedua-duanya bagi wanita yang terlibat dengan kesalahan jenayah.

Apakah mesej utama?

Kami tidak pasti sama ada rawatan yang diberikan dapat mengurangkan penggunaan dadah selepas itu, aktiviti jenayah atau kedua-duanya. Kami mengenalpasti jumlah kajian yang terlalu sedikit untuk menentukan sama ada tempat rawatan
diberikan (contohnya, mahkamah atau dalam masyarakat) memberikan kesan positif terhadap kejayaan program-program tersebut. Saiz sampel kajian adalah kecil dan kepastian bukti ini adalah amat rendah. Penyelidikan berkualiti tinggi diperlukan untuk menilai keberkesanan pilihan rawatan yang berbeza.

Apakah yang dikaji?

Kami mengkaji sebarang intervensi yang bertujuan untuk mengurangkan penggunaan dadah, aktiviti jenayah atau kedua-duanya. Lebih ramai orang yang terlibat dengan sistem keadilan jenayah terlibat dengan penggunaan dadah berbanding dengan orang yang tidak mempunyai hubungan dengan kesalahan jenayah. Kebanyakan intervensi yang digunakan untuk menyokong pemulihan penggunaan dadah dalam sistem undang-undang disasarkan terhadap lelaki dan bukannya wanita. Wanita mempunyai keperluan yang berbeza berbanding dengan lelaki dan skim sedia ada perlu dinilai dan disesuaikan untuk menangani kerumitan jenis-jenis masalah yang dialami oleh wanita untuk mengurangkan penggunaan dadah dikalangan mereka, aktiviti jenayah atau kedua-duanya

Apakah penemuan utama?

Kami telah menemui 13 kajian yang melibatkan 2560 peserta. 13 kajian tersebut melibatkan peserta yang diagihkan secara rawak kepada salah satu daripada dua intervensi, dijalankan kebanyakannya di Amerika Syarikat. Kajian dijalankan di dalam penjara dan dalam masyarakat. Peserta kajian menerima pelbagai intervensi yang berbeza berbanding dengan tiada apa-apa, intervensi yang lain atau rawatan seperti biasa.
Ulasan ini menunjukkan bahawa:

- apabila wanita melibatkan diri dengan pengurusan kes secara kolaboratif, ia mungkin menghasilkan sedikit ataupun tiada perbezaan terhadap pengurangan penggunaan dadah, pemenjaraan semula atau penahanan semula berbanding dengan rawatan seperti biasa (bukti kepastian rendah);

- apabila wanita mengambil buprenorfin, kami tidak pasti sama ada ia mengurangkan penggunaan dadah berbanding dengan plasebo (bukti kepastian sangat rendah);

- apabila wanita mengambil buprenorfin sebelum dilepaskan dari penjara, ia mungkin menghasilkan sedikit ataupun tiada perbezaan terhadap pengurangan penggunaan dadah atau aktiviti jenayah berbanding dengan mengambil buprenorfin setelah dilepaskan dari penjara (bukti kepastian rendah);

- apabila wanita melibatkan diri dengan psikoterapi interpersonal, ia mungkin menghasilkan sedikit ataupun tiada perbezaan terhadap pengurangan penggunaan semula dadah berbanding dengan intervensi psikopendidikan (bukti kepastian rendah);

- apabila wanita melibatkan diri dalam terapi penerimaan dan komitmen, ia mungkin menghasilkan sedikit ataupun tiada perbezaan dalam pengurangan penggunaan dadah/menahan diri daripada penggunaan dadah berbanding dengan kawalan senarai menunggu (bukti kepastian rendah);

- apabila wanita melibatkan diri dengan kemahiran kognitif berbanding dengan intervensi komuniti terapeutik, kami tidak pasti sama ada ia menghasilkan pengurangan dalam penggunaan dadah yang berikutnya, penahanan semula, melakukan aktiviti jenayah atau jenayah berkaitan dadah (bukti kepastian sangat rendah);

- apabila wanita melibatkan diri dengan kemahiran kognitif berbanding dengan intervensi komuniti terapeutik, ia mungkin mengurangkan penahanan yang berikutnya (bukan pelanggaran parol) (bukti kepastian sangat rendah);

- apabila wanita melibatkan diri dengan kemahiran kognitif berbanding dengan terapi standard, kami tidak pasti sama ada ia mengurangkan penggunaan dadah yang berikutnya (bukti kepastian sangat rendah);

- apabila wanita melibatkan diri dengan satu sesi tunggal intervensi berkomputer, ia mungkin menghasilkan sedikit ataupun tiada perbezaan dalam pengurangan penggunaan dadah yang berikutnya (bukti kepastian rendah) berbanding dengan pengurusan kes secara bersemuka;

-apabila wanita melibatkan diri dengan terapi tingkah laku dialektik dan pengurusan kes, kami tidak pasti sama ada ia menghasilkan pengurangan dalam pengunaan dadah yang berikutnya berbanding dengan skim promosi kesihatan (bukti kepastian sangat rendah);

- apabila wanita melibatkan diri dengan program komuniti terapeutik, kami tidak pasti sama ada ia mengurangkan penggunaan dadah dan aktiviti jenayah yang berikutnya berbanding dengan program pelepasan kerja (bukti kepastian sangat rendah hingga rendah);

- apabila wanita melibatkan diri dengan perancangan discaj intensif setelah dibebaskan, ia mungkin tidak mengurangkan penggunaan dadah dan aktiviti jenayah yang berikutnya berbanding dengan penjara sahaja (bukti kepastian sederhana).

Sumber dana telah dilaporkan oleh semua kajian dan merangkumi yayasan kerajaan dan penyelidikan/amal.

Adakah ulasan ini terkini?

Februari 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Ilyas bin Afendi. Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi m.ilyas.afendi@gmail.com

Tools
Information