Penggunaan saliran selepas pembedahan pankreas

Soalan ulasan

Bolehkah penggunaan saliran mengurangkan komplikasi pasca pembedahan selepas pembedahan pankreas?

Latar belakang

Penggunaan saliran pembedahan adalah amalan yang sangat biasa selepas pembedahan pankreas. Walau bagaimanapun, peranan saliran dalam mengurangkan komplikasi selepas pembedahan pankreas (disebut komplikasi pasca pembedahan) adalah kontroversi.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2021.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mencari semua kajian yang relevan, kajian-kajian yang dijalankan dengan baik, sehingga Februari 2021. Kami telah memasukkan sembilan kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta dimasukkan secara rawak kepada dua atau lebih intervensi, mungkin memasukkan intervensi kawalan atau tanpa intervensi, dan keputusan kajian dibandingkan). Sembilan kajian tersebut merangkumkan 1892 peserta yang menjalani pembedahan pankreas. Empat daripada sembilan kajian telah merawakkan 1110 peserta untuk penggunaan saliran (bilangan peserta = 560) atau tanpa penggunaan saliran (N = 550). Dua kajian telah merawakkan 383 peserta ke saliran aktif (saliran dengan sedutan bertekanan rendah atau tinggi, N = 194) dan saliran pasif (saliran tanpa sedutan, N = 189). Tiga kajian merawakkan 399 peserta dengan risiko rendah fistula pankreas selepas pembedahan (komunikasi yang tidak normal antara pankreas dan organ lain akibat kebocoran jus pankreas yang mengandungi enzim pencernaan daripada duktus pankreas yang rosak) kepada pembuangan saliran awal (N = 200) atau pembuangan saliran lewat (N = 199).

Sumber pembiayaan kajian

Lima daripada sembilan kajian yang disertakan telah ditaja oleh geran bukan komersial. Dua kajian tidak melaporkan mana-mana sumber pembiayaan. Dua kajian yang lain tidak melaporkan sumber dana.

Keputusan utama

Penggunaan saliran boleh mengurangkan kematian pada 90 hari. Berbanding dengan tanpa penggunaan saliran, bukti menunjukkan bahawa penggunaan saliran boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kematian pada 30 hari, jangkitan luka, tempoh tinggal di hospital, keperluan untuk prosedur terbuka tambahan untuk komplikasi selepas pembedahan, dan kualiti hidup. Terdapat satu komplikasi berkaitan saliran (tiub saliran rosak) di dalam kumpulan saliran (0.2%). Penggunaan saliran mungkin mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam komplikasi keseluruhan. Bukti adalah sangat tidak pasti tentang kesan penggunaan saliran pada jangkitan dalam abdomen dan keperluan intervensi radiologi tambahan untuk komplikasi pasca pembedahan.

Berbanding dengan saliran pasif, bukti adalah sangat tidak pasti tentang kesan saliran aktif terhadap kematian pada 30 hari, jangkitan dalam abdomen, jangkitan luka, komplikasi keseluruhan, tempoh tinggal di hospital, dan keperluan untuk prosedur terbuka tambahan untuk komplikasi pasca pembedahan. Tiada komplikasi berkaitan saliran dalam kedua-dua kumpulan.

Bukti adalah sangat tidak pasti tentang kesan pembuangan saliran awal terhadap kematian pada 30 hari, jangkitan luka, kos hospital, dan keperluan untuk prosedur terbuka atau radiologi tambahan untuk komplikasi pasca pembedahan. Kami mendapati bahawa penyingkiran saliran awal boleh mengurangkan jangkitan dalam abdomen, komplikasi keseluruhan, dan tempoh tinggal di hospital, tetapi buktinya adalah sangat tidak pasti. Tidak ada kajian yang melaporkan komplikasi berkaitan saliran.

Adalah tidak jelas sama ada penggunaan rutin saliran mempunyai sebarang kesan terhadap kematian pada 30 hari atau komplikasi selepas pembedahan, berbanding dengan tanpa penggunaan saliran. Penggunaan rutin saliran boleh mengurangkan kematian pada 90 hari berbanding dengan tanpa penggunaan saliran. Bukti adalah sangat tidak pasti tentang kesan saliran aktif terhadap kematian pada 30 hari atau komplikasi pasca pembedahan, berbanding dengan saliran pasif. Berbanding dengan pembuangan saliran lewat, pembuangan saliran awal nampaknya mengurangkan jangkitan dalam abdomen, komplikasi keseluruhan, tempoh tinggal di hospital bagi orang yang mempunyai risiko rendah fistula pankreas pasca pembedahan, tetapi buktinya adalah sangat tidak pasti.

Kepastian bukti

Kesemua sembilan kajian mempunyai kelemahan yang berpotensi menjejaskan kebolehpercayaan keputusan mereka. Secara keseluruhannya, kepastian tentang bukti berkisar antara sangat rendah hingga sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amirul Mohd Sallehuddin Mannan (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information