Mesej utama
Dapatan daripada kajian yang menyertakan wanita tanpa pembedahan caesarean sebelum ini dan kajian yang menyertakan campuran wanita dengan atau tanpa pembedahan caesarean sebelum ini (di mana kebanyakannya tidak mempunyai pembedahan caesarean sebelum ini):
-
Didapati tidak jelas sama ada mana-mana kaedah induksi bersalin yang lain lebih berkesan daripada memasukkan dos rendah (≤ 50 μg) misoprostol ke dalam faraj bagi menghasilkan bersalin melalui faraj dalam tempoh 24 jam, mengurangkan risiko pembedahan caesarean disebabkan oleh kebimbangan tentang kesejahteraan bayi, dan mencegah kematian bayi.
-
Ubatan yang dipanggil penderma nitrik oksida (yang akan mengeluarkan nitrik oksida), dilator serviks osmotik, kateter belon, dan pengambilan dos rendah (≤ 50 μg) misoprostol dengan mulut mungkin membantu mengurangkan risiko pengecutan rahim secara berlebihan yang boleh menyebabkan bayi tertekan berbanding dengan pemasukan dos rendah (≤ 50 μg) misoprostol ke dalam faraj.
-
Penyelidikan masa depan adalah diperlukan untuk meningkatkan keyakinan kami terhadap bukti.
Apakah induksi bersalin?
Induksi persalinan adalah proses memulakan proses bersalin dengan menggunakan kaedah perubatan, di mana ianya kerap diperlukan sekiranya kehamilan melebihi tarikh jangkaan atau di mana terdapat kebimbangan tentang kesihatan ibu atau bayi. Terdapat lima jenis kaedah bersalin, yang diterangkan di bawah.
-
Kaedah berasaskanperubatan (perubatan hormonal seperti misoprostol, dinoprostone, dan oksitosin diberikan melalui faraj, oral (melalui mulut), atau intravena (ke dalam vena))
-
Kaedah mekanikal (biasanya kateter belon dimasukkan melalui faraj untuk melebarkan (membuka) serviks
-
Kaedah pembedahan (dikenali sebagai amniotomi, melibatkan pecahan membran secara sengaja (‘memecahkan air ketuban’))
-
Kaedah gabungan (menggunakan kedua-dua ubat dan mekanikal atau teknik pembedahan untuk meningkatkan keberkesanan)
-
Kaedah alternatif (seperti akupunktur dan suplemen herba).
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui kaedah induksi bersalin yang paling efektif dan selamat untuk wanita hamil pada atau selepas 37 minggu dengan bayi hidup.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan kaedah induksi bersalin terhadap wanita yang hamil pada atau melebihi 37 minggu. Kami telah melihat kepada kaedah yang mengesyorkan panduan induksi bersalin dalam ulasan Cochrane sebelumnya. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan-keputusan kajian tersebut dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah-kaedah dan saiz-saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami telah menilai 106 kajian yang melibatkan 30,348 wanita daripada 35 negara, menilai 13 kaedah induksi bersalin dan satu intervensi kawalan (tiada kaedah induksi bersalin rutin ataupun polisi menunggu proses natural berlaku (pengurusan mengikut jangkaan)).
Kajian-kajian tersebut disertakan merangkumi kumpulan wanita berikut.
-
Kebanyakan kajian tertumpu kepada wanita yang belum pernah menjalani pembedahan caesarean sebelum ini.
-
Dua kajian secara khusus hanya disertai wanita yang pernah menjalani pembedahan caesarean.
-
Tujuh kajian yang menyertakan campuran wanita (dengan dan tanpa pembedahan caesarean sebelum ini, di mana kebanyakan mereka tidak melalui pembedahan caesarean sebelum ini)
-
Tiga kajian dengan jelas melaporkan bahawa mereka telah menyertakan campuran kumpulan wanita.
-
Empat kajian tidak melaporkan maklumat ini; walau bagaimanapun, disebabkan lebih separuh wanita adalah ibu kali pertama, kami menganggap bahawa kajian tersebut juga telah menyertakan campuran wanita yang tidak pernah melalui pembedahan caesarean.
-
Kami telah menilai kaedah berikut.
-
Lapan kaedah berdasarkan ubat: misoprostol dos rendah (≤ 50 μg) diberikan melalui oral, faraj, atau laluan sublingual/ bukal (di dalam mulut); pesari faraj misoprostol pelepasan terkawal (alat seperti tampon); dinoprostone (gel faraj/tablet atau pesari faraj terkawal faraj); oksitosin; dan penderma nitrik oksida
-
Dua kaedah mekanikal: kateter belon dan dilator serviks osmotik
-
Tiga kaedah gabungan: oksitosin dengan amniotomi; kateter belon dengan oksitosin; dan kateter belon dengan misoprostol dos rendah (≤ 50 μg)
Penemuan berikut merumuskan keputusan untuk empat hasil utama kami di kalangan wanita tanpa pembedahan caesarean sebelum ini dan campuran wanita dengan atau tanpa pembedahan caesarean: kegagalan untuk persalinan secara faraj dalam 24 jam, pembedahan caesarean disebabkan oleh kebimbangan tentang kesejahteraan bayi, pengecutan rahim yang boleh menyebabkan tekanan kepada bayi, dan kematian bayi.
-
Tidak ada bukti jelas tentang mana-mana kaedah yang lebih berkesan berbanding dengan misoprostol dos rendah (≤ 50 μg) diasuan ke dalam faraj untuk hasil utama seperti kegagalan untuk bersalin secara faraj dalam 24 jam, pembedahan caesarean disebabkan oleh kebimbangan tentang kesejahteraan bayi, dan kematian bayi.
-
Apabila dibandingkan dengan misoprostol dos rendah (≤ 50 μg) secara faraj, penderma nitrik oksida, dilator osmotik, kateter belon, dan pengambilan misoprostol dos rendah (≤ 50 μg) secara oral mungkin mengurangkan risiko pengecutan rahim secara berlebihan yang boleh menyebabkan bayi tertekan.
Tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk menunjukkan kaedah induksi yang paling selamat dan berkesan untuk wanita yang pernah menjalani pembedahan caesarean.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami mempunyai keyakinan daripada sedikit hingga sederhana terhadap bukti. Keyakinan kami dikurangkan disebabkan oleh masalah dengan kaedah kajian dan disebabkan oleh kajian yang tidak mencukupi untuk memastikan keputusannya. Kebanyakan kajian tiak mengumpul atau melaporkan kesan yang tidak diingini bagi wanita dan kematian bayi dan pengecutan rahim yang berlebihan yang boleh menyebabkan bayi tertekan. Akhir sekali, kajian-kajian tersebut tidak melihat semua kaedah yang mendorong proses bersalin yang kami mahukan untuk hasil yang telah dirancang.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini setakat 1 Februari 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




