Mesej utama
Dalam kalangan orang dewasa dengan kanser (tumor pejal), vaksin untuk mencegah herpes zoster mengurangkan jangkitan herpes zoster tetapi meningkatkan kesan tidak diingini seperti sakit atau kemerahan di tempat suntikan.
Kami tidak pasti tentang kesan vaksin influenza dalam mengakibatkan sebarang punca kematian, kesan tidak diingini dalam pelbagai keterukan dan kesan serius yang tidak diingini. Kejadian jangkitan influenza walau bagaimanapun tidak diukur.
Vaksin untuk mencegah COVID-19 mungkin mengurangkan jangkitan COVID-19 tetapi mungkin juga meningkatkan kesan tidak diingini dalam pelbagai keterukan.
- Penyelidikan lanjut adalah diperlukan.
Mengapa perlu mencegah jangkitan dalam kalangan orang dewasa dengan kanser?
Pesakit kanser dewasa sering mengalami jangkitan sebagai komplikasi, sama ada berkait dengan tahap kesihatan sebelum mengidap kanser atau rawatan yang membawa kepada imunosupresi. Sesetengah jangkitan boleh dicegah melalui vaksinasi.
Bagaimanakah vaksin berfungsi?
Matlamat utama vaksinasi adalah untuk mencegah jangkitan. Disebabkan oleh fungsi imun yang berubah, pesakit dewasa dengan tumor pejal boleh mempunyai tindak balas imun berbeza terhadap vaksinasi berbanding populasi yang sihat. Walau bagaimanapun, imunosupresi (pengurangan keberkesanan sistem imun) boleh berbeza-beza dalam kalangan pesakit dengan tumor pejal, bergantung pada jenis penyakit sedia ada dan jenis rawatan yang diterima.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sejauh mana vaksin berfungsi dalam mencegah penyakit berjangkit pada dewasa (≥ 18 tahun) dengan tumor pejal (bukan kanser darah). Kami melihat:
- kejadian jangkitan dengan jenis vaksin yang diberikan;
- kematian dari sebarang punca;
- kualiti hidup;
- kesan tidak diingini (sebarang keterukan);
- kesan serius yang tidak diingini, seperti ancaman nyawa, kemasukan ke hospital, hilang upaya, atau kematian;
- tindak balas di tempat suntikan, seperti sakit atau kemerahan; dan
- reaksi sistemik (iaitu yang menjejaskan seluruh badan) seperti demam, sakit kepala, atau keletihan.
Apa yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan vaksin terhadap pelbagai penyakit berjangkit (cth penyakit pneumokokus, penyakit Haemophilus influenzae jenis b, penyakit meningokokus, pertusis, hepatitis B, tetanus, polio, difteria, influenza, herpes zoster dan COVID-19) berbanding plasebo (rawatan palsu) atau tiada vaksinasi dalam kalangan orang dewasa. Kami mengambilkira kajian rawak dan tidak rawak. Kami menyimpulkan keputusan daripada kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti penyelidikan.
Apa yang kami temui?
Kami menemui 10 kajian (lima kajian rawak dan lima kajian bukan rawak) yang melibatkan 81,823 pesakit dewasa dengan kanser, dan jenis vaksin untuk mencegah jangkitan herpes zoster, influenza atau COVID-19.
Kami tidak dapat mengenal pasti kajian vaksin untuk mencegah penyakit pneumokokal, penyakit Haemophilus influenzae jenis b, penyakit meningokokal, pertusis, hepatitis B, tetanus, polio, difteria berbanding plasebo atau tiada vaksin.
Kami membentangkan keputusan daripada kajian rawak di bawah. Keputusan daripada kajian bukan rawak berada dalam ulasan penuh.
Keputusan utama
Vaksin untuk mencegah herpes zoster dibandingkan dengan plasebo atau tiada vaksin pada dewasa dengan tumor pejal:
- mengurangkan kejadian herpes zoster sehingga 29.4 bulan selepas dos akhir (1 kajian, 2678 pesakit dewasa);
- mempunyai sedikit atau tiada perbezaan dalam jumlah kematian akibat daripada sebarang punca sehingga 28 hari selepas dos akhir (2 kajian, 2744 pesakit dewasa);
- mempunyai sedikit atau tiada perbezaan dalam kesan tidak diingini dari sebarang keterukan dan kesan tidak diingini serius sehingga 30 hari selepas dos akhir (3 kajian, 2976 dewasa);
- meningkatkan sakit atau kemerahan di tempat suntikan dan boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam tindak balas sistemik sehingga 30 hari selepas dos akhir (3 kajian, 2966 dewasa).
Kami tidak menemui maklumat tentang kualiti hidup.
Vaksin untuk mencegah herpes zoster dibandingkan dengan plasebo atau tiada vaksin pada dewasa dengan tumor pejal
- Kami tidak pasti tentang kesan vaksin influenza yang diberikan sebelum pembedahan terhadap kematian daripada sebarang punca, sehingga 15 hari selepas pembedahan (1 kajian, 66 dewasa).
- Kami tidak pasti tentang kesan vaksin influenza yang diberikan sebelum pembedahan terhadap kesan tidak diingini (sebarang keterukan) dan kesan tidak diingini yang serius sehingga 15 hari selepas pembedahan (1 kajian, 75 pesakit dewasa).
Kami tidak menemui maklumat tentang kejadian influenza, kualiti hidup, sakit atau kemerahan di tempat suntikan, atau tindak balas sistemik.
Vaksin untuk mencegah herpes zoster dibandingkan dengan plasebo atau tiada vaksin pada dewasa dengan tumor pejal
- mungkin mengurangkan kejadian COVID-19 pada pesakit dewasa tanpa jangkitan COVID-19 sebelum ini sehingga enam bulan selepas dos kedua (1 kajian, 2100 pesakit dewasa);
- mungkin meningkatkan kesan tidak diingini dari sebarang darjah keterukan (1 kajian, 2328 pesakit dewasa);
• boleh menyebabkan sedikit ataupun tiada perbezaan ketara dari segi kesan sampingan serius (1 kajian, 2328 orang peserta).
Kami tidak menemui data tentang kematian semua sebab, kualiti hidup, sakit atau kemerahan di tapak suntikan , atau tindak balas sistemik.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak mengenal pasti semua kajian untuk semua penyakit berjangkit. Keyakinan kami terhadap bukti yang kami temui adalah dari tinggi hingga sangat rendah, terutamanya disebabkan oleh masalah dalam kajian, seperti potensi risiko bias dan keputusan yang tidak tepat. Kebanyakan kajian bukan rawak terlalu bermasalah untuk memberikan bukti yang boleh dipercayai. Kajian tidak melaporkan semua yang kami sasarkan, termasuk kualiti hidup.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah berdasarkan carian yang dijalankan pada Disember 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).