Adakah penggunaan kontrasepsi hormon meningkatkan risiko seorang wanita untuk dijangkiti HIV?
Mesej utama
-
Suntikan DMPA (depot medroxyprogesterone acetate) berkemungkinan memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko dijangkiti HIV dibandingkan dengan alat dalam rahim tembaga (copper intrauterine device) atau IUD.
-
Implan levonorgestrel (LNG) berkemungkinan menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko dijangkiti HIV dibandingkan IUD tembaga.
-
Suntikan DMPA berkemungkinan meningkatkan sedikit risiko dijangkiti HIV dibandingkan dengan implan LNG.
-
Kami tidak pasti tentang kesan DMPA dibandingkan norethisterone enanthate (NET-EN) terhadap jangkitan HIV.
Apakah itu HIV?
HIV ialah virus yang menjejaskan sistem imun badan dan melemahkan keupayaan untuk melawan jangkitan dan penyakit biasa. Virus ini boleh ditemui dalam cecair badan orang yang dijangkiti. Virus ini paling biasa merebak dari individu ke individu lain melalui hubungan seks tanpa perlindungan. Mereka juga boleh dijangkiti virus daripada perkongsian jarum atau picagari. Bayi boleh dijangkiti semasa dalam kandungan, kelahiran atau penyusuan.
Walaupun tiada penawar untuk HIV, rawatan adalah sangat berkesan dan boleh meningkatkan jangka hayat dan kualiti hidup.
Apakah itu kontrasepsi?
Kaedah kontraseptif adalah kaedah kawalan kelahiran. Tujuan penggunaan kontrasepsi adalah untuk mengelakkan kehamilan yang tidak diingini . Terdapat pelbagai kaedah bagi mencegah kehamilan. Sesetengah kaedah pencegah kehamilan mengandungi hormon, manakala yang lain tidak. Kaedah moden yang biasa termasuk suntikan, implan, pil dan alat dalam rahim (IUD, yang terletak di dalam rahim). DMPA ialah penggunaan suntikan yang diberikan setiap tiga bulan. Implan LNG diletakkan di bawah kulit pada bahagian lengan atas dan boleh kekal berkesan sehingga lima tahun. NET-EN adalah suntikan yang diberikan setiap dua bulan, yang mengandungi progesteron (sejenis hormon).
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan kontrasepsi hormon meletakkan wanita pada risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti HIV berbanding jika mereka menggunakan kaedah kontraseptif yang lain .
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari semua kajian yang melihat kepada kesan penggunaan kontrasepsi hormon untuk wanita yang tinggal di kawasan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui empat kajian yang melibatkan 9726 wanita yang HIV-negatif. Kami berminat untuk mengetahui risiko wanita untuk dijangkiti HIV, dan risiko untuk hamil.
Ulasan ini menemui bahawa penggunaan suntikan DMPA berkemungkinan menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam peluang untuk dijangkiti HIV apabila kita membandingkannya dengan penggunaan IUD tembaga.
Penggunaan implan LNG berkemungkinan menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam peluang untuk dijangkiti HIV apabila dibandingkan dengan penggunaan IUD tembaga.
Penggunaan suntikan DMPA atau implan LNG mungkin mengurangkan risiko untuk hamil dibandingkan dengan penggunaan IUD tembaga, tetapi kesan ini mungkin disebabkan oleh persekitaran terkawal kajian yang menggalakkan wanita meneruskan kaedah kontraseptif mereka.
Kami juga menemui bahawa penggunaan DMPA mungkin meningkatkan sedikit risiko jangkitan HIV jika dibandingkan dengan penggunaan implan LNG, tetapi DMPA mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam risiko untuk hamil dibandingkan LNG.
Bukti sangat tidak pasti tentang kesan DMPA dibandingkan NET-EN terhadap peluang untuk dijangkiti HIV atau hamil.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Tiada satu pun daripada kajian membandingkan risiko wanita menggunakan kontrasepsi dengan wanita yang tidak menggunakan kontrasepsi, jadi kita tidak dapat memastikan risiko wanita dijangkiti HIV jika dia tidak menggunakan kontrasepsi. Kajian hanya melihat kepada beberapa kaedah kontrasepsi tertentu, bukan semua kaedah ini tersedia di pasaran.
Adakah bukti ini yang terkini?
Ulasan ini mengemaskini ulasan yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga 13 September 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.