Rawatan ubat dan rokok elektronik untuk berhenti merokok semasa mengandung

Apakah isunya?

Merokok semasa mengandung membahayakan wanita dan bayi. Walau bagaimanapun, ramai wanita yang merokok mati akal untuk berhenti semasa mengandung. Ubat untuk berhenti merokok mengurangkan kekuatan keinginan, bermakna orang yang cuba berhenti merokok lebih cenderung untuk berjaya dalam jangka masa panjang. Penyediaan rawatan ini kepada wanita mengandung yang merokok mungkin dapat membantu mereka berhenti merokok dan memberi kesan positif terhadap kesihatan mereka sendiri dan kesihatan bayi mereka.

Mengapa ini penting?

Ubat-ubatan yang biasa digunakan untuk membantu orang berhenti merokok termasuk terapi penggantian nikotin (NRT), bupropion, dan varenicline. Rokok elektronik yang mengandungi nikotin juga digunakan oleh sesetengah perokok untuk membantu mengelakkan merokok. Walau bagaimanapun, keselamatan dan keberkesanan ubat pemberhentian merokok dan rokok elektronik pada wanita mengandung tidak diketahui. Kami mencari kajian yang melihat betapa baiknya kaedah ini membantu wanita mengandung berhenti merokok dan betapa selamatnya ketika digunakan semasa mengandung.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti pada 20 Mei 2019 dan mengenal pasti 11 kajian rawak (sejenis kajian di mana para peserta dibahagikan kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan-kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang mendaftarkan sejumlah 2412 wanita. Sembilan kajian mengkaji NRT yang digunakan bersama dengan kaunseling untuk berhenti merokok, sementara dua kajian lain mengkaji bupropion.

Bukti berkualiti rendah mencadangkan NRT bersama dengan sokongan tingkah laku mungkin dapat membantu wanita dalam berhenti merokok pada lewat kandungan lebih daripada sokongan tingkah laku sahaja.. Kajian ubat-ubatan sering menggunakan plasebo, iaitu tablet atau tampalan yang kelihatan seperti ubat tetapi tidak betul-betul mengandunginya, supaya setiap kumpulan perbandingan mempunyai harapan yang sama dengan kejayaan.Ini adalah jenis kajian yang lebih adil tentang manfaat ubat itu sendiri. Apabila hanya kajian-kajian plasebo terkawal yang berkualiti tinggi dianalisis, bukti mencadangkan bahawa NRT lebih berkesan daripada plasebo NRT. Tiada bukti menunjukkan sama ada tampalan nikotin atau NRT bertindak pantas (seperti gula-gula atau lozenge) adalah lebih berkesan daripada yang lain.

Bukti yang berkualiti rendah menunjukkan bahawa bupropion mungkin tidak lebih berkesan daripada plasebo dalam membantu wanita berhenti merokok semasa lewat tempoh kandungan. Kami tidak menemui sebarang kajian yang menyiasat ubat-ubatan farmaseutikal berhenti merokok atau rokok elektronik lain.

Tidak ada bukti mencukupi untuk menyimpulkan sama ada NRT mempunyai kesan positif atau negatif terhadap kadar keguguran, kelahiran mati, kelahiran pramatang (kurang daripada 37 minggu), min berat badan lahir, berat badan lahir rendah (kurang daripada 2500 g), kemasukan bayi ke rawatan intensif neonatal, atau kematian bayi baru lahir. Namun, dalam satu kajian dimana bayi diperhatikan sehingga umur dua tahun, bayi yang dilahirkan kepada wanita yang menerima NRT secara rawak lebih cenderung mempunyai perkembangan yang baik. Begitu juga, tidak jelas sama ada bupropion mempunyai kesan positif atau negatif terhadap hasil kelahiran.

Kajian yang menilai sama ada wanita menggunakan ubat-ubatan berhenti merokok seperti yang diarahkan mendapati bahawa penggunaan ubat secara umumnya adalah rendah, dan majoriti wanita menggunakan sedikit daripada NRT yang telah diberikan kepada mereka.

Apakah maksudnya?

Lebih banyak bukti kajian masih adalah diperlukan, secara khususnya, kajian plasebo terkawal yang menguji dos NRT yang lebih tinggi, menggalakkan wanita menggunakan ubat yang mencukupi serta mengikuti perkembangan bayi sehingga ke zaman kanak-kanak. Selain itu, lebih banyak kajian diperlukan untuk menyiasat kesan dan keselamatan bupropion, rokok elektronik, dan varenicline untuk berhenti merokok semasa mengandung.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (International Medical University). Ditkemaskini oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information