Mesej utama:
Berbanding profilaksis pra-pendedahan oral (diambil melalui mulut) secara harian (PrEP), lenacapavir mengurangkan bilangan jangkitan HIV baharu dengan lebih banyak lagi; menyebabkan hanya sedikit kesan tidak diingini yang serius; dan menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kesan tidak diingini secara keseluruhan atau risiko kematian. Lenacapavir berkemungkinan menyebabkan reaksi pada lokasi suntikan yang bersifat lebih ringan hingga sederhana berbanding PrEP oral.
Kajian pada masa akan datang harus merangkumi golongan lain yang juga berisiko mendapat HIV, dan harus memantau sebarang rintangan ubat yang muncul (apabila virus berubah dari semasa ke semasa sehingga ubat yang digunakan untuk mencegahnya tidak lagi berfungsi) yang semakin banyak terhadap PrEP.
Apakah profilaksis pra-pendedahan untuk HIV?
Profilaksis pra-pendedahan (PrEP) ialah ubat yang diambil oleh mereka yang HIV-negatif untuk mengurangkan risiko dijangkiti HIV. HIV ialah virus yang merebak melalui hubungan dengan cecair badan yang dijangkiti, seperti cecair seksual dan darah daripada orang yang hidup dengan penyakit ini. Setiap tahun, kira-kira 1.3 juta orang akan dijangkiti HIV, jadi mencegah JANGKITAN HIV merupakan keutamaan kesihatan global yang penting. PrEP dengan beberapa ubat antivirus adalah salah satu cara utama untuk mengelakkan penyebaran HIV.
Buat masa ini, pilihan PrEP yang ada termasuk ubat oral harian (diambil melalui mulut), seperti tenofovir disoproxil fumarate digabungkan dengan emtricitabine (F/TDF) atau tenofovir alafenamide digabungkan dengan emtricitabine (F/TAF), dan suntikan yang diberikan setiap dua bulan (cabotegravir). Ubat-ubatan pencegahan ini hanya berkesan jika diambil secara berkala (iaitu setiap hari untuk ubat oral dan setiap dua bulan untuk cabotegravir, suntikan yang bertindak pada jangka masa yang panjang). Lenacapavir ialah ubat yang lebih baharu dan bertindak pada jangka masa yang panjang, yang hanya perlu disuntik setiap enam bulan.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada lenacapavir berfungsi lebih baik daripada ubat antivirus oral (F/TDF dan F/TAF), cabotegravir, plasebo ( rawatan palsu) atau tiada PrEP dalam mencegah HIV. Kami juga ingin tahu sama ada lenacapavir menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini .
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan lenacapavir dengan PrEP oral , cabotegravir, plasebo atau tiada PrEP pada golongan mereka yang HIV-negatif tetapi berisiko dijangkiti HIV.
Kami meringkaskan keputusan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui dua kajian yang melibatkan 8660 orang yang berisiko dijangkiti HIV. Kedua-dua kajian membandingkan lenacapavir dengan PrEP oral selama 52 minggu. Kajian-kajian tersebut melibatkan remaja perempuan, wanita muda, orang yang pelbagai jantina, dan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki. Kami tidak menemui sebarang kajian yang membandingkan lenacapavir dengan cabotegravir.
Lenacapavir mencegah lebih banyak jangkitan HIV baharu berbanding PrEP oral . Secara keseluruhan, kesan tidak diingini adalah serupa antara kumpulan-kumpulan rawatan, tetapi lenacapavir menyebabkan lebih banyak reaksi di sekeliling lokasi suntikan. Tiada perbezaan antara lenacapavir dan PrEP oral dalam bilangan kematian yang dilaporkan, dan tiada kematian yang berkaitan dengan mana-mana rawatan.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami yakin dengan kebanyakan bukti sedia ada. Walau bagaimanapun, penemuan kami hanya berdasarkan dua kajian, yang kedua-duanya hanya berlangsung selama satu tahun, yang tidak cukup lama untuk memahami manfaat dan kemudaratan lenacapavir dalam jangka masa panjang. Tiada kajian membandingkan lenacapavir dengan cabotegravir, satu lagi ubat PrEP yang diberi secara suntikan. Penyelidikan berterusan berkemungkinan boleh membawa kepada perubahan dalam pemahaman kita tentang kesan lenacapavir dalam populasi yang lebih pelbagai.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti ini terkini sehingga Mei 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




