Mesej utama
-
Kaunseling, nasihat ringkas, terapi penggantian varenik dan nikotin mungkin cara yang berkesan untuk membantu orang ramai berhenti menggunakan tembakau tanpa asap.
-
Kami memerlukan lebih banyak penyelidikan dari negara-negara di Asia Selatan dan Asia Tenggara, di mana tembakau tanpa asap paling kerap digunakan dan di mana terdapat pelbagai jenis tembakau tanpa asap.
Apakah tembakau tanpa asap?
Tembakau tanpa asap adalah tembakau yang bukannya dihisap dalam rokok atau paip, tetapi digunakan dengan mengunyah, menghidu atau menahan di dalam mulut. Lebih daripada 300 juta orang di seluruh dunia menggunakan tembakau tanpa asap, dan ia paling banyak digunakan di Asia Selatan dan Asia Tenggara. Terdapat pelbagai jenis tembakau tanpa asap yang berbeza yang mempunyai pelbagai bentuk (cth. palam, daun, serbuk). Ia sering digabungkan dengan pelbagai bahan tambahan, seperti daun sirih, buah pinang, limau nipis dan perasa. Ini bermakna beberapa jenis tembakau tanpa asap berkemungkinan lebih berbahaya atau menyebabkan ketagihan yang lebih kuat berbanding yang lain.
Apakah yang boleh membantu orang ramai untuk berhenti menggunakan tembakau tanpa asap?
Terdapat pelbagai bentuk bantuan untuk berhenti menggunakan tembakau tanpa asap, dan kebanyakannya telah digunakan untuk membantu orang ramai berhenti merokok. Ia termasuk ubat-ubatan seperti terapi penggantian nikotin (yang boleh didapati dalam bentuk gula-gula getah, tampalan atau lozenge), varenicline, bupropion dan cytisine. Sokongan berhenti lain yang tidak melibatkan ubat merangkumi kaunseling, risalah bantuan kendiri, atau nasihat daripada kakitangan profesional kesihatan. Dalam ulasan ini, kami meneliti pelbagai jenis sokongan untuk berhenti menggunakan tembakau tanpa asap.
Apakah yang kami ingin tahu?
Tidak seperti merokok, terdapat kurang bukti yang tersedia tentang cara terbaik untuk berhenti menggunakan tembakau tanpa asap. Oleh itu, kami ingin mengumpulkan maklumat terkini untuk melihat cara sokongan yang boleh membantu orang ramai berhenti menggunakan tembakau tanpa asap. Oleh kerana kepelbagaian jenis tembakau tanpa asap, kami juga ingin melihat sama ada terdapat perbezaan dalam keberkesanan bantuan berhenti bagi jenis tembakau tanpa asap yang berbeza.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang meneliti cara untuk membantu orang ramai berhenti menggunakan tembakau tanpa asap. Kami ingin mengetahui berapa ramai orang yang berhenti menggunakan sebarang jenis tembakau sekurang-kurangnya enam bulan selepas kajian dimulakan, dan kami hanya memasukkan kajian di mana rawatan yang diterima peserta ditentukan secara rawak. Kajian seperti ini biasanya memberikan bukti yang paling dipercayai mengenai kesan-kesan rawatan.
Apa yang kami temui?
Kami menemui 43 kajian melibatkan 20,346 orang yang menguji cara-cara untuk membantu orang berhenti menggunakan tembakau tanpa asap. Tiga puluh tiga kajian berlaku di Amerika Utara, dua di Scandinavia, lima di India, satu di Pakistan dan satu di Turki. Satu kajian berlaku di tiga negara: Bangladesh, India dan Pakistan. Kajian telah menguji jenis-jenis bantuan berhenti seperti berikut.
-
Terapi penggantian nikotin, varenicline dan bupropion (semua ubat yang sering digunakan untuk membantu orang berhenti merokok).
-
Kaunseling, di mana seorang kakitangan profesional kesihatan atau kaunselor terlatih membincangkan sebab dan cara seseorang harus berhenti menggunakan tembakau.
-
Nasihat ringkas, di mana seseorang memberikan nasihat ringkas (di bawah 15 minit) tentang bahaya tembakau dan mengapa berhenti adalah idea yang baik.
Apakah keputusan mengenai ulasan kami?
-
Kaunseling mungkin membantu lebih ramai orang untuk berhenti menggunakan tembakau tanpa asap berbanding sokongan yang minimum atau tiada sokongan langsung. Bagi setiap 100 orang yang diberi kaunseling, 23 hingga 34 orang mungkin berjaya berhenti, berbanding 16 orang yang diberi sokongan minimum atau tiada sokongan.
-
Nasihat ringkas tentang berhenti mungkin membantu lebih ramai orang untuk berhenti menggunakan tembakau tanpa asap berbanding tiada sokongan. Bagi setiap 100 orang yang diberi nasihat ringkas, 15 hingga 22 orang mungkin berjaya berhenti, berbanding 15 orang yang tidak diberi sokongan.
-
Varenicline mungkin membantu lebih ramai orang untuk berhenti menggunakan tembakau tanpa asap daripada plasebo (rawatan dummy) atau tanpa ubat. Bagi setiap 100 orang yang diberi varenicline, 36 hingga 56 mungkin berjaya berhenti, berbanding 33 orang yang diberi plasebo.
-
Terapi penggantian nikotin boleh membantu lebih ramai orang untuk berhenti menggunakan tembakau tanpa asap berbanding plasebo atau tanpa ubat. Bagi setiap 100 orang yang diberi terapi penggantian nikotin, 29 hingga 36 orang mungkin berjaya berhenti, berbanding 27 orang yang diberi plasebo atau tiada ubat.
-
Bupropion mungkin membantu atau mungkin juga tidak membantu lebih ramai orang berhenti menggunakan tembakau tanpa asap berbanding plasebo atau tanpa ubat. Bagi setiap 100 orang yang diberi bupropion, 10 hingga 28 mungkin berjaya berhenti, berbanding 19 orang yang diberi plasebo.
Kami tidak menjumpai jumlah kajian yang mencukupi mengenai variasi jenis tembakau tanpa asap untuk menentukan sama ada ia mempengaruhi keberkesanan pelbagai bentuk bantuan berhenti.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Terdapat beberapa kebimbangan mengenai bukti yang kami temui bermakna kami harus berhati-hati dalam mentafsir penemuan kami. Sesetengah kajian menggunakan kaedah yang mungkin menjejaskan penemuan mereka, menjadikan mereka kurang dipercayai, dan kami mendapati bahawa untuk beberapa bantuan berhenti, kami tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk menolak kemungkinan ia berfungsi lebih atau kurang daripada yang kami laporkan dalam ulasan ini.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Kami memasukkan bukti yang diterbitkan sehingga 16 Februari 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kavessh Vandaiyar (RSCI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).