Rawatan untuk mengurangkan suhu badan 35°C hingga 37.5°C bagi mereka di hospital selepas kecederaan traumatik otak

Latar belakang

Kecederaan otak traumatik berlaku akibat kesan langsung ke otak, seperti selepas kemalangan jalan raya atau jatuh dari ketinggian. Ini adalah penyebab utama kematian dan kecacatan, dan dialami oleh kira-kira 5.5 juta orang di seluruh dunia setiap tahun. Kerosakan berlaku dalam dua peringkat: pertama, pada masa hentaman; dan kedua, dalam beberapa jam dan minggu selepas kecederaan. Pengurusan kecederaan otak traumatik bertujuan untuk mengurangkan kesan kerosakan sekunder ini. Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa orang dengan suhu badan yang normal setelah kecederaan mungkin mempunyai hasil yang lebih baik daripada mereka yang mempunyai suhu yang lebih tinggi.

Soalan ulasan

Kajian ini menilai sama ada ubat-ubatan atau rawatan penyejukan fizikal yang tidak menggunakan ubat-ubatan, diberi untuk mengurangkan suhu badan sehingga mencapai antara 35 ° C hingga 37.5 ° C, mempengaruhi dapatan dalam orang dewasa atau kanak-kanak yang berada di hospital setelah kecederaan traumatik pada otak.

Tarikh carian

Kami mencari kajian rawak terkawal (RCT) sehingga 28 November 2019. RCT menetapkan peserta ke kumpulan rawatan secara kebetulan, dan memberikan bukti yang paling dipercayai.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati hanya satu kajian kecil dengan 41 orang yang baru-baru ini dimasukkan ke unit rawatan rapi setelah mengalami kecederaan traumatik kepala. Kajian ini menilai kesan paracetamol, yang diberikan secara intravena (melalui jarum atau tiub yang dimasukkan ke dalam vena) selama 72 jam, dibandingkan dengan larutan garam intravena yang disamarkan agar kelihatan seperti larutan paracetamol.

Kami tidak menemui laporan penuh kajian yang mana pesakit yang mengalami kecederaan traumatik pada otak diberi ubat lain atau rawatan penyejukan fizikal, seperti selimut, kipas angin, atau ais untuk menyejukkan permukaan kulit, atau cairan intravena yang disejukkan. Kami menjumpai laporan ringkas mengenai satu kajian rawatan penyejukan fizikal yang sangat kecil. Laporan itu tidak memberikan maklumat yang cukup untuk kami memasukkan datanya, tetapi kami mungkin akan menyertakannya pada masa akan datang jika lebih banyak maklumat tersedia.

Kami juga menemui empat kajian yang sedang dijalankan, yang mungkin memberikan lebih banyak bukti untuk tinjauan setelah mereka selesai. Beberapa kajian merangkumi peserta yang mengalami kecederaan otak jenis lain. Kami hanya dapat memasukkan kajian ini dalam tinjauan jika mereka melaporkan penemuan bagi orang yang mengalami kecederaan traumatik otak secara berasingan daripada orang dengan keadaan lain.

Keputusan utama

Kami tidak pasti sama ada paracetamol mempengaruhi jumlah orang yang mati dalam masa 28 hari selepas kecederaan. Kajian ini tidak melaporkan maklumat mengenai : sama ada orang mempunyai hasil yang buruk (ditakrifkan sebagai kematian atau ketergantungan); tambahnya pendarahan serius di dalam otak; pendarahan kepala di luar otak; peningkatan tekanan di dalam tengkorak (tekanan intrakranial); radang paru-paru atau jangkitan serius lain.

Kepastian bukti

Walaupun kajian yang memberikan data pada umumnya menggunakan kaedah yang baik, kami menilai ia mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi kerana penulis kajian tidak mencatat terlebih dahulu bahawa mereka berencana untuk melaporkan jumlah orang yang meninggal dunia, walaupun mereka berkongsi rancangan kajian mereka sebelum mereka memulakan kajian. Hanya ada satu kajian, dengan sangat sedikit peserta, bermakna kita tidak dapat memastikan sama ada hasilnya sama dalam kajian yang lebih besar dengan lebih banyak peserta.

Kami menilai bukti yang ada tidak berapa kukuh kepastiannya. Ini bermakna kami tidak begitu yakin dengan dapatan utama dalam tinjauan ini. Kesan sebenar rawatan mungkin sangat berbeza dari dapatan utama yang dilaporkan di sini.

Kesimpulannya

Kami tidak pasti akan kesan ubat-ubatan dan rawatan penyejukan fizikal yang lain untuk menurunkan suhu badan kepada 35 ° C hingga 37.5 ° C, apabila diberikan kepada mereka di hospital setelah mengalami kecederaan traumatik di kepala. Kajian tambahan diperlukan untuk menjawab soalan ini. Dalam kemas kini yang akan datang, kami akan menilai kesan sampingan rawatan, seperti mual dan muntah, atau ketidakselesaan, dan kami berharap kajian yang berterusan dan akan datang akan melihat hasil penting ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save