Langkau ke kandungan utama

Apakah cara yang lebih berkesan dalam mengenalpasti ketumbuhan dalam usus besar: kaedah yang menggunakan warna yang berbeza untuk mengesannya (pengimejan warna terhubung) atau kaedah kolonoskopi tradisional yang menggunakan cahaya putih biasa?

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

  • Penggunaan pengimejan warna terhubung semasa kolonoskopi lebih berkesan daripada cara tradisional dalam mengenal pasti ketumbuhan yang boleh bertukar menjadi kanser.

  • Pengimejan warna terhubung dan kolonoskopi tradisional kedua-duanya mempunyai kebarangkalian kesan sampingan yang rendah, dan kejadian-kejadian ini jarang berlaku.

  • Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami (1) berapa ramai orang dewasa yang menjalani kolonoskopi pengimejan warna terhubung yang telah didianogsis menghidap kanser kolorektal ketika sesi kolonoskopi susulan yang seterusnya, (2) sama ada pengimejan warna terhubung mampu menurunkan kadar kanser pada temujanji susulan seterusnya berbanding kolonoskopi lazim, dan (3) sama ada pengimejan warna terhubung mengakibatkan sebarang kesan sampingan yang serius yang memerlukan rawatan perubatan — suatu persoalan yang hanya mampu ditelusuri kajian yang lebih besar.

Latar belakang

Kolonoskopi merupakan prosedur penting dalam penyaringan kanser kolon, pemantauan kesihatan kolon, penyiasatan gejala berkaitan kolon, dan mengenal pasti serta merawat jenis ketumbuhan (atau polip) tertentu yang boleh menyebabkan kanser. Ini termasuk adenoma (ketumbuhan kecil bukan kanser yang boleh menjadi kanser) dan lesi tempel (sessile) bergerigi (polip rata atau sedikit timbul yang menyerupai gigi gergaji). Prosedur ini melibatkan pemasukan tiub fleksibel sempit yang mempunyai kamera kecil serta lampu di hujungnya ke dalam rektum. Kolonoskopi pengimejan warna terhubung menggunakan pelbagai cahaya berwarna untuk mengesan tumor (sebarang pertumbuhan abnormal yang boleh menjadi bukan kanser [ketumbuhan jinak] ataupun kanser). Doktor yang melaksanakan kolonoskopi boleh bertukar antara ketetapan cahaya putih biasa dengan pandangan berasaskan warna menerusi penekanan butang jika mereka menggunakan sistem tertentu.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pengimejan warna terhubung ataupun kolonoskopi tradisional yang menggunakan cahaya putih biasa adalah lebih baik dan selamat untuk pesakit yang menjalani kolonoskopi.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan pengimejan warna terhubung dengan kolonoskopi tradisional. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti perkaedahan kajian dan saiz sampel. Kami mengkaji kadar pengesanan adenoma (ditakrifkan sebagai perkadaran kolonoskopi di mana sekurang-kurangnya satu adenoma dikesan semasa tempoh kajian), perkadaran peserta yang menghidap kanser kolorektal yang didiagnosis pada tarikh pemeriksaan susulan seterusnya sesudah menerima keputusan kolonoskopi negatif sebelumnya, dan kesan sampingan yang memerlukan rawatan perubatan. Di samping itu, kami menilai kadar pengesanan polip, kadar pengesanan lesi tempel (sessile) bergerigi, dan bilangan adenoma bagi setiap peserta.

Apakah yang ditemuikan?

Kami mengenalpasti 16 kajian yang melibatkan 12,836 peserta dan membandingkan pengimejan warna terhubung dengan kolonoskopi tradisional.

Keputusan utama

Bandingkan dengan kolonoskopi tradisional, pengimejan warna terhubung didapati:

  • sedikit sebanyak meningkatkan kadar pengesanan adenoma;

  • mungkin tidak mempunyai banyak atau tiada perbezaan dari segi kesan sampingan yang memerlukan rawatan perubatan;

  • sedikit sebanyak meningkatkan kadar pengesanan polip;

  • mungkin meningkatkan sedikit kadar pengesanan lesi bergerigi tempel; dan

  • mungkin sedikit meningkatkan bilangan adenoma bagi setiap peserta.

Tiada satu pun daripada kajian tersebut yang menyelidiki perkadaran peserta yang didiagnosis menghidap kanser kolorektal menjelang tarikh pemeriksaan disyorkan seterusnya selepas suatu keputusan kolonoskopi yang negatif .

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami yakin dengan bukti tentang kadar pengesanan adenoma dan polip. Keyakinan kami terhadap bukti untuk hasil lain hanya sederhana kerana kajian tersebut menyertakan terlalu sedikit peserta untuk memastikan sejauh mana pengimejan warna yang berkaitan dapat mengesan lesi bergerigi sessile dan berapa banyak adenoma yang dimiliki oleh setiap orang. Begitu juga, kerana tiada seorang pun daripada orang yang disertakan dalam kajian ini mengalami kesan sampingan yang memerlukan rawatan perubatan, kami tidak dapat mengetahui berapa kerap masalah tersebut mungkin berlaku. Di samping itu, tiada kajian melaporkan berapa ramai orang yang menghidap kanser kolorektal pada pemeriksaan susulan disyorkan seterusnya, jadi kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan tentang titik hasil tersebut.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini terkini sehingga Mei 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia).

Petikan
Watanabe J, Kanno T, Kakehi E, Rifu K, Kagaya T, Kotani K, Kataoka Y. Linked color imaging versus conventional white-light colonoscopy for the detection of colorectal polyps. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 8. Art. No.: CD015476. DOI: 10.1002/14651858.CD015476.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan