Mesej utama
-
Program makanan sekolah di negara berpendapatan rendah dan sederhana didapati memberikan sedikit peningkatan dalam skor ujian matematik, tetapi mungkin memberi sedikit atau tiada kesan terhadap skor ujian membaca. Makanan sekolah juga membawa kepada sedikit peningkatan dalam pendaftaran, tetapi mungkin memberi sedikit atau tiada kesan pada kehadiran. Makanan sekolah mungkin menghasilkan peningkatan kecil dalam ketinggian dan berat badan mengikut umur. Kami tidak pasti sama ada ia mengurangkan berat badan berlebihan dan obesiti.
-
Penyelidikan perlu menjadi komponen penting dalam perancangan dan pelaksanaan program makanan sekolah. Untuk memudahkan perbandingan keputusan dari kajian-kajian berbeza, penyelidik, ibu bapa, dan penggubal dasar perlu bekerjasama untuk menyenaraikan matlamat paling penting untuk kesihatan, perkembangan, dan kejayaan kanak-kanak di sekolah.
Mengapa kami ingin mengulas kajian tentang makanan sekolah?
Di seluruh dunia, ramai kanak-kanak tidak mendapat makanan berkhasiat untuk memastikan mereka sihat dan bersedia untuk belajar di sekolah. Ini menjejaskan keupayaan mereka untuk mendaftar, menghadiri sekolah dengan kerap, dan belajar di sana. Makanan sekolah bertujuan untuk mengurangkan rasa lapar dan meningkatkan pembelajaran, fokus, dan kesihatan keseluruhan kanak-kanak.
Makanan sekolah adalah salah satu jaringan keselamatan sosial terbesar di dunia. Kami berusaha untuk memahami keberkesanannya untuk kanak-kanak dalam keadaan yang kurang bernasib baik di seluruh dunia. Kebanyakan ulasan bukti terdahulu adalah terhad dalam skop geografi, dan banyak menggunakan analisis naratif.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami bertanya dua soalan ekuiti (keadilan) kesihatan berikut.
-
Adakah penyediaan makanan sekolah meningkatkan kesihatan fizikal kanak-kanak yang mengalami kekurangan sosioekonomi di seluruh dunia?
-
Adakah makanan sekolah lebih bermanfaat kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik dari segi jantina dan pendapatan keluarga yang rendah berbanding kanak-kanak yang kurang bernasib baik?
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian yang menilai kesan makanan sekolah terhadap murid berumur lima hingga 19 tahun. Kami memasukkan kajian rawak, yang mengagihkan murid atau sekolah ke dalam kumpulan kajian secara rawak. Walaubagaimanapun, kerana kajian rawak tidak selalu dijalankan, kami turut memasukkan kajian tidak rawak yang membandingkan kumpulan yang menerima makanan sekolah dengan kumpulan yang tidak menerima makanan sekolah. Kajian-kajian tidak rawak ini perlu mengukur keputusan pada sekurang-kurangnya dua kali; sekali pada awal dan sekali pada akhir kajian. Kami menilai tahap keyakinan dalam penemuan secara berasingan untuk setiap hasil.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui 13 kajian rawak dan 27 kajian tidak rawak, yang melibatkan lebih daripada 91,995 pelajar berumur lima hingga 19 tahun. Satu kajian memasukkan 59,613 pelajar, manakala yang lain mempunyai populasi pelajar antara 40 hingga 6038 pelajar. Merentasi semua kajian, terdapat bilangan lelaki dan perempuan yang sama, walaupun tiga kajian hanya melibatkan perempuan. Kebanyakan kajian dijalankan di negara berpendapatan rendah dan sederhana (34 kajian), manakala enam dari negara berpendapatan tinggi.
Di negara berpendapatan rendah dan sederhana, makanan sekolah membawa kepada sedikit peningkatan dalam skor ujian matematik, tetapi mungkin sedikit atau tiada kesan terhadap skor ujian membaca. Makanan sekolah juga membawa kepada sedikit peningkatan dalam pendaftaran, tetapi mungkin memberi sedikit atau tiada kesan pada kehadiran. Makanan sekolah mungkin menghasilkan peningkatan kecil dalam ketinggian dan berat badan mengikut umur. Kami tidak pasti sama ada ia mengurangkan berat badan berlebihan dan obesiti.
Di negara berpendapatan tinggi, satu kajian menunjukkan bukti yang tidak pasti bahawa makanan sekolah boleh sedikit meningkatkan kehadiran.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Oleh kerana kami menemui sedikit kajian yang dijalankan di negara berpendapatan tinggi, kami tidak mengesyorkan menggunakan penemuan kami pada tetapan ini.
Kami yakin dengan keputusan untuk markah ujian matematik dan pendaftaran. Kami agak yakin dengan keputusan untuk ketinggian dan berat mengikut umur, kerana kami mempunyai beberapa kebimbangan tentang kaedah kajian. Kami kurang yakin dengan keputusan untuk skor ujian membaca dan kehadiran, kerana kami mempunyai beberapa kebimbangan tentang kaedah kajian, dan keputusannya sangat berbeza antara kajian. Kami tidak yakin dengan keputusan bagi berat badan berlebihan/obesiti, kerana kami mempunyai beberapa kebimbangan mengenai kaedah kajian, kedua-dua kajian mengukur hasil dengan cara berbeza, dan salah satu kajian adalah sangat kecil.
Beberapa kajian menghadapi halangan disebabkan konteks mereka, seperti konflik, kemarau, kelewatan birokrasi, dan kesukaran untuk mengagihkan dana kepada katerer, serta keinginan untuk memulakan program makan sekolah di sekolah kawalan.
Kami memerlukan lebih banyak bukti tentang makanan sekolah dan kesannya terhadap pelajar sekolah yang kurang bernasib baik—terutama mereka yang berada di sekolah menengah—di negara dari semua peringkat pendapatan. Kami juga memerlukan lebih banyak kajian yang menilai perbezaan antara kumpulan yang kurang bernasib baik dan kanak-kanak yang lebih bernasib baik di negara berpendapatan tinggi. Kami mencadangkan agar para penyelidik, pakar pemakanan sekolah, guru, dan ibu bapa bekerjasama untuk membangunkan satu set teras hasil utama, dan hasil ini diletakkan dalam repositori akses terbuka.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemas kini dan mengembangkan ulasan 2007 kami tentang program makan sekolah. Bukti adalah terkini sehingga November 2024.
Pembiayaan
Dubai Cares membiayai ulasan ini melalui Program Makanan Sedunia Program Pemakanan Sekolah. London School of Hygiene and Tropical Medicine juga membiayai ulasan ini. Pembiaya tidak mempunyai pengaruh terhadap ulasan.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadhirah Azizan (Universiti Sains Malaysia, Penang). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.