Homeopati untuk rawatan Sindrom Rengsa Usus

Apakah Sindrom Rengsa Usus?

Sindrom Rengsa Usus (IBS) ialah satu gangguan kronik yang biasa dilihat, di mana seseorang mengalami gejala-gejala seperti berikut: sakit perut, ketidakselesaan, perasaan kembung, sembelit atau cirit-birit atau kedua-duanya. Ia sukar untuk dirawat kerana setiap orang akan mengalami gejala yang berbeza dengan satu sama lain. Sesetengah orang mengalami sembelit sebagai gejala yang utama, IBS jenis ini dikenali sebagai IBS-C, sementara yang lain pula mengalami cirit-birit sebagai gejala yang utama. IBS jenis ini dikenali sebagai IBS-D. Orang yang lain juga mengalami kedua-dua sembelit dan cirit-birit, IBS jenis ini dikenali IBS-M di mana M bermaksud bercampur. Pada masa ini, tidak ada persetujuan mengenai jenis rawatan yang paling baik untuk rawatan IBS. Ini bermakna ia adalah penting untuk menilai keberkesanan dan keselamatan rawatan-rawatan yang wujud, termasuklah rawatan homeopati, yang digunakan oleh sesetengah pesakit IBS.

Apakah itu homeopati?

Terdapat pelbagai jenis rawatan homeopati. Homeopati klinikal akan memadankan sesuatu ‘remedi’ dengan penyakit yang tertentu dan mereka yang mempunyai penyakit tersebut akan diberi remedi yang sama. Homeopati berdasarkan individu melibatkan sesi perundingan yang mendalam secara berturut-turut untuk menilai gejala-gejala dan isu-isu lain yang boleh menjejaskan pesakit. Selepas sesi perundingan yang mendalam, pengamal homeopati tersebut akan memilih remedi yang paling sesuai berdasarkan gejala-gejala orang tersebut. Homeopati berdasarkan individu termasuk kedua-dua sesi perundingan dan remedi, manakala homeopati klinikal terdiri daripada remedi tanpa sesi perundingan yang mendalam.

Apakah yang dikaji oleh para penyelidik?

Para penyelidik telah mengkaji sama ada rawatan homeopati membawa kepada penambahbaikan gejala-gejala IBS dalam golongan pesakit yang menghidapi IBS.

Apakah yang ditemui oleh para penyelidik?

Sejumlah empat percubaan terkawal rawak (RCT) dengan 307 orang peserta yang menghidapi IBS telah dirangkumkan. Dua RCT (129 orang peserta) telah membandingkan rawatan homeopati (asafoetida dan asafoetida plus nux vomica) dengan remedi plasebo untuk rawatan pesakit IBS-C. Satu kajian (23 orang peserta) telah membandingkan rawatan homeopati berdasarkan individu dengan penjagaan biasa dalam kalangan pesakit wanita yang didapati menghidapi IBS. Salah satu kajian (94 orang peserta) adalah kajian ‘three armed’ yang membandingkan rawatan homeopati berdasarkan individu tambahan rawatan biasa, pendengaran sokongan tambahan penjagaan biasa, dan penjagaan biasa.

Empat percubaan terkawal rawak tersebut telah menguji kesan-kesan rawatan homeopati ke atas keterukan gejala-gejala IBS. Tiada kesimpulan yang boleh diambil daripada percubaan terkawal rawak yang membandingkan rawatan homeopati berdasarkan individu dengan penjagaan biasa kerana jumlah peserta dalam kajian tersebut dan kualiti laporan yang dibuat juga rendah. Kajian ini telah dijalankan pada tahun 1990 dan penjagaan biasa untuk IBS berkemungkinan telah berubah sejak masa itu dan hal ini menyebabkan ia sukar untuk membandingkan hasil dari kajian tersebut dengan rawatan yang kini digunakan pada masa ini.

Tiada kesimpulan yang boleh diambil daripada kajian ‘three armed’ yang membandingkan rawatan homeopati berdasarkan individu tambahan penjagaan biasa, pendengaran sokongan tambah penjagaan biasa, dan penjagaan biasa kerana jumlah peserta dalam kumpulan rawatan homeopati adalah kecil (n=16).

Hasil-hasil daripada dua kajian kecil telah digabungkan (129 orang peserta) dan ini mencadangkan bahawa terdapat kemungkinan homeopati klinikal lebih berfaedah, melalui penggunaan asafoetida, daripada plasebo untuk pesakit IBS-C dalam susulan jangka masa pendek untuk dua minggu. Namun demikian, kedua-dua kajian tersebut telah dijalan pada tahun 1970-an dan pada ketika itu laporan percubaaan-percubaan tidak sebegitu menyeluruh berbanding dengan yang dibuat pada masa ini dan kami sangat tidak pasti tentang hasil-hasil ini dan juga tidak boleh mencadangkan faedah rawatan homeopati klinikal yang berpotensi.

Kesimpulan

Keputusan bagi hasil-hasil yang dinilai dalam ulasan ini adalah tidak pasti. Oleh itu, tiada kesimpulan yang kukuh boleh dibuat mengenai keberkesanan dan keselamatan rawatan homeopati untuk IBS. RCT yang lebih berkualiti yang melibatkan lebih ramai pesakit diperlukan untuk menilai keberkesanan dan keselamatan homeopati berdasarkan individu dan klinikal untuk pesakit IBS.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information