Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan risiko vaksin untuk mencegah penyakit berjangkit di kalangan orang dewasa yang menghidap kanser darah?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

• Kami mendapati bukti terhad mengenai kesan pencegahan vaksin terhadap hasil yang berkait dengan pesakit di kalangan orang dewasa yang menghidap kanser darah. Kajian yang disertakan memberi tumpuan hanya kepada vaksin herpes zoster, COVID-19, dan influenza. Tiada kajian yang mengukur kualiti hidup.

• Apabila dibandingkan dengan plasebo, vaksin herpes zoster berkemungkinan mengurangkan insidens jangkitan. Vaksin tersebut mungkin menyebabkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam kematian akibat sebarang punca. Vaksin tersebut menyebabkan kesan sampingan jangka pendek‍, namun kami tidak menemui peningkatan dalam kesan sampingan serius sehingga 12 bulan selepas vaksinasi. Kesan jangka panjang terhadap hasil lain adalah tidak jelas.

• Bagi vaksin COVID-19 dan influenza, bukti yang mengukur insidens jangkitan adalah sangat tidak pasti. Kesan sampingan dilaporkan dengan lemah atau tidak dianalisis bagi individu yang menghidap kanser darah.

• Kajian pada masa hadapan harus menilai vaksin bagi pelbagai jenis jangkitan yang lebih luas dan memberi tumpuan kepada hasil yang bermakna untuk pesakit, seperti kualiti hidup dan keselamatan jangka panjang.

Apakah peranan vaksin di kalangan individu yang menghidap kanser darah?

Vaksin melindungi individu daripada mendapat jangkitan dengan melatih sistem imun untuk mengenali dan melawan kuman berbahaya. Vaksin juga dapat mengurangkan kemungkinan penyakit teruk, kemasukan ke hospital, dan kematian. Bagi individu yang menghidap kanser darah‍, vaksin mungkin terutamanya penting kerana sistem imun mereka lebih lemah. Individu yang menghidap kanser darah sering mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami komplikasi serius daripada penyakit seperti demam selesema, jangkitan paru-paru, dan COVID-19. Vaksinasi, sebagai langkah pencegahan, bertujuan untuk mengurangkan kemungkinan jangkitan, menurunkan risiko komplikasi, dan meningkatkan kualiti hidup bagi individu yang menghidap kanser darah.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin memahami bagaimana vaksin, sebagai langkah pencegahan, memberi kesan terhadap hasil penting bagi orang dewasa yang menghidap kanser darah. Khususnya, kami ingin mengetahui sama ada vaksin mengurangkan jangkitan dan mengurangkan kematian akibat sebarang punca. Kami juga berminat untuk mengetahui sama ada vaksin dapat meningkatkan kualiti hidup dan jika ia menyebabkan sebarang kesan sampingan. Ini termasuk kesan sampingan serius seperti kemasukan ke hospital, serta kesan sampingan seperti kesakitan atau kemerahan di tempat suntikan, dan tindak balas sistemik (seluruh badan) seperti demam, keletihan, atau ruam.

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian yang menilai vaksin berbanding plasebo (intervensi tidak aktif yang meniru intervensi percubaan) atau tanpa vaksin. Kami juga mencari kajian yang membandingkan jenis atau dos vaksin yang berbeza. Kami mengambil kira pelbagai jenis penyakit berjangkit: COVID-19, difteria, Haemophilus influenzae jenis b (jangkitan Hib), hepatitis B, herpes zoster, influenza, Neisseria meningitidis (meningitis), pertussis (batuk kokol), polio, Streptococcus pneumoniae (jangkitan paru-paru), dan tetanus.

Kami merumuskan penemuan daripada kajian-kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti dengan mengambil kira faktor-faktor seperti reka bentuk kajian, kaedah, dan saiz sampel.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui enam kajian yang melibatkan 25,886 orang dewasa dengan pelbagai kanser darah dan yang menilai vaksin untuk mencegah jangkitan herpes zoster, COVID-19, atau influenza. Tiada data mengenai kualiti hidup yang dilaporkan dalam kajian-kajian tersebut. Kebanyakan kajian dibiayai oleh syarikat farmaseutikal atau institusi penyelidikan dan dijalankan di pelbagai negara. Kami tidak menemui sebarang kajian yang boleh disertakan dalam ulasan untuk vaksin bagi penyakit berjangkit lain yang kami kehendaki.

Keputusan utama

Empat daripada enam kajian yang kami temui adalah ‘ujian terkawal rawak’, iaitu reka bentuk kajian yang terbaik untuk menjawab soalan yang kami ingin kaji. Keputusan yang dilaporkan di bawah adalah daripada empat kajian ini.

Vaksin herpes zoster

Bagi orang dewasa yang menghidap kanser darah, vaksin herpes zoster:

• mungkin mengurangkan risiko jangkitan herpes zoster sehingga 21 bulan selepas vaksinasi (2 kajian, 3067 orang);

• mungkin menyebabkan tiada perbezaan dalam kematian daripada sebarang punca (1 kajian, 2548 orang);

• sedikit meningkatkan sebarang kesan sampingan dalam tempoh 30 hari selepas vaksinasi (2 kajian, 3110 orang);

• mungkin tidak meningkatkan kesan sampingan serius dalam tempoh 12 bulan selepas vaksinasi (1 kajian, 562 orang); dan

• meningkatkan reaksi di sekitar tempat suntikan dan reaksi sistemik dalam tempoh 28 hari selepas vaksinasi (1 kajian, 2548 orang).

Vaksin COVID-19

Bagi orang dewasa yang menghidap kanser darah:

• bukti mengenai kesan vaksin BNT162b2 terhadap risiko jangkitan COVID-19 adalah sangat tidak pasti (1 kajian, 95 orang); dan

• vaksin BNT162b2 berkemungkinan meningkatkan kesan sampingan, walaupun ia mungkin menyebabkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam kesan sampingan serius enam bulan selepas dos kedua (1 kajian, 2328 orang dalam populasi campuran, iaitu termasuk kedua-dua kanser pepejal dan kanser darah).

Vaksin influenza

Bagi orang dewasa yang menghidap kanser darah:

• tiada kajian yang menilai vaksin influenza berbanding plasebo atau tanpa vaksin; dan

• bukti mengenai kesan dua dos vaksin influenza (‘trivalen tidak aktif dos tinggi’) berbanding satu dos vaksin influenza (kekuatan bergantung pada umur) adalah sangat tidak pasti (1 kajian, 122 orang).

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Keyakinan kami terhadap keputusan adalah terhad. Kajian-kajian tersebut tidak merangkumi semua penyakit berjangkit atau hasil yang kami kehendaki, dan terdapat masalah dengan kaedah kajian, terutamanya dalam pelaporan keputusan.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah berdasarkan carian yang dijalankan sehingga Disember 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kavessh Vandaiyar (RSCI & UCD Malaysia). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Zorger A-M, Hirsch C, Baumann M, Feldmann M, Bröckelmann PJ, Mellinghoff S, Monsef I, Skoetz N, Kreuzberger N. Vaccines for preventing infections in adults with haematological malignancies. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 5. Art. No.: CD015530. DOI: 10.1002/14651858.CD015530.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan