Langkau ke kandungan utama

Adakah brexanolone dan zuranolone membantu wanita yang mengalami kemurungan postnatal?

Mesej utama

• Berbanding plasebo (ubat tidak aktif atau 'dummy'), zuranolone boleh membantu lebih ramai wanita dengan mengurangkan gejala kemurungan mereka, tetapi juga meningkatkan bilangan kesan sampingan yang berbahaya dan tidak diingini yang mereka alami.

• Brexanolone boleh memberikan sedikit atau tiada perbezaan terhadap gejala kemurungan wanita berbanding plasebo, dan mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap bilangan kesan sampingan yang tidak diingini dan berbahaya yang mereka alami.

• Kami perlukan kajian yang membandingkan ubat-ubatan ini dengan antidepresan tradisional dan terapi percakapan, serta menilai hasil jangka panjang, untuk lebih memahami manfaat dan mudaratnya.

Apakah itu kemurungan postnatal?

Kemurungan postnatal (juga dikenali sebagai kemurungan postpartum) ialah kemurungan yang bermula dalam tempoh setahun selepas seorang wanita melahirkan anak. Ramai wanita yang terjejas. Ia boleh melibatkan mood murung berpanjangan, hilang minat atau keseronokan dalam perkara yang dahulunya digemari, perubahan selera makan dan tahap tenaga, gangguan tidur serta keyakinan diri yang rendah. Kemurungan postnatal boleh memberi kesan serius dalam jangka masa pendek dan panjang terhadap ibu, bayi dan seluruh keluarga.

Bagaimanakah ia dirawat?

Terdapat beberapa cara untuk merawat kemurungan postnatal. Ini termasuk ubat-ubatan (seperti antidepresan), terapi percakapan atau sokongan berstruktur (contohnya, sokongan rakan sebaya). Jenis rawatan yang ditawarkan bergantung kepada pilihan wanita sendiri, keparahan kemurungan dan kewujudan penyakit lain. Secara am, wanita yang hamil atau menyusukan anak sering bimbang tentang kemungkinan kesan sampingan ubat terhadap bayi mereka.

Syarikat farmaseutikal telah membangunkan rawatan baharu untuk kemurungan postnatal yang bertindak ke atas reseptor otak tertentu. Brexanolone dan zuranolone adalah dua contoh. Sebagai satu kumpulan, ia dikenali sebagai ‘modulator alosterik positif neurosteroid reseptor GABA A ’. Zuranolone diberi dalam bentuk tablet melalui mulut (pengambilan oral); manakala brexanolone diinfusi selama 60 jam (pemberian intravena’). Rawatan baharu ini bertindak lebih cepat berbanding antidepresan tradisional. Walau bagaimanapun, manfaat dan kesan mudaratnya masih belum pasti.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin memahami manfaat dan mudarat modulator alosterik positif neurosteroid reseptor GABA A , seperti brexanolone dan zuranolone, dalam merawat wanita dengan kemurungan postnatal.

Apakah yang kami lakukan?

Pada Januari 2024, kami mencari kajian-kajian berkaitan modulator alosterik positif neurosteroid reseptor GABA A untuk wanita dengan kemurungan postnatal. Kami mencari kajian di mana wanita dirawak untuk mengambil sama ada ubat tersebut atau plasebo. Kajian-kajian ini memberi bukti yang paling dipercayai.

Hasil utama yang kami fokus ialah sejauh mana keberkesanan ubat tersebut. Ini diukur berdasarkan bilangan wanita yang memberi respons positif terhadap rawatan (‘respons’) atau yang tidak lagi memenuhi kriteria kemurungan selepas rawatan (‘remisi’). Kami juga meneliti sama ada wanita dan/atau bayi mereka mengalami kesan yang tidak diingini dan memudaratkan (juga dikenali sebagai ‘kesan buruk’) daripada rawatan tersebut.

Apakah yang kami temui?

Kami temui enam kajian melibatkan 674 orang wanita. Tiga kajian membandingkan brexanolone (intravena) dengan plasebo. Satu lagi kajian membandingkan ubat intravena yang lain dari keluarga yang sama, yang dipanggil ganaxolone, dengan plasebo. Dua kajian membandingkan zuranolone (oral) dengan plasebo. Tiada kajian membandingkan rawatan-rawatan ini dengan ubat-ubatan lain, rawatan biasa (juga dikenali sebagai 'tunggu dan lihat'), terapi percakapan atau bentuk sokongan lain.

Keputusan utama

Neurosteroi oral d GABA A modulator alosterik positif

• Ubat intravena (brexanolone dan ganaxolone) mungkin menghasilkan sedikit atau tidak memperbaik remisi kemurungan, respon, atau keterukan kemurungan berbanding plasebo.

• Kemungkinan terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam peristiwa buruk bagi ibu di antara ubat intravena dan plasebo.

• Ubat-ubat ini mungkin kurang diterima (menyebabkan lebih ramai wanita menarik diri daripada kajian) berbanding plasebo.

• Kajian-kajian tersebut tidak mengukur beberapa hasil lain yang kami minati, termasuk kualiti hidup, keupayaan keibubapaan dan kesan terhadap bayi.

Neurosteroi oral d GABA A modulator alosterik positif

• Ubat oral, zuranolone, mungkin membantu lebih ramai wanita dengan mengurangkan gejala kemurungan mereka (respon dan remisi) berbanding plasebo.

• Zuranolone mungkin meningkatkan bilangan kesan sampingan yang tidak diingini terhadap ibu berbanding plasebo.

• Para wanita mungkin mendapati zuranolone dan plasebo sama-sama boleh diterima (kira-kira jumlah wanita yang sama dalam setiap kumpulan menarik diri awal daripada kajian).

• Berbanding plasebo, zuranolone mungkin mengurangkan keterukan kemurungan pada minggu ke-5 hingga 12 selepas memulakan rawatan.

Zuranolone mungkin meningkatkan keupayaan keibubapaan ibu berbanding plasebo.

Apakah batasan bukti?

Penemuan kami adalah berdasarkan hanya beberapa kajian yang dijalankan sehingga 45 hari selepas rawatan dimulakan. Kesimpulan kami mungkin berubah sekiranya lebih banyak kajian dijalankan. Kami perlu memahami lebih mendalam bagaimana ubat-ubatan ini berbanding rawatan lain untuk kemurungan postnatal, termasuk ubat antidepresan, dalam jangka masa panjang serta keselamatannya semasa penyusuan.

Adakah bukti ini mutakhir?

Bukti ini adalah terkini sehingga Januari 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kavessh Vandaiyar (RSCI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Petikan
Wilson CA, Robertson L, Ayre K, Hendon JL, Dawson S, Bridges C, Khalifeh H. Brexanolone, zuranolone and related neurosteroid GABAA receptor positive allosteric modulators for postnatal depression. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 6. Art. No.: CD014624. DOI: 10.1002/14651858.CD014624.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan