Aktiviti yang disesuaikan secara peribadi untuk penghidap demensia yang tinggal di rumah mereka sendiri

Latar belakang

Pesakit demensia yang tinggal di rumah mereka sendiri selalunya melakukan sedikit aktiviti sahaja. Sekiranya seorang pesakit demensia berpeluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang sesuai dengan minat dan pilihan peribadinya, ini boleh membawa kepada kualiti hidup yang lebih baik, mengurangkan tingkah laku yang mencabar seperti kegelisahan atau agresif, dan mempunyai kesan positif yang lain.

Tujuan ulasan

Kami menyiasat kesan menawarkan pesakit demensia yang tinggal di rumah mereka sendiri aktiviti yang disesuaikan dengan minat peribadi mereka.

Kajian-kajian yang dirangkumkan dalam ulasan ini

Pada bulan September 2019 kami mencari kajian di mana pesakit demensia yang tinggal di rumah mereka sendiri ditawarkan aktiviti berdasarkan minat masing-masing, atau penjaga keluarga ditawarkan aktiviti seperti itu (kumpulan intervensi) dibandingkan dengan pesakit demensia lain yang tinggal di rumah mereka sendiri yang tidak ditawarkan aktiviti ini atau yang penjaga keluarganya tidak dilatih dalam melaksanakan aktiviti tersebut (kumpulan kawalan).

Kami menemui lima kajian yang merangkumkan 262 pesakit demensia yang tinggal di rumah mereka sendiri. Purata umur peserta kajian adalah berkisar dari 71 hingga 83 tahun. Semua kajian adalah kajian rawak terkawal, iaitu peserta ditugaskan secara rawak kepada kumpulan intervensi atau kumpulan kawalan. Dalam satu kajian, peserta dalam kumpulan kajian beralih setelah waktu tertentu ke kumpulan lain (iaitu program aktiviti ditawarkan kepada peserta dalam kumpulan kawalan, dan peserta kumpulan intervensi tidak lagi menerima program aktiviti). Peserta menghidapi demensia ringan hingga sederhana, dan kajian berlangsung dari dua minggu hingga empat bulan.

Dalam empat kajian, penjaga keluarga dilatih untuk melaksanakan kegiatan berdasarkan rancangan penjagaan individu, dan dalam satu kajian aktiviti ditawarkan terus kepada para peserta. Aktiviti yang ditawarkan dalam kajian adalah tidak banyak berbeza. Dalam dua kajian, kumpulan kawalan menerima beberapa maklumat mengenai penjagaan demensia melalui telefon atau dalam pertemuan peribadi dengan seorang pakar, dan dalam tiga kajian kumpulan kawalan hanya menerima penjagaan biasa yang diberikan di rumah mereka. Kualiti kajian dan bagaimana ia dilaporkan adalah berbeza-beza, yang mempengaruhi keyakinan kami dalam keputusannya.

Penemuan utama

Menawarkan aktiviti yang disesuaikan secara peribadi dapat menambah baik tingkah laku yang mencabar dan meningkatkan sedikit kualiti hidup pesakit demensia yang tinggal di rumah mereka sendiri, tetapi mungkin mempunyai sedikit atau tidak ada kesan terhadap kemurungan, afektif, kepasifan, dan keterlibatan (terlibat dalam apa yang berlaku di sekitar mereka) pesakit demensia. Kegiatan yang disesuaikan secara peribadi mungkin sedikit menambah baik tekanan penjaga, tetapi mungkin sedikit atau tiada kesan terhadap beban penjaga, kualiti hidup, dan kemurungan. Tidak ada kajian yang mencari kesan berbahaya dan tidak ada kajian yang menghuraikan berlakunya kesan berbahaya.

Kesimpulan

Kami menyimpulkan bahawa menawarkan sesi aktiviti kepada pesakit demensia ringan hingga sederhana yang tinggal di rumah mereka sendiri mungkinmembantu menguruskan tingkah laku yang mencabar dan mungkin sedikit menambah baik kualiti hidup mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nadia Nur Ayunni Amir Hamzah. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save