Langkau ke kandungan utama

Apakah kemungkinan manfaat dan kemudaratan rawatan bukan ubat dan bukan pembedahan untuk sakit pinggang yang tidak spesifik?

Mesej Utama

Untuk sakit pinggang akut (sakit yang berlarutan dalam tempoh kurang daripada 6 minggu)

• Nasihat untuk kekal aktif mungkin mengurangkan sakit dan meningkatkan fungsi dibandingkan nasihat untuk berehat di atas katil.

Untuk sakit pinggang sub-akut (sakit yang berlarutan dari 6 hingga 12 minggu)

•Terapi pelbagai disiplin mungkin mengurangkan kesakitan berbanding penjagaan biasa.
• Manipulasi tulang belakang mungkin tidak meningkatkan fungsi berbanding plasebo (rawatan 'palsu’ atau ‘olok-olok' yang direka untuk menyerupai rawatan sebenar tetapi kekurangan bahan aktif atau kesan terapeutik yang dimaksudkan).

Untuk sakit pinggang kronik (sakit yang berlarutan melebihi tempoh 12 minggu)

• Akupunktur mungkin mengurangkan sakit dan meningkatkan fungsi berbanding plasebo dan tiada rawatan/penjagaan biasa.
• Terapi senaman mungkin mengurangkan sakit dan meningkatkan fungsi berbanding plasebo dan tiada rawatan/penjagaan biasa.
• Rawatan secara tarikan mungkin tidak mengurangkan sakit berbanding tarikan palsu.
• Terapi pelbagai disiplin mungkin mengurangkan sakit dan meningkatkan fungsi berbanding penjagaan biasa.
• Terapi psikologi mungkin mengurangkan kesakitan tetapi tidak menunjukkan perbezaan terhadap fungsi berbanding penjagaan biasa.

Apakah itu sakit pinggang dan bagaimana ia dirawat?

Sakit pinggang adalah keadaan kesihatan biasa yang boleh dikaitkan dengan ketidakupayaan dan kualiti hidup yang rendah. Bagi kebanyakan kes sakit pinggang, penyebabnya tidak diketahui dan digambarkan sebagai sakit pinggang 'tidak spesifik'. Terdapat pelbagai jenis rawatan bukan ubat dan bukan pembedahan yang tersedia untuk individu yang mengalami sakit pinggan dengan tempoh yang berbeza: akut (kesakitan yang berlarutan kurang daripada 6 minggu), subakut (kesakitan yang berlarutan antara 6 hingga 12 minggu) dan kronik (kesakitan yang berlarutan melebihi 12 minggu). Terdapat keperluan untuk menyediakan maklumat berkualiti tinggi yang boleh diakses tentang faedah dan keselamatan rawatan bukan ubat dan bukan pembedahan untuk profesional penjagaan kesihatan dan pesakit untuk menguruskan sakit pinggang dengan lebih baik.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin meringkaskan bukti daripada ulasan Cochrane tentang keberkesanan dan keselamatan rawatan bukan ubat dan bukan pembedahan untuk orang dewasa yang mengalami sakit pinggang yang tidak spesifik.

Apakah yang kami lakukan?
Kami menemui 31 ulasan yang melibatkan 644 kajian dengan 97,183 peserta. Kajian-kajian tersebut melihat kesan 27 jenis rawatan berbeza untuk sakit pinggang.

Apakah yang kami temui?

Bagi pesakit dengan sakit pinggang akut/sub-akut, kami menemui bahawa nasihat untuk kekal aktif mungkin mengurangkan kesakitan dalam jangka masa pendek (iaitu sehingga 3 bulan) berbanding nasihat untuk berehat di atas katil. Kami menemui bahawa terapi pelbagai disiplin mungkin mengurangkan kesakitan dalam jangka masa panjang (iaitu pada 12 bulan atau lebih lama). Manipulasi tulang belakang mungkin tidak meningkatkan fungsi dalam jangka pendek.

Bagi individu dengan sakit pinggang kronik, kami menemui bahawa akupunktur, senaman dan terapi psikologi mungkin mengurangkan sakit dalam jangka masa pendek dan sederhana (iaitu dari 3 hingga 12 bulan). Akupunktur dan senaman juga mungkin meningkatkan fungsi dalam jangka masa pendek dan sederhana. Terapi pelbagai disiplin mungkin mengurangkan kesakitan dan meningkatkan fungsi dalam jangka masa pendek dan sederhana. Rawatan secara tarikan mungkin tidak mengurangkan lesakitan dalam jangka masa pendek.

Kami kurang yakin terhadap kesan rawatan bukan ubat dan bukan pembedahan yang lain untuk sakit pinggang.

Intervensi bukan ubat dan bukan pembedahan mungkin tiada kaitab dengan peristiwa buruk yang serius (iaitu tidak diingini, memudaratkan).

Apakah batasan bukti?

Kami kurang yakin terhadap bukti tersebut kerana mendapati bahawa 38% daripada ulasan tersebut tidak menggunakan kaedah paling menyeluruh yang tersedia. Hampir tiga perempat daripada ulasan tersebut diterbitkan sebelum 2020, bermakna bukti yang terkandung di dalamnya sudah agak lama. Terdapat keperluan untuk mengemas kini ulasan Cochrane berdasarkan panduan yang disyorkan.

Disebabkan tahap kualiti bukti tersebut, kami masih tidak pasti tentang manfaat atau risiko bagi kebanyakan rawatan bukan ubat dan bukan pembedahan yang biasa digunakan dalam rawatan klinikal untuk sakit pinggang. Kami menggalakkan para profesional bagi penjagaan kesihatan, pesakit, dan organisasi yang membiayai penyelidikan berkaitan sakit pinggang untuk menggunakan gambaran keseluruhan ini bagi membuat keputusan yang berinformasi mengenai rawatan sakit pinggang.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Gambaran keseluruhan ini adalah terkini hingga April 2023. Walau bagaimanapun, satu pertiga (10 daripada 31) ulasan tersebut sudah melebihi 15 tahun, bermakna bukti yang terkandung di dalamnya adalah agak lama.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universit Teknologi MARA).

Petikan
Rizzo RRN, Cashin AG, Wand BM, Ferraro MC, Sharma S, Lee H, O'Hagan E, Maher CG, Furlan AD, van Tulder MW, McAuley JH. Non-pharmacological and non-surgical treatments for low back pain in adults: an overview of Cochrane reviews. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 3. Art. No.: CD014691. DOI: 10.1002/14651858.CD014691.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan