Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Apakah bukti semasa tentang tadbir urus kewangan yang digunakan untuk mengurus perkhidmatan pemulihan dalam sistem kesihatan di seluruh dunia?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

• Kami menemui bukti yang sangat terhad tentang bagaimana tadbir urus kewangan menjejaskan akses kepada perkhidmatan pemulihan. Hanya satu kajian yang dijalankan di China menyentuh secara khusus hasil pemulihan berkaitan dengan perlindungan insurans. • Lebih banyak kajian diperlukan dengan segera untuk memahami strategi kewangan yang paling menyokong perkhidmatan pemulihan yang saksama dan berkesan.

Apakah itu tadbir urus kewangan?

Tadbir urus kewangan merujuk kepada kaedah yang digunakan oleh sistem kesihatan untuk menguruskan kewangan mereka dalam memberikan penjagaan. Ini termasuk bagaimana dana dikumpul (seperti cukai atau premium insurans), bagaimana skim insurans distrukturkan, bagaimana perkhidmatan dibayar (seperti gaji atau pembayaran balik), dan sama ada insentif atau penalti kewangan digunakan untuk mempengaruhi tingkah laku penyedia perkhidmatan atau pesakit.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin memahami apa yang dikatakan oleh penyelidikan semasa tentang tadbir urus kewangan dalam pemulihan. Secara khususnya, kami ingin mengetahui bagaimana model dana dan sistem pembayaran berbeza mempengaruhi akses, kualiti, dan penggunaan perkhidmatan pemulihan di seluruh dunia.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari ulasan sistematik yang diterbitkan antara 2015 dan 2024 yang menilai tadbir urus kewangan dalam pemulihan.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui dua ulasan sistematik bukan Cochrane yang berkaitan. Kami menyingkirkan salah satu daripadanya daripada analisis kerana kualiti metodologinya yang rendah. Ulasan yang satu lagi melibatkan 18 kajian primer, tetapi hanya satu kajian yang menumpukan kepada pemulihan. Berdasarkan kajian tunggal yang dijalankan di China ini, ulasan sistematik bukan Cochrane melaporkan bahawa kanak-kanak kurang upaya intelektual yang mempunyai insurans kesihatan mungkin lebih cenderung untuk menggunakan perkhidmatan pemulihan berbanding mereka yang tidak mempunyai insurans kesihatan.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Bukti adalah sangat terhad dan terpisah. Kebanyakan kajian tidak tertumpu pada pemulihan. Satu-satunya kajian yang menyediakan data yang berkait secara langsung dengan soalan ulasan kami telah dijalankan di sebuah negara dalam kalangan populasi tertentu (kanak-kanak berumur sejak lahir hingga 17 tahun). Kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti daripada kajian ini kerana peserta tidak dibahagikan secara rawak ke dalam kumpulan insurans/tanpa insurans. Ini bermakna perbezaan antara kumpulan mungkin disebabkan oleh faktor-faktor selain daripada mempunyai atau tidak mempunyai insurans kesihatan.

Kami tidak dapat membuat kesimpulan tentang tadbir urus kewangan yang paling berkesan untuk mengatur perkhidmatan pemulihan. Kajian berkualiti tinggi yang selanjutnya amat diperlukan, terutamanya di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, bagi membimbing keputusan dasar dan meningkatkan akses kepada pemulihan.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga November 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Gimigliano F, Liguori S, Arienti C, Paoletta M, Butzbach O, Iolascon G, Atkinson-Graham M, Bakaa N, Battel I, Capodaglio P, Cordani C, Côté P, Décary S, De Groote W, Del Furia MJ, Duttine A, Engeda EHaileselassie, Frontera WR, Kiekens C, Konstantinidis T, Minozzi S, Mudau Q, Ryan R, Sabariego C, Touhami D, Negrini S, Moretti A. Financial arrangements for rehabilitation services in health systems: an overview of systematic reviews. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 2. Art. No.: CD016327. DOI: 10.1002/14651858.CD016327.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan