Langkau ke kandungan utama

Sejauh manakah ketepatan ujian penguatan asid nukleik manual kekompleksan rendah dalam mengesan tuberkulosis pulmonari dalam kalangan kanak-kanak?

Mesej utama

- Terdapat bukti terhad bahawa LC-mNAATs dapat mengenal pasti tuberkulosis pulmonari dalam kalangan kanak-kanak dengan tepat.

- Kajian lanjut diperlukan untuk menilai ketepatan ujian LC-mNAAT dalam kalangan kanak-kanak.

Mengapakah penambahbaikan dalam diagnosis tuberkulosis pulmonari dalam kalangan kanak-kanak itu penting?

Tuberkulosis dalam kalangan kanak-kanak sering kurang dilaporkan disebabkan oleh kesukaran dalam mendiagnosis penyakit tersebut. Pengesanan dan rawatan awal tuberkulosis dalam kalangan kanak-kanak adalah penting untuk penyembuhan yang cepat dan berkesan. Walau bagaimanapun, pengesanan awal tuberkulosis adalah sukar disebabkan oleh pelbagai bentuk dan gejalanya, serta cabaran dalam penghasilan kahak (lendir yang terbatuk dari paru-paru). Di samping itu, tahap bakteria dalam sampel adalah lebih rendah berbanding orang dewasa. Keputusan positif palsu boleh menyebabkan kebimbangan yang tidak perlu, dan kanak-kanak perlu dipantau lanjut, yang memerlukan masa dan sumber. Kanak-kanak ini juga mungkin akan memulakan rawatan tuberkulosis yang boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius. Keputusan negatif palsu boleh menyebabkan kes terlepas dikesan, sekali gus menyumbang kepada penyebaran penyakit. Kanak-kanak dengan keputusan negatif palsu juga berisiko menghidap bentuk tuberkulosis yang teruk, yang boleh membawa kepada kematian oleh kerana diagnosis yang tertunda.

Apakah ujian penguatan asid nukleik manual kekompleksan rendah untuk mengesan tuberkulosis?

Salah satu ujian yang digunakan untuk mengesan tuberkulosis ialah TB-LAMP (amplifikasi isoterma pengantara gelung), yang tergolong dalam kategori yang dikenali sebagai ujian penguatan asid nukleik manual kekompleksan rendah (LC-mNAATs). Ujian-ujian ini boleh digunakan di kawasan yang mempunyai infrastruktur yang agak ringkas, serupa dengan keperluan untuk pemeriksaan mikroskopi kahak (pemeriksaan mikroskop terhadap lendir yang batuk dari paru-paru). Ujian ini lebih tepat berbanding ujian menggunakan kahak atau sampel lain dari sistem pernafasan, walaupun dengan jumlah bakteria yang rendah, dan memberikan keputusan dalam beberapa jam sahaja. Pada masa ini, terdapat kekurangan bukti mengenai ketepatan ujian TB-LAMP dalam mengesan tuberkulosis dalam kalangan kanak-kanak.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sejauh mana ketepatan LC-mNAATs dalam mengesan tuberkulosis pulmonari dalam kalangan kanak-kanak yang disyaki menghidap penyakit ini, dan membandingkan ketepatannya dengan Xpert MTB/RIF Ultra dan pemeriksaan mikroskopi smear.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang menyiasat ketepatan LC-mNAATs dalam mengesan tuberkulosis pulmonari dalam kalangan kanak-kanak dan meneliti hasil daripada kajian-kajian yang berkaitan.

Apakah yang kami temui?

Kami menyertakan empat kajian (303 peserta, 25 kanak-kanak dengan tuberkulosis) yang menilai ujian TB-LAMP. Satu kajian membandingkan ketepatan TB-LAMP dan Xpert MTB/RIF Ultra, manakala tiga kajian lain turut menggunakan pemeriksaan mikroskopi kahak. Kajian-kajian ini menggunakan pelbagai spesimen dari sistem pernafasan dan bukan pernafasan untuk mengesan tuberkulosis. Semua kajian menggunakan kultur sebagai piawai rujukan, iaitu kaedah terbaik untuk mengenal pasti kehadiran tuberkulosis.

Sampel sistem pernafasan

Tiga kajian (67 kanak-kanak, lapan positif untuk tuberkulosis) menggunakan sampel pernafasan seperti kahak, lavage bronchoalveolar (cecair yang diperoleh selepas mencuci saluran pernafasan dan paru-paru), dan aspirat trakea (cecair yang diperoleh dari tenggorokan). Keputusan menunjukkan bahawa 60% hingga 100% kanak-kanak yang menghidap tuberkulosis akan dikenal pasti sebagai positif oleh ujian TB-LAMP, dan 95% hingga 100% kanak-kanak yang tidak menghidap tuberkulosis akan dikenal pasti sebagai negatif oleh ujian tersebut.

Aspirat gastrik (cecair yang diperoleh dari perut menggunakan tiub)

Tiga kajian menggunakan sampel aspirat gastrik (176 kanak-kanak, 14 positif untuk tuberkulosis pulmonari). Keputusan menunjukkan bahawa 64% kanak-kanak yang menghidap tuberkulosis akan dikenal pasti sebagai positif melalui ujian TB-LAMP, manakala 35% hingga 87% kanak-kanak tanpa tuberkulosis akan dikenal pasti sebagai negatif melalui ujian tersebut.

Lavage gastrik (cecair yang diperoleh dari perut menggunakan tiub selepas cucian)

Satu kajian melibatkan 60 kanak-kanak (tiga positif untuk tuberkulosis) menilai penggunaan lavage gastrik. Bagi setiap 1000 kanak-kanak yang diuji, jika 100 daripadanya menghidap tuberkulosis berdasarkan kultur, 135 akan diuji positif menggunakan TB-LAMP, di mana 99 benar-benar menghidap tuberkulosis manakala 36 tidak. Seramai 865 akan diuji negatif menggunakan TB-LAMP, di mana 864 tidak menghidap tuberkulosis dan seorang sebenarnya menghidap tuberkulosis.

Aspirat nasofaring (cecair yang diperoleh dari bahagian belakang hidung dan tekak)

Satu kajian (144 kanak-kanak, 12 positif untuk tuberkulosis) telah menilai aspirat nasofaring. Bagi setiap 1000 kanak-kanak yang diuji, jika 100 disahkan menghidap tuberkulosis berdasarkan kultur, 71 akan didapati positif melalui ujian TB-LAMP, di mana 12 daripadanya benar-benar menghidap tuberkulosis dan 59 tidak menghidap tuberkulosis; 929 akan didapati negatif, di mana 921 tidak menghidap tuberkulosis dan lapan sebenarnya menghidap tuberkulosis.

Najis

Satu kajian menilai spesimen najis melibatkan 144 kanak-kanak, di mana tujuh daripadanya disahkan positif untuk tuberkulosis pulmonari. Bagi setiap 1000 kanak-kanak yang diuji, jika 100 daripadanya menghidap tuberkulosis berdasarkan kultur, 171 akan didapati positif TB-LAMP, di mana 99 benar-benar menghidap tuberkulosis dan 72 tidak menghidap tuberkulosis; 829 akan diuji negatif, di mana 828 tidak menghidap tuberkulosis dan seorang kanak-kanak sebenarnya menghidap tuberkulosis.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak menemui sebarang kajian yang menggunakan piawaian rujukan komposit (gabungan keputusan daripada pelbagai ujian yang dianggap sebagai ujian pengesahan). Oleh kerana kultur bukan kaedah terbaik untuk menentukan penyakit dalam kalangan kanak-kanak, bukti yang kami peroleh adalah terhad. Keputusan ini diperoleh daripada empat kajian dengan bilangan kanak-kanak yang kecil, dan penemuan ini berkemungkinan berubah apabila lebih banyak kajian dijalankan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2023.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kavessh Vandaiyar (RSCI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Petikan
Inbaraj LR, Sathya Narayanan MK, Daniel J, Srinivasalu VA, Bhaskar A, Daniel BD, Epsibha T, Scandrett K, Rajendran P, Rose W, Korobitsyn A, Ismail N, Takwoingi Y. Low-complexity manual nucleic acid amplification tests for pulmonary tuberculosis in children. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 6. Art. No.: CD015806. DOI: 10.1002/14651858.CD015806.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan