Pemulihan penglihatan rendah untuk kualiti kehidupan yang lebih baik dalam kalangan orang dewasa yang cacat penglihatan

Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada pemulihan penglihatan rendah dapat meningkatkan kualiti hidup (QOL) untuk orang cacat penglihatan. Penulis Ulasan Cochrane mengumpul dan menganalisa semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati 44 kajian.

Mesej-mesej utama
Pemulihan penglihatan rendah tidak kelihatan mempunyai kesan yang penting terhadap QOL yang berkaitan dengan kesihatan namun buktinya adalah sangat rendah. Terdapat bukti yang rendah-kepastian bahawa beberapa intervensi pemulihan penglihatan rendah, terutamanya terapi psikologi dan kaedah meningkatkan penglihatan, boleh memperbaiki QOL berkaitan dengan penglihatan dalam kalangan orang dengan kehilangan penglihatan berbanding dengan penjagaan biasa.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Seseorang yang cacat penglihatan mempunyai masalah dengan penglihatan mata mereka.. Sekiranya kehilangan penglihatan tidak dapat diperbetulkan dengan cermin mata atau kanta lekap, atau sebaliknya dirawat, maka pemulihan penglihatan rendah boleh membantu meningkatkan kualiti hidup bagi orang yang mengalami masalah penglihatan.

Terdapat pelbagai jenis pemulihan penglihatan rendah dan ini termasuklah:

• Terapi psikologi dan program berkumpulan untuk membantu pesakit menyesuaikan diri dengan kehilangan penglihatan kekal dan meningkatkan kesejahteraan.
• Kaedah meningkatkan penglihatan seperti mengajar penggunaan peranti pembesar, atau teknologi lain, atau mengajar kemahiran untuk memperbaiki penggunaan penglihatan residual dalam kehidupan seharian.
• Program pemulihan pelbagai disiplin, yang boleh melibatkan penggunaan peranti pembesar dan terapi psikologi, serta perkhidmatan lain, termasuk di rumah pesakit.
• Lain-lain jenis perkhidmatan pemulihan yang kurang digunakan seperti latihan keseimbangan atau program keselamatan rumah.

Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?
Penulis Ulasan Cochrane mengenalpasti 44 kajian tentang pemulihan penglihatan rendah dan QOL.

Kebanyakan daripada kajian ini dilaksanakan dalam perkhidmatan pemulihan penglihatan di negara-negara berpendapatan tinggi. Sebilangan besar peserta kajian ini adalah lebih tua dan mempunyai diagnosis degenerasi makula. Kajian ini dianggap sebagai terapi psikologi dan program berkumpulan, kaedah peningkatan penglihatan serta program pemulihan pelbagai disiplin. Dalam kajian ini, orang yang cacat penglihatan melengkapkan soal selidik mengenai kesihatan umum, penglihatan mereka, atau aspek kesejahteraan lain.

Berbanding dengan orang yang kehilangan penglihatan yang tidak mendapat pemulihan penglihatan rendah:

• Pesakit yang kehilangan penglihatan menerima terapi psikologi dan/atau program berkumpulan mungkin mengalami:

⇒ tiada peningkatan dalam QOL berkaitan kesihatan (sangat rendah-kepastian);
⇒ beberapa penambahbaikan dalam QOL yang berkaitan dengan penglihatan (rendah-kepastian).

• Pesakit yang kehilangan penglihatan yang menerima kaedah-kaedah meningkatkan penglihatan mungkin mengalami:

⇒ beberapa penambahbaikan dalam QOL yang berkaitan dengan penglihatan (sangat rendah kepastian);
⇒ (tiada data yang diperolehi untuk QOL berkaitan kesihatan).

• Pesakit yang kehilangan penglihatan yang menerima program pemulihan pelbagai disiplin mungkin mengalami:

⇒ sedikit atau tiada penambahbaikan dalam QOL berkaitan kesihatan (sangat rendah-kepastian);
⇒beberapa penambahbaikan dalam QOL berkaitan dengan penglihatan, terutamanya jika program intensif digunakan (sangat rendah-kepastian).

Berbanding dengan pesakit dengan kehilangan penglihatan yang mendapat penjagaan biasa:

• Pesakit yang kehilangan penglihatan menerima terapi psikologi dan/atau program berkumpulan mungkin mengalami:

⇒ sedikit atau tiada penambahbaikan sama ada dalam QOL berkaitan kesihatan (sangat rendah-kepastian) atau QOL yang berkaitan dengan penglihatan (rendah-kepastian).

• Pesakit yang kehilangan penglihatan yang menerima kaedah-kaedah meningkatkan penglihatan mungkin mengalami:

⇒ sedikit atau tiada penambahbaikan dalam QOL berkaitan kesihatan (sangat rendah-kepastian);
⇒ ada penambahbaikan dalam QOL yang berkaitan dengan penglihatan (sederhana-kepastian).

• Pesakit yang kehilangan penglihatan yang menerima program pemulihan pelbagai disiplin mungkin mengalami:

⇒ sedikit atau tiada penambahbaikan sama ada dalam QOL berkaitan kesihatan (sangat rendah-kepastian) atau QOL yang berkaitan dengan penglihatan (rendah-kepastian).

Terdapat beberapa bukti bahawa terapi psikologi mempunyai kesan positif terhadap harga diri (sangat rendah-kepastian) dan kemurungan (bukti sederhana-kepastian)

Tidak ada bukti yang mencadangkan sebarang kemudaratan (kesan buruk) pemulihan tetapi data adalah terhad.

Adakah ulasan ini terkini?
Pengarang Ulasan Cochrane telah mencari kajian yang diterbitkan sehingga 18 September 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rsiucd.edu.my

Tools
Information