Mesej utama
-
Bayi baru lahir diberikan sukrosa (air gula) semasa menjalani prosedur jarum mungkin mengalami kurang sakit semasa dan sejurus selepas prosedur berbanding dengan bayi yang tidak diberikan apa-apa, air, atau langkah keselesaan standard.
-
Sukrosa nampaknya banyak mengurangkan sakit berbanding dengan puting. Kami tidak mempunyai bukti yang baik tentang kesan sukrosa berbanding dengan penjagaan kulit ke kulit.
-
Tiada kajian yang melaporkan kesan-kesan sampingan, seperti tercekik atau apnea (jeda sementara semasa bernafas).
Apakah analgesia sukrosa (melegakan sakit )?
Sukrosa ialah gula biasa. Apabila dicampurkan dengan air, dan dalam jumlah yang sangat kecil, ia boleh digunakan untuk melegakan sakit pada bayi baru lahir. Sukrosa dititiskan pada lidah bayi kira-kira dua minit sebelum dan/atau sejurus sebelum venipuncture, semasa jarum dimasukkan ke dalam vena untuk mengambil darah atau memberikan rawatan.
Mengapakah melegakan sakit penting untuk bayi baru lahir yang berada di hospital?
Bayi pramatang yang dimasukkan ke hospital (iaitu dilahirkan awal) dan bayi cukup bulan (iaitu bayi yang dilahirkan pada waktu normal) adalah terdedah kepada terlalu banyak prosedur untuk memberikan ubat yang menyakitkan dan untuk mendiagnosis masalah. Sakit mempunyai banyak akibat untuk bayi baru lahir. Ia boleh menyumbang kepada pertumbuhan fizikal yang lemah dan menjejaskan perkembangan otak. Oleh itu, adalah penting untuk mengurangkan pengalaman sakit bayi sebanyak yang mungkin untuk memastikan kesihatan mereka semasa membesar.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada betapa sukrosa berfungsi untuk melegakan sakit pada bayi baru lahir semasa dan sejurus selepas tusukan jarum. Kami ingin mengetahui bagaimana sukrosa berbanding dengan kaedah melegakan sakit yang lain seperti menghisap puting, menyusukan bayi, atau dipeluk di sebelah kulit ibu atau bapa (penjagaan kulit ke kulit). Kami juga ingin mengetahui sama ada sukrosa mengakibatkan kesan negatif.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang mengkaji kesan melegakan kesan sukrosa berbanding dengan kaedah lain (contohnya menyusukan bayi, puting, memegang). Kami telah merumuskan keputusan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti bilangan bayi yang dirawat dan kualiti kajian yang digunakan dalam kajian tersebut.
Apakah yang ditemukan?
Kami telah menemui 29 kajian yang telah menyertakan 2764 bayi baru lahir. Kajian-kajian tersebut telah menggunakan dos sukrosa yang berbeza dan memberikan sukrosa kepada bayi-bayi dalam kaedah yang berbeza. Kajian-kajian tersebut telah dijalankan di seluruh dunia. Kebanyakannya dijalankan di Asia, dengan kajian tambahan daripada Eropah, Amerika Utara, dan Amerika Selatan. Semua kajian adalah percubaan terkawal rawak, di mana bayi ditugaskan secara rawak kepada dua atau lebih kumpulan rawatan. Hal ini adalah kaedah terbaik untuk memastikan bahawa kumpulan bayi adalah sama, dan penyelidik dan ibu bapa tidak tahu siapa yang berada dalam kumpulan yang mana. Tiada kajian yang disokong oleh industri farmaseutikal.
Keputusan utama
-
Sukrosa mungkin mengurangkan sakit bayi semasa dan sejurus selepas (30 saat kepada 1 minit) pemasukan jarum berbanding dengan tanpa kelegaan sakit (seperti air).
-
Sukrosa mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan terhadap sakit semasa prosedur berbanding dengan penjagaan kulit ke kulit.
-
Sukrosa mungkin mengurangkan sakit semasa pemasukan jarum berbanding dengan penyusuan.
-
Sukrosa (dengan menghisap puting) berkemungkinan mengurangkan sakit semasa dan sejurus selepas (30 saat kepada 2 minit) pemasukan jarum berbanding dengan menghisap puting sahaja.
Tiada kajian yang telah melaporkan kesan memudaratkan untuk mana-mana perbandingan yang diminati.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Sukrosa berbanding dengan tanpa intervensi atau air
Kami sederhana yakin bahawa sukrosa mungkin mengurangkan sakit berbanding dengan tanpa intervensi. Walau bagaimanapun, ia mungkin bahawa orang di dalam kajian tersebut menyedari kajian yang mana diterima oleh bayi, dan kajian yang melibatkan bilangan kecil bayi.
Sukrosa berbanding dengan penjagaan kulit ke kulit
Kami tidak yakin bahawa sukrosa mengurangkan sakit lebih banyak berbanding dengan penjagaan kulit ke kulit disebabkan dua kajian yang telah melaporkan keputusan yang sangat berbeza. Kajian lanjut mungkin mengubah keputusan tersebut.
Sukrosa berbanding dengan menyusukan
Kami sederhana yakin bahawa sukrosa mungkin mengurangkan sakit lebih banyak berbanding dengan menyusukan. Walau bagaimanapun, kajian tersebut tidak melaporkan butiran bagaimana ia dijalankan dengan jelas.
Sukrosa berbanding dengan puting
Kami sederhana yakin bahawa sukrosa dengan puting mungkin mengurangkan sakit lebih daripada puting sahaja. Kajian-kajian tersebut berbeza dari segi cara sukrosa diberikan, termasuk jumlah sukrosa, cara ia diberikan, dan sama ada ia diberikan dengan atau tanpa puting.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga Julai 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.