Homeopati Oscillococcinum ® untuk mencegah dan merawat influenza dan penyakit seperti influenza

Soalan ulasan
Bagi menentukan sama ada homeopati Oscillococcinum® adalah lebih berkesan daripada plasebo dalam pencegahan dan/atau rawatan influenza serta penyakit seperti influenza untuk dewasa atau kanak-kanak.

Latar belakang
Influenza (selesema) ialah penyakit pernafasan virus yang amat berjangkit. Selain daripada rawatan untuk komplikasi (seperti radang paru-paru), strategi perubatan konvensional untuk pencegahan atau rawatan selesema adalah tidak berkesan atau memuaskan sepenuhnya. Oscillococcinum® ialah ubat homeopati yang amat cair yang diperbuat daripada jantung dan hati itik liar, yang mungkin merupakan reservoir virus selesema. Sesetengah orang sering mengambil Oscillococcinum® pada musim sejuk sama ada untuk mencegah selesema atau sebagai rawatan untuk gejala selesema.

Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan enam kajian, yang terdiri daripada dua ujian pencegahan (berjumlah 327 dewasa muda hingga pertengahan umur di Russia) dan empat ujian rawatan (berjumlah 1196 remaja dan dewasa di Perancis dan Jerman).

Keputusan utama
Hasil daripada dua ujian pencegahan tidak menunjukkan yang Oscillococcinum® boleh mencegah mulanya selesema. Walaupun keputusan daripada empat ujian klinikal lain mencadangkan Oscillococcinum® boleh melegakan gejala selesema pada 48 jam, ini mungkin kerana wujudnya berat sebelah dalam kaedah ujian. Seorang pesakit melaporkan sakit kepala selepas mengambil Oscillococcinum®. Bukti adalah terkini sehingga September 2014.

Kualiti bukti
Taraf keseluruhan pelaporan kajian adalah rendah, justeru banyak aspek dalam kaedah dan keputusan ujian mempunyai risiko berat sebelah yang tidak jelas. Oleh itu, kami memutuskan yang bukti ini secara keseluruhan adalah bermutu rendah, dan menghalang daripada membuat kesimpulan jelas tentang Oscillococcinum® dalam pencegahan dan rawatan selesema dan penyakit seperti selesema.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hanis Hamdan (Pelajar Pascasiswazah, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information