Langkau ke kandungan utama

Apakah manfaat dan kemudaratan pembedahan penggantian lutut untuk merawat osteoartritis lutut dibandingkan dengan rawatan tanpa pembedahan?

Pandangan anda amat bermakna

Kami menjalankan tinjauan ringkas untuk memahami penggunaan Ringkasan Bahasa Mudah Cochrane. Klik pautan ini untuk menyertai dan membantu penambahbaikan maklumat kesihatan.

Mesej utama

  • Orang yang menghidap osteoartritis lutut tahap ringan hingga tahap teruk yang menjalani pembedahan penggantian lutut total diikuti dengan program rawatan tanpa pembedahan akan merasakan sedikit pengurangan kesakitan pada tahap yang sebenar; boleh mengalami sedikit peningkatan dalam fungsi fizikal yang mungkin tidak menawarkan manfaat sebenar; dan juga boleh mengalami sedikit pengurangan dalam keperluan pembedahan lutut susulan jika dibandingkan dengan program rawatan tanpa pembedahan sahaja. Kemungkinan besar tiada perbezaan daripada segi manfaat sebenar antara kumpulan rawatan yang terlibat dalam kualiti hidup berkaitan kesihatan.

  • Kesan pembedahan penggantian lutut sepenuhnya diikuti dengan program rawatan tanpa pembedahan terhadap risiko kesan yang tidak diingini dan penarikan diri yang serius akibat kesan yang tidak diingini berbanding program rawatan tanpa pembedahan sahaja adalah sangat tidak menentu.

  • Kajian masa hadapan diperlukan untuk membandingkan pembedahan penggantian lutut total dengan rawatan bukan pembedahan untuk osteoartritis. Kajian-kajian ini harus melihat manfaat dan risiko rawatan serta tahap kepuasan pesakit .

Apakah itu osteoartritis lutut?

Osteoartritis lutut adalah satu keadaan biasa dan boleh merebak di mana ia menjejaskan sendi lutut dan kawasan di sekelilingnya. Osteoartritis menyebabkan kesakitan, kekakuan, dan pergerakan terbatas, mengikut tahap skala ringan, sederhana, atau teruk. Gejala ini menjejaskan kualiti hidup berjuta-juta pesakit di seluruh dunia.

Bagaimanakah osteoartritis lutut dirawat?

Rawatan untuk osteoartritis lutut tahap sederhana hingga tahap teruk adalah rawatan bukan pembedahan dan pembedahan penggantian lutut. Pilihan rawatan bukan pembedahan yang biasa adalah pendidikan, senaman, fisioterapi, penurunan berat badan, ubat-ubatan dan suntikan sendi.

Apabila osteoartritis semakin teruk, sesetengah orang mungkin memerlukan pembedahan penggantian lutut. Semasa pembedahan penggantian lutut, pakar bedah menggantikan permukaan sendi lutut (tulang kering, tulang paha, dan kadangkala tempurung lutut) dengan bahagian tiruan yang diperbuat daripada logam, plastik, atau seramik. Plastik perenggang juga diletakkan di antara tulang kering dan tulang paha untuk membantu sendi bergerak dengan lancar.

Terdapat banyak pilihan rawatan untuk osteoartritis lutut, dan tiada satu pilihan yang terbaik untuk semua orang. Untuk memahami pilihan rawatan , pesakit osteoartritis lutut memerlukan maklumat yang jelas yang boleh dipercayai mengenai kemungkinan manfaat dan risiko pilihan rawatan bukan pembedahan dan pembedahan penggantian lutut agar dapat memilih rawatan yang paling sesuai dengan individu, matlamat dan gaya hidup mereka.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui rawatan yang mana (pembedahan penggantian lutut, rawatan bukan pembedahan, rawatan dummy atau rawatan palsu) yang paling berkesan untuk dewasa yang mengalami osteoartritis lutut tahap sederhana hingga tahap teruk.

