Langkau ke kandungan utama

Apakah kesan penggunaan makrolida (antibiotik) dalam mencegah penyakit paru-paru jangka panjang pada bayi pramatang?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Displasia bronkopulmonari ialah penyakit paru-paru jangka panjang yang biasa berlaku pada bayi pramatang dengan paru-paru yang kurang berkembang. Keselamatan dan keberkesanan (kebergunaan) pemberian makrolida (sejenis antibiotik) kepada bayi yang sangat pramatang (dilahirkan sebelum 32 minggu kehamilan) atau bayi dengan berat lahir yang sangat rendah (< 1500 g) yang memerlukan sokongan pernafasan invasif (tiub di dalam mulut mereka) dalam 72 jam pertama kehidupan untuk mencegah displasia bronkopulmonari adalah tidak jelas.

  • Kajian pada masa akan datang diperlukan untuk melihat kesan makrolida terhadap hasil jangka panjang dan penggunaannya pada jenis bayi lain yang berisiko, atau bayi dengan displasia bronkopulmonari. Terdapat juga keperluan untuk penyelidikan lanjut tentang tempoh masa makrolida perlu diberikan.

Apakah displasia bronkopulmonari?

Bayi yang sangat pramatang dan bayi dengan berat lahir yang sangat rendah berisiko mendapat displasia bronkopulmonari, penyakit paru-paru jangka panjang yang biasa berlaku pada bayi pramatang dengan paru-paru yang kurang berkembang. Ini boleh berlaku dalam bentuk ringan hingga teruk dan melibatkan bengkak (keradangan) kantung udara paru-paru, menyebabkan sukar untuk bernafas. Bayi mungkin memerlukan oksigen di rumah dan terdedah kepada jangkitan paru-paru berulang dan asma sebagai anak kecil. Bayi yang dilahirkan sangat awal dan bayi yang memerlukan tiub dalam saluran pernafasan mereka untuk bernafas berisiko lebih tinggi untuk mendapat keradangan paru-paru dan penyakit paru-paru jangka panjang.

Bagaimanakah diplasia bronkopulmonari dicegah?

Satu cara untuk membantu mencegah penyakit paru-paru kronik pada bayi adalah mungkin dengan memberi mereka yang memerlukan tiub pernafasan sejurus selepas kelahiran satu tempoh rawatan makrolida. Makrolida ialah sekumpulan antibiotik yang mempunyai kesan anti-radang pada paru-paru. Ubat makrolida termasuk azithromycin, erythromycin, dan clarithromycin. Ia telah digunakan dalam penyakit paru-paru yang lain, termasuk sesak nafas dan parut pada tisu paru-paru (emfisema) atau aliran udara yang terhad dan masalah pernafasan (penyakit pulmonari obstruktif kronik) pada orang dewasa, dan lendir yang pekat dan melekit terkumpul di dalam paru-paru (fibrosis sistik) pada kanak-kanak, untuk membantu pernafasan dan gejala paru-paru seperti batuk dan berdehit.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin tahu sama ada pemberian makrolida mungkin bermanfaat untuk bayi yang sangat pramatang dan bayi dengan berat lahir yang sangat rendah. Khususnya, kami ingin mengetahui kesan pemberian makrolida (sama ada ke dalam vena atau ke dalam perut) berbanding dengan plasebo (rawatan palsu) atau tanpa rawatan terhadap hasil-hasil berikut.

  • Displasia bronkopulmonari

  • Kematian sebelum discaj

  • Sakit perut (cirit-birit dan muntah)

  • Penyakit hati

  • Aritmia jantung (degupan jantung tidak teratur)

  • Stenosis pilorik (penebalan dan penyumbatan saluran keluar perut ke dalam usus)

  • Keperluan untuk steroid bagi merawat keradangan paru-paru dalam tempoh selepas kelahiran bayi

Apakah yang dilakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang mengkaji pemberian makrolida berbanding plasebo atau tanpa rawatan pada bayi yang sangat pramatang atau bayi dengan berat lahir sangat rendah (atau kedua-duanya) yang memerlukan pengudaraan (tiub pernafasan dalam saluran pernafasan mereka) sejurus selepas kelahiran, untuk pencegahan displasia bronkopulmonari. Kami membanding dan merumus keputusan kajian yang disertakan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui enam kajian yang melibatkan 1108 bayi pramatang yang membandingkan pemberian makrolida dengan plasebo atau tanpa rawatan pada bayi yang diberi pengudaraan sejurus selepas kelahiran. Terdapat lima kajian sedang berjalan yang belum diterbitkan atau selesai lagi. Satu lagi kajian sedang menunggu klasifikasi, kerana kami memerlukan data hasil daripada penulis.

Lima daripada enam kajian yang disertakan memberi azithromycin secara intravena (melalui vena): ia diberikan selama enam minggu dalam dua kajian (secara intravena sehingga penyusuan penuh, kemudian secara enteral (ke dalam perut melalui tiub pemakanan)); selama 10 hari dalam satu kajian; selama lima hari dalam satu kajian; dan selama tiga hari dalam kajian yang selebihnya. Kajian keenam memberikan erythromycin secara intravena untuk pakej tempoh 7 hari.

Keputusan utama

Memberi makrolida (khususnya azithromycin) kepada bayi yang sangat pramatang dan bayi dengan berat lahir sangat rendah berbanding plasebo atau tanpa rawatan, apabila mereka memerlukan tiub pernafasan sejurus selepas kelahiran, boleh:

  • memberi sedikit hingga tiada perbezaan terhadap diagnosis displasia bronkopulmonari

  • mengakibatkan sedikit pengurangan dalam kematian sebelum discaj dari hospital;

  • mengurangkan sakit perut;

  • memberi sedikit hingga tiada perbezaan terhadap kesan tidak diingini lain makrolida termasuk penyakit hati, aritmia jantung, atau stenosis pilorik;

  • mengurangkan keperluan untuk steroid bagi merawat keradangan paru-paru dalam tempoh selepas kelahiran bayi.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami mempunyai keyakinan rendah terhadap kebanyakan bukti, yang bermakna penyelidikan akan datang dalam bidang ini boleh mengubah kesimpulan kami. Tiga faktor utama mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti. Pertama, kriteria kemasukan kami yang ketat mengehadkan bilangan kajian dan seterusnya bilangan bayi yang disertakan. Kedua, kajian-kajian merangkumi tempoh 30 tahun, yang mana semasa tempoh tersebut terdapat kemajuan ketara dalam penjagaan bayi yang tidak sihat dan definisi penyakit paru-paru yang digunakan, lalu mengehadkan keupayaan kami untuk memperoleh keputusan yang bermakna. Akhir sekali, lima daripada enam kajian menggunakan azithromycin, dan satu kajian menggunakan erythromycin, jadi kami mungkin tidak dapat menyatakan sekiranya keputusan tersebut terpakai kepada makrolida yang lain.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2025.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
O’Connor KL, Cracknell J, Cooper C, Davies MW. Macrolides for the prevention of bronchopulmonary dysplasia in preterm neonates. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 2. Art. No.: CD015063. DOI: 10.1002/14651858.CD015063.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan