Mesej utama
• Terdapat hanya sedikit bukti yang boleh dipercayai tentang cara terbaik untuk melaksanakan perkhidmatan pemulihan di dalam sistem kesihatan. Kebanyakan bukti datang dari negara berpendapatan tinggi, dan kami tidak menemui bukti dari negara berpendapatan rendah, jadi penemuan ini tidak terpakai untuk semua tempat. • Memberi sokongan tambahan untuk membantu individu memulakan dan menyelesaikan pemulihan jantung (strategi pelaksanaan seperti berhubung secara bersemuka, kaunseling motivasi atau sokongan daripada jururawat atau profesional kesihatan yang lain) mungkin memberikan manfaat kecil dari segi penyertaan. • Kami tidak pasti tentang kesan penggunaan telekesihatan (melalui video atau telefon) untuk sokongan golongan yang sudah berusia yang berada dalam keadaan kesihatan yang lebih lemah untuk bersenam dari segi fungsi fizikal. Telekesihatan mungkin memberi sedikit atau tiada kesan terhadap kualiti hidup. • Mengubah cara bagaimana profesional kesihatan bekerja melalui strategi pelaksanaan, seperti memberi latihan, garis panduan, maklum balas atau senarai semak, tidak menunjukkan perubahan yang jelas dalam meningkatkan hasil pada kesihatan pesakit, tetapi ia mungkin boleh berfungsi seperti perkhidmatan pemulihan secara tradisional. • Lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi diperlukan, terutamanya di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, untuk lebih memahami bagaimana strategi ini mempengaruhi kesihatan dan pemulihan orang ramai.
Mengapakah kami melakukan ulasan ini?
Rehabilitasi atau pemulihan membantu individu mendapatkan semula atau meningkatkan kebolehan fizikal, mental atau sosial mereka selepas jatuh sakit, atau selepas mengalami kecederaan atau pembedahan. Keperluan untuk perkhidmatan rehabilitasi semakin meningkat di seluruh dunia. Orang ramai hidup lebih lama dan terselamat daripada pelbagai penyakit dan kecederaan berbanding sebelum ini. Ini bermakna mereka hidup dengan masalah-masalah kesihatan jangka panjang. Walau bagaimanapun, ramai orang yang memerlukan pemulihan tidak menerimanya, terutamanya di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, di mana profesional terlatih yang menawarkan perkhidmatan pemulihan tidak mencukupi. Ulasan ini melihat kepada strategi (tindakan atau pendekatan) yang telah dikaji oleh para penyelidikbagi menambah baik bagaimana perkhidmatan pemulihan ini boleh berfungsi dengan lebih baik untuk para pesakit di seluruh dunia.
Apakah itu strategi pelaksanaan?
Strategi pelaksanaan merupakan tindakan yang direka untuk menambah baik cara perkhidmatan kesihatan dilaksanakan. Dalam pemulihan, strategi ini adalah bertujuan untuk mengubah tingkah laku profesional kesihatan, menambah baik cara perkhidmatan disusun atau menambah baik cara memberi sokongan kepada orang yang akan mendapat manfaat daripada pemulihan.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin menjawab soalan-soalan berikut.
• Apakah bukti semasa yang sedia ada mengenai strategi pelaksanaan yang digunakan di dalam perkhidmatan pemulihan di seluruh dunia? • Bagaimanakah bukti semasa dapat membantu pihak pengurusan sistem kesihatan membuat keputusan mengenai perkhidmatan pemulihan? • Adakah terdapat peluang untuk menjalankan penyelidikan terhadap dasar dan sistem kesihatan yang baharu berkenaan strategi pelaksanaan dalam perkhidmatan pemulihan?
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari ulasan secara sistematik yang mengkaji maklumat sedia ada tentang strategi pelaksanaan di dalam perkhidmatan pemulihan.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 15 ulasan sistematik, empat daripadanya kami telah nilai bahawa ia boleh dipercayai. Empat ulasan ini melibarkan 55 kajian primer dan membentuk asas penemuan kami. Kebanyakan penyelidikan adalah dari negara berpendapatan tinggi, dan tiada kajian dari negara berpendapatan rendah. Ulasan-ulasan ini telah dilakukan semasa pandemik COVID-19 dan tertumpu terutamanya pada golongan yang sudah berusia, dengan purata umur antara 60 dan 77 tahun. Secara umum, penemuan kami untuk setiap hasil adalah berdasarkan kepada jumlah kajian yang sangat sedikit.
Keputusan utama
Strategi pelaksanaan yang menyokong individu dalam memulakan dan menyelesaikan pemulihan jantung (contohnya, berubung secara bersemuka, kaunseling motivasi atau sokongan daripada jururawat atau profesional kesihatan yang lain) mampu untuk meningkatkan kepatuhan pesakit terhadap rawatan dan kehadiran sesi pemulihan jantung, dan mungkin membawa kepada sedikit peningkatan dalam bilangan pesakit yang dapat menyelesaikan perkhidmatan pemulihan jantung.
Bagi golongan yang berusia, penyampaian perkhidmatan pemulihan senaman melalui video atau telefon dan bukannya secara bersemuka mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kualiti hidup. Kami tidak pasti tentang kesan terhadap mobiliti, kekuatan dan keseimbangan, kerana keputusannya sangat tidak pasti.
Dalam pemulihan strok, strategi pelaksanaan untuk mengubah cara profesional kesihatan bekerja (seperti bengkel latihan, pengedaran garis panduan, maklum balas prestasi atau senarai semak untuk mengikuti penjagaan seperti yang disyorkan) mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kualiti hidup pesakit atau keupayaan untuk melakukan aktiviti seharian, dan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kesejahteraan psikologi pesakit atau kepatuhan terhadap rawatan. Kami tidak pasti tentang kesannya terhadap kualiti penjagaan atau kesan-kesan yang tidak diingini, kerana hasilnya sangat tidak pasti.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Hanya beberapa kajian yang menyumbang kepada setiap keputusan, dan ada yang mempunyai kualiti metodologi yang rendah. Secara keseluruhan, kami kurang yakin dengan bukti kesan intervensi ini, oleh itu penyelidikan masa depan mungkin mengubah kesimpulan kami. Kebanyakan kajian dijalankan di negara berpendapatan tinggi, yang biasanya mempunyai lebih banyak sumber (contohnya, kakitangan, peralatan, kemudahan dan perkhidmatan sokongan) berbanding negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Ini bermakna keputusan yang diperolehi tidak terpakai di semua tempat.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 17 November 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.