Kami juga ingin mengetahui sama ada pesakit dewasa yang menjalani pembedahan penggantian lutut, rawatan bukan pembedahan, rawatan dummy atau rawatan palsu mengalami sebarang kesan sampingan yang tidak diingini .

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang diterbitkan dalam tempoh 15 tahun terakhir yang melihat kepada pembedahan penggantian lutut yang membandingkan rawatan bukan pembedahan, dummy atau palsu terhadap pesakit osteoartritis lutut tahap sederhana hingga tahap teruk. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti yang ada berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami hanya menemui satu kajian yang melibatkan 100 orang pesakit dewasa yang mengalami osteoartritis tahap ringan hingga tahap teruk. Kajian ini menguji pembedahan penggantian lutut total diikuti dengan program tanpa pembedahan selama 12 minggu dan kemudian membandingkan dengan program tanpa pembedahan sahaja selama 12 minggu yang sama. Dalam kumpulan yang menjalani pembedahan penggantian lutut total diikuti dengan program bukan pembedahan, 32 daripada 50 pesakit dewasa adalah wanita (64%), dan purata pesakit adalah berumur 66 tahun. Dalam kumpulan yang menerima program bukan pembedahan sahaja, 30 daripada 50 pesakit dewasa adalah wanita (60%), dan purata pesakit berumur 66 tahun.

Keputusan utama

Penggantian lutut total diikuti dengan program tanpa pembedahan selama 12 minggu dibandingkan dengan program tanpa pembedahan selama 12 minggu yang sama sahaja:

  • Mampu mengurangkan tahap kesakitan pada satu tahun pada tahap yang menawarkan manfaat sebenar;

  • Boleh meningkatkan fungsi fizikal pada satu tahun, tetapi peningkatan itu mungkin bukan jumlah manfaat sebenar;

  • Boleh mengurangkan keperluan untuk pembedahan lutut susulan (pembedahan semakan atau pembedahan lutut berikutnya dan pembedahan lutut awal);

  • Mungkin tidak terdapat perbezaan daripada segi manfaat sebenar antara kumpulan rawatan dalam kualiti hidup berkaitan kesihatan pada satu tahun.

Tiada bukti mengenai kepuasan pesakit dengan hasil rawatan.

Kami sangat tidak dapat memastikan kesan penggantian lutut sepenuhnya diikuti dengan program tanpa pembedahan selama 12 minggu dibandingkan program tanpa pembedahan selama 12 minggu yang sama terhadap risiko kesan tidak diingini yang serius pada satu tahun dan penarikan diri yang disebabkan oleh kesan yang tidak diingini .

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Keyakinan kami terhadap bukti penyelidikan hanyalah pada tahap sederhana sehingga tahap sangat rendah kerana kami hanya menemui satu kajian kecil dijalankan antara tahun 2011 dan 2013; ianya tidak jelas menunjukkan bagaimana doktor memutuskan siapa yang boleh menjalani pembedahan penggantian lutut; sebilangan kecil peserta dalam kajian ini menghidap osteoartritis tahap ringan dan bukannya tahap sederhana hingga tahap teruk; dan peserta yang mengalami sakit teruk pada minggu sebelumnya tidak disertakan dalam kajian ini, yang mungkin telah mempengaruhi keputusan ulasan. Di samping itu, peserta dalam kajian ini menyedari rawatan yang diterima, yang mungkin telah menjejaskan keputusan akhir.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Mohd Azizuddin Amir Shariffuddin (Occupational Safety & Health Unit HKL(OSH). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Pacheco-Brousseau L, Abdelrazeq S, Kelly SE, Pardo Pardo J, Dervin G, Stacey D, Wells GA. Total and partial knee arthroplasty versus non-surgical interventions of the knee for moderate to severe osteoarthritis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 1. Art. No.: CD015378. DOI: 10.1002/14651858.CD015378.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan