Mesej utama
• Kami mempunyai sedikit atau tiada keyakinan terhadap bukti untuk semua rawatan. Ini bermakna tiada bukti yang jelas untuk menyokong penggunaan kaedah berhenti merokok yang berbeza untuk mereka yang berasal daripada kumpulan sosioekonomi rendah berbanding yang lebih tinggi, atau mana-mana satu intervensi akan mempunyai kesan ke atas ketidaksamaan kesihatan. Walau bagaimanapun, kesimpulan ini mungkin berubah apabila lebih banyak penyelidikan dilakukan.
• Lebih banyak kajian yang melaporkan kadar berhenti merokok mengikut status sosioekonomi bagi setiap kumpulan kajian diperlukan.
Berhenti merokok dan perbezaan dari segi status sosioekonomi
Merokok adalah merupakan faktor risiko utama penyakit dan kematian pramatang, membunuh satu daripada dua pengguna dan lapan juta orang di seluruh dunia setiap tahun. Mereka yang merokok menghadapi peningkatan risiko menghidapi penyakit jantung, penyakit paru-paru dan kanser.
Terdapat pelbagai jenis rawatan boleh membantu mereka untuk berhenti merokok. Rawatan-rawatan ini termasuk ubat atau sokongan tingkah laku, seperti kaunseling, dan boleh diberikan dalam pelbagai cara.
Mereka daripada golongan berlatarbelakangkan sosioekonomi yang lebih rendah (contohnya orang yang berpendapatan rendah, yang menganggur, atau yang mempunyai tahap pendidikan yang lebih rendah) lebih berkemungkinan untuk merokok tetapi kurang berkemungkinan untuk berhenti walaupun dengan bantuan rawatan yang sediaada dibandingkan dengan mereka daripada kumpulan sosioekonomi yang lebih tinggi.
Potensi impak berhenti merokok terhadap ketidaksamaan kesihatan
Ketidaksamaan kesihatan ialah perbezaan taraf kesihatan di kalangan orang ramai. Memandangkan merokok adalah memudaratkan dan membawa maut, bilangan mereka yang merokok adalah lebih tinggi dan membawa kepada ketidaksamaan jumlah dari segi kematian dan penyakit yang disebabkan merokok di kalangan mereka yang kurang bernasib baik. Ini menjadikan merokok sebagai pemacu utama ketidaksamaan kesihatan. Berhenti merokok adalah penting untuk mengurangkan risiko ini dan juga untuk mengurangkan perbezaan dari segi taraf kesihatan antara mereka yang berlatarbelangkan sosioekonomi yang berbeza.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada rawatan sediaada untuk membantu orang dewasa berhenti menghisap rokok tembakau adalah lebih baik atau lebih teruk pada mereka yang berlatarbelangkan sosioekonomi berbeza, dan potensi kesannya terhadap kesaksamaan kesihatan.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian-kajian yang melihat kepada sebarang rawatan yang mungkin digunakan oleh orang dewasa (berumur 18 tahun ke atas) untuk membantu mereka berhenti menghisap rokok tembakau. Kami mencari kajian terkawal rawak, di mana peserta diagihkan secara rawak kepada bebrapa kumpulan rawatan yang berbeza.
Kami membandingkan dan merumuskan hasil kajian tentang bilangan mereka yang berhenti merokok selepas sekurang-kurangnya enam bulan, lebih rendah dibandingkan dengan mereka daripada kumpulan berlatarbelakangkan sosioekonomi yang lebih tinggi. Setelah itu, kami mengagihkan potensi kesan intervensi terhadap kesaksamaan kesihatan. Kami telah menilai tahap keyakinan kami mengenai bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah-kaedah dan saiz-saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 77 kajian melibatkan 127,791 orang dewasa yang merokok. Mereka telah mengkaji pelbagai jenis ubat-ubatan dan sokongan tingkah laku untuk membantu orang berhenti merokok. Sebanyak tujuh puluh kajian telah dijalankan di negara berpendapatan tinggi.
Apakah keputusan utama ulasan kami?
Rokok elektronik nikotin dan cytisine (ubat), masing-masing mempunyai kesan yang lebih besar ke atas kadar berhenti merokok di kalangan mereka yang mempunyai latar belakang sosioekonomi yang lebih rendah daripada yang lebih tinggi. Ini menunjukkan bahawa setiap intervensi berkemungkinan mempunyai kesan positif terhadap kesaksamaan kesihatan dibandingkan kumpulan intervensi kawalan. Kami menemui bahawa bupropion (ubat antidepresan) mempunyai kesan yang lebih besar ke atas kadar berhenti merokok di kalangan mereka yang berlatarbelakangkan sosioekonomi yang lebih tinggi daripada yang lebih rendah, memberikan kemungkinan kesan negatif terhadap kesaksamaan kesihatan. Bukti mengenai terapi penggantian nikotin adalah tidak jelas, dan tiada bukti sedia ada untuk ubat varenicline. Walaubagaimanapun, kami sangat meragui hasil penemuan ini.
Bukti-bukti mengenai kesan daripada bahan bantu diri/ kendiri berasaskan cetakan, pemesejan teks dan insentif kewangan untuk berhenti merokok, mencadangkan kadar berhenti merokok yang lebih rendah dalam di kalangan mereka yang berlatarbelakangkan sosioekonomi yang lebih rendah dibandingkan kumpulan yang lebih tinggi. Ini menunjukkan bahawa intervensi ini berkemungkinan memberi kesan negatif terhadap kesaksamaan kesihatan, dibandingkan intervensi kawalan. Bukti tentang kaunseling bersemuka mencadangkan tiada perbezaan antara kumpulan sosioekonomi, manakala kaunseling telefon dan intervensi berasaskan internet menunjukkan kesan yang lebih besar ke atas kadar berhenti lebih rendah berbanding kumpulan sosioekonomi yang lebih tinggi. Sekali lagi, kami mempunyai keyakinan terhad terhadap keputusan analisis ini.
Apakah batasan bukti?
Kami kurang yakin dengan penemuan di atas disebabkan oleh: (1) bilangan kajian yang kecil; (2) variasi dalam kesan intervensi terhadap kadar kesaksamaan kesihatan antara kajian; (3) isu berkaitan reka bentuk atau pengendalian kajian; dan (4) data yang terhad tentang bilangan peserta yang berhenti merokok mengikut status sosioekonomi berasaskan kumpulan kajian, yang menghalang untuk kami melakukan analisis lanjutan. Bukti yang lebih banyak berpotensi untuk mengubah atau menguatkan penemuan kami.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 1 Mei 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).