Mesej utama
-
Dalam kalangan orang dewasa yang mengalami strok akibat perdarahan di dalam otak, pembedahan penyingkiran perdarahan boleh meningkatkan peluang orang dapat berfungsi secara bebas dan dapat mengurangkan risiko kematian berbanding dengan orang yang dirawat dengan perubatan penjagaan standard sahaja. Kami sangat tidak pasti sama ada pembedahan penyingkiran perdarahan memberikan kesan kepada kualiti hidup selepas strok akibat perdarahan di dalam otak.
-
Hal ini adalah tidak pasti sekiranya penyingkiran separa tengkorak tanpa penyingkiran perdarahan mempunyai kesan ke atas keupayaan untuk fungsi secara bebas, kematian, dan kualiti hidup selepas perdarahan otak, disebabkan hanya terdapat satu kajian.
-
Lebih banyak kajian berkualiti tinggi dengan lebih ramai orang dengan strok akibat perdarahan di dalam otak diperlukan untuk mengetahui sama ada pembedahan boleh membantu dan membolehkan doktor membuat cadangan untuk amalan klinikal masa depan.
Apakah perdarahan otak dan bagaimana ia dirawat?
Strok yang disebabkan oleh perdarahan di dalam otak dikenali sebagai perdarahan otak. Dalam kira-kira 20 dari 100 orang, perdarahan disebabkan oleh masalah dengan struktur saluran darah (keabnormalan), trauma pada otak (contohnya, pukulan ke kepala), atau ketumbuhan otak. Dalam baki 80%, perdarahan disebabkan oleh saluran darah kecil yang rosak di dalam otak. Pada masa kini, tidak ada rawatan yang membantu perdarahan otak, kecuali melalui perubatan standard yang diberikan dalam unit strok pakar, yang dikenali sebagai 'rawatan terbekas' yang membetulkan keabnormalan fisiologi dengan cepat, dan mungkin kawalan awal tekanan darah tinggi. Tidak diketahui sama ada pembedahan meningkatkan fungsi dan kehidupan orang dengan perdarahan otak berbanding rawatan perubatan standard sahaja. Pembedahan untuk rawatan perdarahan otak termasuk:
-
kraniotomi (di mana flap tulang disingkirkan dari tengkorak untuk mengakses otak) dengan penyingkiran perdarahan;
-
pembedahan invasif minimum (pembedahan melalui bukaan kecil di tengkorak, dengan atau tanpa menggunakan tiub dengan kamera di atasnya (disebut endoskopi), dan dengan atau tanpa menggunakan ubat untuk melarutkan bekuan darah); dan
-
penyingkiran separa tengkorak tanpa penyingkiran perdarahan (yang menurunkan tekanan di otak dan mencegah kerosakan selanjutnya).
Apakah yang kami ingin tahu?
Tidak diketahui sama ada pembedahan meningkatkan fungsi dan kehidupan orang dengan perdarahan otak berbanding rawatan perubatan standard sahaja. Kami juga berminat dengan teknik pembedahan mana yang terbaik.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian dalam orang dewasa dengan perdarahan otak yang membandingkan pembedahan ditambah perubatan penjagaan piawai berbanding perubatan penjagaan standard sahaja. Kajian hanya dapat menyiasat orang dengan perdarahan otak yang tidak disebabkan oleh abnormaliti, trauma, atau ketumbuhan otak. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut dan menilai keyakinan kami dalam bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami temui?
Kami telah menemui 24 kajian yang melibatkan 4597 orang dengan perdarahan otak. Kajian berlaku di Eropah, Amerika Utara dan Selatan, Asia, Afrika, dan Australia. Kajian ini telah diterbitkan dalam tempoh 35 tahun dari 1989 hingga 2024. Kajian berlangsung selama tiga hingga 12 bulan, dengan kebanyakan kajian berlangsung selama enam bulan. Dua puluh tiga kajian melihat kepada pembedahan penyingkiran perdarahan otak, sedangkan satu kajian melihat kepada penyingkiran separa tengkorak tanpa menghilangkan perdarahan.
-
Penyingkiran perdarahan otak secara pembedahan boleh meningkatkan peluang untuk berfungsi secara bebas dan boleh mengurangkan risiko kematian. Hal ini tidak jelas sekiranya pembedahan penyingkiran perdarahan mempunyai kesan ke atas kualiti hidup selepas perdarahan otak.
-
Apabila keputusannya dipecahkan oleh teknik pembedahan yang digunakan untuk menghilangkan perdarahan, pembedahan invasif minimum dapat meningkatkan peluang untuk fungsi secara bebas, tetapi kita tidak pasti mengenai perkara ini untuk kraniotomi. Walau bagaimanapun, pembedahan penyingkiran perdarahan dengan kraniotomi mungkin mengurangkan risiko kematian dan pembedahan invasif minimum mungkin mengurangkan risiko kematian. Akhirnya, kraniotomi mungkin membawa sedikit atau tiada perbezaan pada kualiti hidup selepas perdarahan otak. Perkara in tidak jelas untuk pembedahan invasif minimum.
-
Hal ini adalah tidak pasti sekiranya penyingkiran separa tengkorak tanpa penyingkiran perdarahan mempunyai kesan ke atas keupayaan untuk fungsi secara bebas, kematian, dan kualiti hidup selepas perdarahan otak, disebabkan hanya terdapat satu kajian.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah sederhana hingga sangat rendah. Salah satu sebab penting yang menurunkan keyakinan kami adalah kaedah kajian dirancang dan dijalankan, yang boleh mempengaruhi keputusan. Juga, beberapa kajian menunjukkan keputusan yang berbeza atau hanya sebilangan kecil orang dengan perdarahan otak yang dapat disiasat, yang mengakibatkan keputusan kurang tepat.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 11 Mac 2025.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.