Langkau ke kandungan utama

Apakah faedah dan kemudaratan terapi laser yang digunakan pada kepala orang yang mengalami strok disebabkan oleh saluran darah yang tersumbat?

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

  • Terapi laser transkranial (terapi cahaya tahap rendah digunakan pada kepala) tidak mengurangkan bilangan kematian atau mengalami hilang upaya sederhana hingga teruk pada 90 hari selepas strok iskemia (di mana aliran darah ke otak disekat oleh darah beku).

  • Kajian sedia ada tidak memberikan bukti yang mencukupi untuk menyokong penggunaan rutin terapi laser transkranial kepada orang dengan strok iskemia.

Apakah strok iskemia, dan bagaimana ia dirawat?

Strok iskemia berlaku apabila darah beku dalam arteri di otak, menyekat aliran darah dan membunuh sel-sel otak. Seseorang yang mengalami strok iskemia mungkin berasa keliru, lemah, atau menghadapi masalah bercakap atau bergerak.

Pada masa ini, rawatan utama untuk strok iskemiameliputi ubat yang disuntik ke dalam vena untuk memecahkan darah beku, dan pembedahan untuk membuang darah beku daripada saluran darah otak. Kedua-dua pilihan ini dikenali sebagai terapi reperfusi: rawatan yang bertujuan untuk membuka semula saluran darah yang tersumbat dan memulihkan bekalan darah ke tisu otak.

Mengapakah ulasan in penting?

Tahap kecederaan otak berikutan strok iskemia bergantung pada berapa lama otak kekurangan oksigen, kerana sel otak hanya boleh bertahan tanpa oksigen untuk masa terhad. Oleh itu, terapi reperfusi perlu diberikan seawal mungkin. Walau bagaimanapun, sesetengah orang yang menerima terapi reperfusi masih mengalami kecacatan teruk dan boleh mati. Ini memerlukan penerokaan rawatan baru.

Terapi laser transkranial juga dikenali sebagai biomodulasi foto, terapi cahaya tahap rendah, atau terapi laser inframerah dekat. Teknologi bukan invasif ini menghantar tenaga laser melalui kulit kepala dan tengkorak untuk merangsang penyembuhan di dalam otak. Ia dianggap sebagai rawatan yang berpotensi meningkatkan hasil selepas strok iskemia.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada terapi laser transkranial boleh membantu kurang ketidakupayaan dan kematian orang dengan strok iskemia, dan sama ada ia dikaitkan dengan kemudaratan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan terapi laser transkranial dengan terapi palsu atau tiada terapi kepada orang yang mengalami strok iskemia, dengan atau tanpa rawatan biasa dalam kedua-dua kumpulan. Kami menilai kualiti kajian yang terlibat, membandingkan dan meringkaskan keputusannya, dan menilai keyakinan kami terhadap penemuan tersebut.

Apakah yang kami temui?

Kami sertakan empat kajian dengan 1420 orang yang mengalami strok iskemia. Kajian terlibat diterbitkan antara 2007 dan 2014 dan di pelbagai hospital di Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan, Asia, atau lebih daripada satu daripada benua ini. Peserta kebanyakannya lelaki (59.6%), dengan purata umur 68.3 tahun. Kesemuanya terlibat dalam kajian dalam tempoh 24 jam selepas mengalami gejala strok.

Berbanding rawatan palsu, terapi laser transkranial menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan orang dengan hilang upaya sederhana hingga teruk atau kematian pada 90 hari selepas strok iskemia. Terapi laser transkranial boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan pada kadar kematian dan peningkatan keterukan strok, dan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan atas kemudaratan. Walau bagaimanapun, ia mengurangkan sedikit kemudaratan yang serius.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kajian terlibat pada umumnya kecil dan berlaku sekurang-kurangnya 10 tahun yang lalu. Terdapat ketidakseragaman dalam penemuan antara kajian, yang menghad keupayaan kami untuk membuat kesimpulan. Satu kajian tidak menjelaskan sama ada orang yang mengukur hasil mengetahui peserta itu tergolong dalam kumpulan mana, yang boleh mempengaruhi cara mereka merekod atau mentafsir keputusan yang berkaitan dengan hilang upaya sederhana hingga teruk, peningkatan keterukan kesan strok dan kemudaratan yang serius.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
He H, Zhang Z, Chen H, Jiang Z, Wang Y, Song X, Liu J, Wu S. Transcranial laser therapy for acute ischaemic stroke. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 7. Art. No.: CD012426. DOI: 10.1002/14651858.CD012426.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan