Mesej utama
-
Bagi pesakit dewasa yang dimasukkan ke hospital dengan lebih daripada satu kecederaan yang mengancam nyawa, bukti daripada satu kajian berkualiti tinggi menunjukkan bahawa melakukan trakeostomi (mewujudkan bukaan dalam kerongkong untuk membantu pernafasan) dalam tempoh sembilan hari selepas intubasi (pemasukan tiub pernafasan ke dalam kerongkong melalui mulut atau hidung), dibandingkan dengan trakeostomi dari 10 hari selepas intubasi boleh memberi sedikit atau tiada kesan ke atas jumlah kematian, masa dihabiskan di unit rawatan rapi (ICU), atau kekerapan bilangan jangkitan paru-paru. Walau bagaimanapun, keputusan ini sangat tidak pasti.
-
Bukti daripada kajian yang kurang boleh dipercayai, di mana pesakit tidak dibahagikan secara rawak kepada kumpulan rawatan, juga menunjukkan bahawa trakeostomi dalam tempoh sembilan hari boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas bilangan kematian atau bilangan jangkitan paru-paru yang disebabkan oleh penggunaan mesin pernafasan, tetapi mungkin mengurangkan tempoh di ICU. Keputusan ini juga sangat tidak pasti.
-
Kami tidak pasti tentang masa terbaik untuk trakeostomi pada pesakit dengan lebih daripada satu kecederaan yang mengancam nyawa. Terdapat keperluan untuk kajian yang direka dengan baik daripada membahagikan pesakit kepada kumpulan rawatan secara rawak, untuk menjelaskan penemuan ini dan membantu proses membuat keputusan.
Apakah itu trakeostomi?
Trakeostomi adalah prosedur di mana doktor memotong kulit di bahagian depan leher hingga menembusi ke dalam salur trakea (salur pernafasan) untuk memasukkan tiub pernafasan supaya udara dapat mengalir masuk secara langsung. Berbanding dengan tiub pernafasan yang dimasukkan melalui mulut atau hidung (intubasi), trakeostomi boleh menjadikan pernafasan lebih selamat dan selesa bagi jangka masa panjang. Walau bagaimanapun, trakeostomi boleh membawa kepada komplikasi seperti jangkitan kuman atau penyumbatan salur kerongkong.
Trakeostomi boleh dilakukan di peringkat 'awal' atau 'lewat' semasa proses ventilasi. 'Awal' selalunya bermakna dalam tempoh sembilan hari pertama selepas intubasi, dan 'lewat' pada hari ke 10 atau selepasnya.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada trakeostomi awal lebih baik daripada trakeostomi lewat pada individu dewasa dengan lebih daripada satu kecederaan yang mengancam nyawa untuk penambahbaikan:
-
bilangan kematian daripada sebarang sebab;
-
masa yang dihabiskan di ICU;
-
kualiti hidup;
-
bilangan pesakit yang mengalami masalah di dalam paru-paru;
-
bilangan pesakit dengan kesan tidak diingini; dan
-
masa dari pemasukan hingga pengeluaran tiub trakeostomi.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan trakeostomi awal dengan trakeostomi lewat dalam kalangan individu dewasa dengan lebih daripada satu kecederaan yang mengancam nyawa. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui satu kajian berkualiti tinggi dengan 60 orang dan 22 kajian berkualiti rendah dengan 44,811 orang. Secara keseluruhan, 16,360 orang mendapat trakeostomi awal. Purata umur peserta adalah 46.7 tahun. Kajian-kajian menggunakan titik masa berbeza untuk menentukan definasi trakeostomi awal, antara 48 jam hingga 10 hari selepas intubasi. Kami sebenarnya berminat untuk menilai trakeostomi dalam tempoh sembilan hari selepas intubasi dibandingkan dengan trakeostomi pada hari ke 10 atau lebih lama, jadi perbandingan utama kami hanya disertakan kajian yang menggunakan definisi ini (satu kajian berkualiti tinggi dan lima kajian berkualiti rendah).
Keputusan perbandingan utama kami
Bukti daripada kajian berkualiti tinggi menunjukkan bahawa trakeostomi awal dibandingkan dengan trakeostomi lewat boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas bilangan kematian, masa yang dihabiskan di ICU, dan bilangan jangkitan paru-paru, tetapi keputusan ini sangat tidak pasti.
Bukti daripada kajian berkualiti rendah menunjukkan bahawa trakeostomi awal dibandingkan dengan trakeostomi lewat boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas bilangan kematian dan bilangan jangkitan paru-paru yang disebabkan oleh penggunaan mesin pernafasan, tetapi boleh mengurangkan masa yang dihabiskan seseorang di ICU. Semua keputusan ini sangat tidak pasti.
Tiada kajian dalam perbandingan utama kami yang melihat kepada kualiti hidup, kesan tidak diingini, atau masa dari pemasukan hingga pembuangan tiub trakeostomi.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti untuk semua hasil adalah terhad disebabkan oleh perbezaan antara kajian dan kebimbangan mengenai kaedah yang mereka gunakan. Oleh kerana kajian disertakan menggunakan banyak definisi trakeostomi awal, sukar untuk membandingkan keputusannya secara langsung.
Kajian yang direka dengan baik dengan definisi piawai diperlukan untuk meneroka kesan melakukan trakeostomi pada masa berbeza. Ini boleh membantu mengenal pasti sama ada terdapat rangka masa tertentu yang menawarkan faedah yang lebih besar untuk kelangsungan hidup, pemulihan atau mengurangkan komplikasi.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 15 Mac 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).