Langkau ke kandungan utama

Adakah entecavir lebih baik daripada tiada rawatan atau plasebo untuk merawat pesakit hepatitis B kronik ?

Mesej utama

  • Kami tidak dapat mengagak kesan entecavir (ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh virus) terhadap kematian yang disebabkan oleh sebarang punca dalam kalangan pesakit hepatitis B kronik (penyakit hati biasa) kerana tiada kematian. Tiada kajian yang meneliti kualiti hidup berkaitan kesihatan (ukuran kepuasan seseorang terhadap kehidupan dan kesihatan mereka).

  • Kami tidak tahu sama ada entecavir adalah lebih baik daripada tiada rawatan atau plasebo (rawatan pura-pura) berkenaan kadar pesakit dengan kesan kemudaratan yang serius.

  • Kami menemui 10 kajian yang sedang berjalan yang boleh memberikan bukti lanjut tentang manfaat dan bahaya entecavir untuk pesakit hepatitis B kronik dalam ulasan dikemaskini ini.

Apakah hepatitis B kronik ?

Hepatitis B kronik ialah penyakit hati yang biasa dan sering merebak melalui hubungan seks tanpa perlindungan (tanpa menggunakan kaedah penghalang seperti kondom), atau penularan daripada ibu kepada anak semasa hamil, proses kelahiran dan kelahiran, atau semasa menyusukan. Terdapat 296 juta orang yang dijangkiti hepatitis B kronik pada tahun 2019. Dianggarkan setiap tahun, kira-kira 1.5 juta orang akan dijangkiti hepatitis B. Hepatitis B kronik menyebabkan lebih 800,000 kematian pada tahun 2019 dan juga dikaitkan dengan kejadian sirosis (parut hati teruk) dan karsinoma hepatoselular (kanser hati).

Bagaimanakah hepatitis B kronik dirawat?

Ubat antiviral (yang digunakan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh virus) adalah terapi yang diterima secara meluas untuk hepatitis B kronik. Ini termasuk terapi interferon-alfa (ubat yang meniru protein yang dihasilkan secara semula jadi oleh badan untuk memerangi jangkitan virus) dan terapi analog nukleos(t)ide (ubat yang meniru bahan binaan bahan genetik virus untuk mengelakkan virus daripada mereplikasi). Entecavir ialah ubat antiviral analog nukleos(t)ide dan mempunyai manfaat dan bahaya yang setanding dengan ubat antivirus yang lain, tetapi ia mempunyai kos yang lebih rendah dan tidak mudah untuk membangunkan rintangan (di mana virus tidak lagi bertindak balas terhadap ubat antivirus). Oleh itu, entecavir telah digunakan sebagai ubat pilihan dalam merawat pesakit hepatitis B kronik.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada entecavir berguna dan selamat untuk kanak-kanak dan dewasa yang menghidap hepatitis B kronik berbanding tanpa rawatan atau plasebo (rawatan pura-pura).

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian di mana pesakit yang disahkan menghidap hepatitis B kronik dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua kumpulan rawatan. Pesakit dalam kajian tersebut menerima sama ada entecavir atau tiada rawatan atau plasebo. Kami membenarkan rawatan yang lain, seperti terapi perubatan standard dan langkah-langkah sokongan yang lain, jika ini diberikan secara sama rata kepada pesakit dalam semua kumpulan kajian (yang bermakna bahawa rawatan yang diberikan kepada semua kumpulan kajian boleh diabaikan). Kami telah membanding dan merumuskan keputusan kajian tersebut dan menilai keyakinan kami dari segi bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 22 kajian yang melibatkan 2940 pesakit hepatitis B kronik. Tiada kajian yang melihat kepada kesan penggunaan entecavir terhadap kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan (ukuran kepuasan seseorang terhadap kehidupan dan kesihatan mereka) dalam kalangan pesakit hepatitis B kronik. Kesan entecavir terhadap risiko kematian disebabkan oleh sebarang punca tidak dapat dianggarkan kerana tiada kematian dalam mana-mana kajian sedia ada. Bukti yang ada tidak mencukupi untuk menentukan sama ada entecavir adalah lebih baik atau lebih teruk daripada tiada rawatan atau plasebo mengenai perkadaran pesakit dengan kesan kemudaratan yang serius.

Apakah batasan bukti?

Kajian-kajian terlibat tidak memberikan data tentang kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan. Kami tidak dapat menganggarkan kesan entecavir pada kematian dalam kalangan pesakit hepatitis B kronik. Sesetengah kajian adalah sangat kecil, dan beberapa kajian menggunakan kaedah yang mungkin menimbulkan ralat dalam keputusannya. Sebagai contoh, ada kemungkinan bahawa pesakit dalam kajian tersebut mengetahui rawatan yang mereka terima dan pengetahuan tentang rawatan itu boleh telah mempengaruhi cara mereka melaporkan kesannya. Oleh itu, kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap penemuan kami dan hasil kajian lanjutan boleh mengubah keputusan ulasan ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 19 Julai 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).

Petikan
Wu J, Xie S, Ma Y, He X, Dong X, Shi Q, Wang Q, Li M, Yao N, Yao L. Entecavir for children and adults with chronic hepatitis B. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 4. Art. No.: CD015536. DOI: 10.1002/14651858.CD015536.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan