Intervensi bagi mengelakkan jatuh di kalangan warga tua dalam fasiliti penjagaan dan hospital

Soalan ulasan
Apakah keberkesanan intervensi yang direka bentuk untuk mengurangkan jatuh di kalangan warga tua dalam fasiliti penjagaan dan hospital?

Latar belakang
Jatuh oleh warga tua dalam fasiliti penjagaan, seperti rumah penjagaan, dan hospital adalah kejadian lazim yang boleh menyebabkan kehilangan keupayaan berdikari, kecederaan, dan kadang-kadang kematian akibat kecederaan. Intervensi berkesan untuk mengelakkan jatuh adalah penting. Terdapat banyak jenis intervensi digunakan. Diantaranya termasuk senaman, intervensi ubatan seperti suplemen vitamin D dan ulasan tentang ubat yang diambil orang, teknologi persekitaran dan pembantuan termasuk penggera katil atau kerusi atau penggunaan katil istimewa (low/low), intervensi persekitaran sosial yang mensasarkan ahli staf dan perubahan dalam sistem organisasi, dan intervensi pengetahuan. Sejenis intervensi istimewa adalah intervensi pelbagai faktor, di mana pemilihan intervensi tunggal seperti senaman dan suplemen vitamin D adalah berdasarkan penilaian faktor risiko seseorang untuk jatuh. Jatuh dilaporkan dalam dua jenis dalam ulasan kami. Satu hasil adalah kadar jatuh, iaitu bilangan jatuh. Hasil yang satu lagi adalah risiko jatuh, iaitu bilangan orang yang mengalami satu atau lebih banyak jatuh.

Tarikh carian

Kami mencari literatur penjagaan kesihatan untuk laporan kajian rawak terkawal yang relevan kepada ulasan ini sehingga Ogos 2017.

Ciri-ciri kajian
Ulasan ini termasuk 95 ujian rawak terkawal yang melibatkan 138,164 peserta. Tujuh puluh satu kajian (40,374 peserta) adalah dalam fasiliti penjagaan, dan 24 (97,790 peserta) di dalam hospital. Secara purata, peserta di dalam fasiliti penjagaan adalah berumur 84 tahun dan 78 tahun di dalam hospital. Di dalam fasiliti penjagaan, 75% adalah wanita dan di dalam hospital, 52% adalah wanita.

Kualiti bukti
Kebanyakan kajian berada dalam bias risiko tinggi, kebanyakan berkaitan tiadanya pembutaan. Dengan beberapa pengecualian, kualiti bukti untuk intervensi individu dalam mana-mana persekitaran adalah dinilai sebagai rendah atau sangat rendah secara am. Risiko patah tulang dan kejadian sampingan tidak dilaporkan dengan elok dan, apabila dilaporkan, kualiti bukti adalah sangat rendah, bermakna bahawa kami tidak pasti tentang anggaran.

Keputusan utama

Bukti wujud, biasanya daripada kajian tunggal, untuk pelbagai jenis intervensi yang digunakan untuk mengelakkan jatuh dalam kedua-dua persekitaran. Walaubagaimanapun, dalam seterusnya kami meringkaskan hanya hasil jatuh untuk empat intervensi utama dalam fasiliti penjagaan dan tiga intervensi utama dalam hospital.

Fasiliti penjagaan
Kami tidak pasti tentang kesan senaman ke atas kadar jatuh (bukti berkualiti sangat rendah) dan ia mungkin hanya membawa sedikit atau tiada perbezaan kepada risiko jatuh (bukti berkualiti rendah).
Ulasan ubat am mungkin membawa sedikit atau tiada perbezaan kepada kadar jatuh (bukti berkualiti rendah) atau risiko jatuh (bukti berkualiti rendah).
Pemberian vitamin D mungkin mengurangkan kadar jatuh (bukti berkualiti sederhana) tetapi kemungkinnya membawa sedikit atau tiada perbezaan kepada risiko jatuh (bukti berkualiti sederhana). Populasi yang dimasukkan dalam kajian-kajian tersebut mempunyai tahap vitamin D yang rendah.
Kami tidak pasti tentang kesan intervensi pelbagai faktor kepada kadar jatuh (bukti berkualiti sangat rendah). Sedikit atau tiada perbezaan kepada risiko jatuh (bukti berkualiti rendah).

Hospital
Kami tidak pasti sama ada fisioterapi yang ditujukan secara spesifik kepada pengurangan jatuh sebagai tambahan kepada rehabilitasi biasa dalam wad mempunyai sebarang kesan atas kadar jatuh atau pengurangan risiko jatuh (bukti berkualiti sangat rendah).
Kami tidak pasti mengenai kesan katil berpenggara atas kadar jatuh atau risiko jatuh (bukti berkualiti sangat rendah).
Intervensi pelbagai faktor boleh mengurangkan kadar jatuh, namun ini besar kemungkinan lebih cenderung untuk berlaku dalam persekitaran wad rehabilitasi atau geriatrik (bukti berkualiti rendah). Kami tidak pasti tentang kesan intervensi tersebut atas risiko jatuh.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Intan Juliana Abd Hamid (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information