Mesej utama
-
Bagi individu dengan penyakit buah pinggang kronik (CKD) (kerosakan jangka panjang pada buah pinggang yang mengurangkan keupayaannya untuk menapis darah), dan juga menghidap diabetes (keadaan yang menyebabkan paras gula dalam darah seseorang menjadi terlalu tinggi sepanjang hayat) ianya meningkatkan risiko kematian awal, serangan jantung, angin ahmar dan mengurangkan kualiti hidup seseorang.
-
Tidak jelas sama ada ubat thiazolidinediones (ubat yang mengurangkan kadar gula dalam darah) mencegah kematian akibat masalah jantung atau kejadian hipoglisemia yang parah (keadaan di mana paras glukosa dalam darah turun terlalu rendah, menyebabkan gejala seperti menggigil, pening, dan berpeluh), atau mencegah komplikasi jantung atau buah pinggang pada individu dengan CKD dan diabetes jenis 2.
-
Tidak jelas sama ada thiazolidinediones mempunyai kebaikan dan kemudaratan yang sama apabila dibandingkan dengan ubat-ubatan yang lain untuk merawat diabetes bagi individu dengan CKD dan diabetes jenis 2.
Mengapa merawat individu dengan penyakit buah pinggang kronik dan diabetes jenis 2 dengan thiazolidinediones?
Thiazolidinediones adalah ubat yang mengurangkan tahap glukosa dalam darah dan kini digunakan untuk membantu individu dengan penyakit buah pinggang kronik (CKD: ditakrifkan sebagai kerosakan jangka panjang pada buah pinggang yang mengurangkan keupayaannya untuk menapis darah) dan diabetes jenis 2.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada thiazolidinediones membantu mencegah kematian, komplikasi jantung dan buah pinggang bagi individu dengan CKD dan diabetes jenis 2.
Apakah yang dilakukan?
Kami mengkaji sama ada thiazolidinediones menghalang individu daripada komplikasi seperti kematian, serangan jantung, angin ahmar, kejadian hipoglisemik (keadaan di mana paras glukosa darah turun terlalu rendah, menyebabkan gejala seperti mengigil, pening, dan berpeluh), masalah buah pinggang atau masalah peredaran darah yang lain apabila mereka mengalami kedua-dua buah pinggang yang kurang berfungsi dan diabetes jenis 2. Kami mencari semua kajian rawak klinikal (kajian di mana individu diletakkan secara rawak ke pilihan rawatan yang berbeza) yang tersedia untuk menentukan sama ada ubat ini berkesan untuk mencegah komplikasi ini. Kami juga menilai keyakinan kami terhadap keputusan kajian penyelidikan yang sedia ada.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 85 kajian klinikal melibatkan 3044 individu dengan masalah buah pinggang dan diabetes jenis 2. Individu yang terlibat dalam kajian mengambil ubat thiazolidinediones, atau pil gula (plasebo), penjagaan standard sahaja, pelbagai dos ubat thiazolidinediones, atau ubat-ubatan diabetes yang berbeza (contohnya insulin atau metformin). Rawatan yang mereka terima ditentukan secara rawak (seperti melambung syiling). Terdapat hanya satu kajian yang melibatkan kanak-kanak.
Menggabungkan semua kajian, kami mendapati bahawa kami masih tidak tahu sama ada rawatan dengan thiazolidinediones membantu mengurangkan kebarangkalian kematian seseorang secara langsung disebabkan oleh masalah jantung atau kejadian hipoglisemia teruk, yang ditakrifkan sebagai tahap gula (glukosa) darah yang lebih rendah daripada julat standard yang memerlukan bantuan pihak ketiga. .Kami tidak pasti sama ada rawatan ini akan menghalang kematian, serangan jantung, angin ahmar, masalah paras gula dalam darah yang terlalu rendah, atau masalah buah pinggang kerana kami tidak menemui maklumat dalam kajian yang sedia ada untuk kepastian. Kami juga tidak dapat memastikan sama ada ubat thiazolidinediones lebih baik atau lebih teruk daripada rawatan yang lain untuk diabetes atau kesan dari dos yang berbeza-beza, kerana ianya tidak dikaji secara menyeluruh dalam kajian klinikal.
Apakah batasan bukti tersebut?
Sesetengah maklumat dalam kajian adalah sukar digunakan atau data tersedia adalah berkualiti rendah, dan sebagai kesimpulan, kami kurang pasti sama ada rawatan menyebabkan kesan sampingan. Data yang dilaporkan bagi individu dengan kegagalan buah pinggang tahap lanjutan adalah tidak mencukupi. Secara umumnya, kesan thiazolidinediones pada individu dengan CKD dan diabetes jenis 2 adalah tidak cukup untuk memberikan kesimpulan yang kukuh. Kajian akan datang patut menyelidik faedah dan kemudaratan thiazolidinediones dalam tetapan ini, melaporkan hasil teras seperti yang diutamakan oleh pihak berkepentingan bagi membuat keputusan dengan lebih baik.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Noor Aini binti Mansor (Klinik Pakar Pergigian Kota Setar). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.