Mesej utama
-
Bagi orang dengan penyakit buah pinggang kronik (CKD) (kerosakan jangka panjang buah pinggang yang mengurangkan keupayaan buah pinggang untuk menapis darah), yang juga menghidap diabetes (keadaan seumur hidup yang menyebabkan paras gula dalam darah seseorang menjadi terlalu tinggi) meningkatkan peluang kematian awal, serangan jantung,strok dan mengurangkan kualiti hidup seseorang.
-
Adalah tidak jelas sama ada perencat dipeptidyl peptidase-4 (DPP-4) (ubat yang mengurangkan paras gula dalam darah) mencegah kematian akibat masalah jantung, kejadian hipoglisemia teruk (keadaan di mana paras glukosa dalam darah turun terlalu rendah, menyebabkan gejala seperti goyah, pening, dan berpeluh), atau mencegah komplikasi jantung atau buah pinggang dalam kalangan orang dengan CKD dan diabetes jenis 2.
-
Adalah tidak jelas sama ada perencat DPP-4 mempunyai manfaat atau bahaya yang serupa berbanding ubatan lain untuk orang dengan CKD dan diabetes jenis 2.
Mengapakah pesakit dengan penyakit buah pinggang kronik dan diabetes jenis 2 dirawat dengan DPP-4?
Perencat dipeptidyl peptidase 4 (DPP-4) adalah ubat yang menurunkan paras glukosa darah dan disyor sebagai pilihan rawatan kedua untuk pesakit diabetes jenis 2 (keadaan seumur hidup yang menyebabkan paras gula dalam darah seseorang menjadi terlalu tinggi) dan pesakit buah pinggang kronik (CKD, yang ditakrif sebagai kerosakan jangka panjang buah pinggang yang mengurangkan keupayaan buah pinggang untuk menapis darah) di samping penyakit diabetes jenis 2 yang tidak terkawal sepenuhnya dengan ubat semasa.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin tahu sama ada perencat DPP-4 membantu mencegah komplikasi saluran darah dan buah pinggang bagi orang dengan CKD dan diabetes jenis 2.
Apakah yang dilakukan?
Kami mengkaji sama ada perencat DPP-4 menghalang daripada komplikasi seperti kematian akibat permasalahan jantung, hipoglisemia yang teruk (keadaan di mana paras glukosa darah turun terlalu rendah, menyebabkan gejala seperti goyah, pening, dan berpeluh), sebarang masalah peredaran darah, serangan jantung, strok atau masalah buah pinggang apabila terdapat kedua-dua fungsi buah pinggang lemah dan diabetes jenis 2. Kami mencari semua kajian klinikal rawak (kajian-kajian di mana peserta diletakkan secara rawak kepada pilihan rawatan yang berbeza) untuk menentukan sama ada ubat ini berkesan untuk mencegah komplikasi. Kami juga menilai keyakinan terhadap keputusan kajian-kajian penyelidikan sedia ada.
Apakah yang ditemukan?
Kami mengenal pasti 59 kajian klinikal melibatkan 27,893 orang dewasa dengan CKD dan diabetes. Para peserta dalam kajian-kajian menerima perencat DPP-4, plasebo (pil gula), penjagaan standard sahaja, atau ubat diabetes lain (contohnya insulin). Rawatan yang mereka terima ditentukan secara rawak (seperti melambung syiling). Kami tidak menemui kajian yang melibatkan kanak-kanak.
Menggabung semua kajian-kajian kami dapati kami masih tidak tahu sama ada rawatan dengan perencat DPP-4 membantu menurunkan risiko kematian seseorang akibat permasalahan berkaitan jantung atau hipoglisemia (kandungan gula darah rendah) yang teruk. Kami tidak dapat pastikan sama ada rawatan menghalang sebarang masalah peredaran darah, termasuk serangan jantung atau strok, atau masalah buah pinggang, kerana kami tidak menemui cukup maklumat dalam kajian-kajian sedia ada. Kami juga tidak dapat memastikan sama ada Inhibitor dipeptidyl peptidase-4 (DPP-4) adalah lebih baik atau lebih buruk daripada rawatan yang lain yang digunakan untuk merawat diabetes, kerana ini tidak dikaji secara meluas dari segi ujian klinikal.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Beberapa kajian sukar digunakan, saiz sampel yang sangat kecil, atau dijalankan untuk jangka masa singkat, dan, sebagai kesimpulan, kami kurang pasti sama ada rawatan menyebabkan kesan-kesan sampingan. Secara umum, kesan perencat DPP-4 dalam kalangan orang dengan CKD dan diabetes jenis 2 tidak cukup untuk membuat kesimpulan yang kukuh.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Mac 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (Universiti Perubatan Antarabangsa). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.