Bilangan embrio untuk pemindahan pada wanita yang menjalani teknologi reproduktif dibantu (ART)

Soalan tinjauan semula

Berapa banyak embrio yang harus dipindahkan bagi pasangan yang menjalani ART?

Latar belakang

Kehamilan berganda menyebabkan risiko kesihatan yang serius bagi para ibu dan bayi. Pemindahan embrio tunggal (SET) dapat mengurangkan kebarangkalian untuk mengandung anak kembar, kembar tiga atau gandaan urutan lebih tinggi tetapi ianya perlu diseimbangkan dengan risiko penurunan peluang kehamilan atau kelahiran hidup. Kami meninjau semula bukti mengenai jumlah embrio yang dipindahkan bagi wanita yang menjalani ART. Bukti adalah terkini sehingga Mac 2020.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 17 kajian rawak terkawal dengan jumlah peserta seramai 2505 orang. Kebanyakan kajian tidak dibiayai secara komersial. Tiada antara kajian tersebut membandingkan pemindahan embrio tunggal (SET) berulang dengan pemindahan embrio berganda. Sebilangan besar kajian mempunyai bilangan peserta yang sedikit. Hasil laporan pemindahan embrio berganda di bawah merujuk kepada pemindahan dwiembrio.

Penemuan utama

Pemindahan embrio tunggal berulang berbanding pemindahan embrio berganda dalam satu kitaran

Berdasarkan bukti berkualiti rendah, tiada petunjuk bahawa keseluruhan kelahiran hidup dan kadar kehamilan klinikal berbeza dengan ketara apabila SET berulang (sama ada dua kitaran pemindahan embrio tunggal atau satu kitaran pemindahan embrio tunggal diikuti dengan pemindahan embrio beku tunggal) dibandingkan dengan pemindahan dwiembrio (DET). Bagi wanita yang mempunyai 42% kemungkinan kelahiran hidup selepas satu kitaran DET, kemungkinan selepas pemindahan embrio tunggal berulang adalah antara 34% dan 46%. Bukti kualiti sederhana menunjukkan bahawa risiko kelahiran berganda adalah jauh lebih rendah bagi kumpulan SET (antara 0% dan 3%) berbanding dengan 13% kemungkinan untuk kehamilan berganda berikutan satu kitaran DET. Kemungkinan bagi kadar keguguran adalah serupa antara kedua-dua kumpulan.

Pemindahan embrio tunggal berbanding pemindahan embrio berganda dalam satu kitaran

Kami menemui bukti berkualiti rendah bahawa kadar kelahiran hidup dan kehamilan klinikal (CPR) adalah lebih rendah selepas satu kitaran SET segar berbanding dengan hasil satu kitaran DET segar. Bagi wanita yang mempunyai 46% kemungkinan kelahiran hidup selepas satu kitaran DET, kemungkinan selepas satu kitaran SET adalah antara 27% dan 35%. Walau bagaimanapun, risiko kehamilan berganda adalah lebih tinggi selepas DET. Tidak ada perbezaan bagi kemungkinan berlaku keguguran antara kedua-dua kumpulan.

Kesimpulan

Walaupun kelahiran hidup dan kehamilan klinikal adalah lebih rendah selepas SET berbanding DET setelah satu kitaran segar, tiada perbezaan didapati antara kadar kelahiran hidup secara keseluruhan dan CPR selepas SET berturut-turut berbanding satu kitaran DET. Walau bagaimanapun, kadar kehamilan berganda jauh lebih rendah selepas SET berbanding DET. Sebilangan besar bukti yang ada pada masa ini melibatkan wanita muda dengan prognosis yang baik.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah hingga sederhana terutamanya disebabkan oleh laporan kaedah kajian yang tidak mencukupi dan ketiadaan penyamaran bagi mereka yang menyampaikan, serta yang menerima intervensi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save