Mesej utama
-
Berbanding dengan plasebo (rawatan dummy atau tidak aktif), perencat pam proton mungkin mengurangkan pembentukan ulser baru. Ia juga sedikit mengurangkan gejala dispepsia (senak perut). Ia boleh mengurangkan komplikasi ulser dan mungkin sedikit meningkatkan kualiti hidup. Mereka boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan memudaratkan, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti.
-
Berbanding dengan antagonis 2-reseptor histamin (juga dikenali sebagai penghadang-H2; ubat-ubatan yang membantu mengurangkan asid perut), perencat pam proton boleh meningkatkan pembentukan ulser baru. Bukti untuk perbandingan ini hanya datang daripada satu kajian.
-
Berbanding dengan misoprostol (ubat yang membantu melindungi lapisan perut daripada kerosakan), perencat pam proton boleh meningkatkan pembentukan ulser baru dan mungkin mempunyai kurang kesan yang memudaratkan, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti. Bukti untuk perbandingan ini hanya datang daripada satu kajian.
Apakah ubat anti-radang bukan steroid, ulser, dispepsia, dan perencat pam proton?
Ubat anti-radang bukan steroid biasanya digunakan sebagai ubat untuk mengurangkan sakit dan keradangan (tindak balas badan terhadap kecederaan atau penyakit). Menggunakan ubat anti-radang bukan steroid untuk masa yang lama boleh mengakibatkan ulser, iaitu luka (kudis) pada lapisan perut atau usus kecil yang mengakibatkan kesakitan dan komplikasi yang serius. Satu komplikasi ialah dispepsia (senak perut atau ketidakselesaan di bahagian atas abdomen (perut)). Perencat pam proton ialah ubat yang mengurangkan pengeluaran asid dalam jus gastrik (yang membantu penghadaman makanan), melindungi perut daripada kerosakan yang disebabkan oleh ubat anti-radang bukan steroid.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin menentukan sama ada perencat pam proton berkesan untuk mencegah dispepsia dan ulser pada orang yang menggunakan ubat anti-radang bukan steroid selama empat minggu atau lebih lama. Kami mencari maklumat tentang kejadian ulser, gejala dispepsia, kesan memudaratkan, komplikasi ulser, dan kualiti hidup.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian sehingga Oktober 2023. Kami menyertakan kajian yang membandingkan perencat pam proton dengan plasebo (rawatan dummy atau tidak aktif), antagonis 2-reseptor histamin (juga dikenali sebagai penghadang-H2; ubat yang membantu mengurangkan asid perut), misoprostol (ubat yang membantu melindungi lapisan perut daripada kerosakan), atau sucralfate (ubat yang merawat dan mencegah ulser dalam perut dan usus kecil) dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak yang menggunakan ubat anti-radang bukan steroid untuk sekurang-kurangnya empat minggu.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 12 kajian yang melibatkan 8760 orang dewasa menggunakan ubat anti-radang bukan steroid. Kajian paling besar melibatkan 2426 orang, dan kajian paling kecil melibatkan 26 orang. Orang ramai menerima salah satu daripada perencat pam proton berikut melalui mulut: esomeprazole, lansoprazole, omeprazole, dan pantoprazole, tetapi kebanyakan kajian menggunakan esomeprazole. Sepuluh kajian membandingkan perencat pam proton dengan plasebo, satu kajian membandingkan perencat pam proton dengan misoprostol serta plasebo, dan satu kajian membandingkan perencat pam proton dengan penghadang-H2, famotidine. Kajian berlangsung sekitar enam bulan; hanya satu kajian berlangsung 12 bulan atau lebih. Syarikat farmaseutikal membiayai tujuh kajian.
Keputusan utama
Berbanding dengan plasebo, perencat pam proton sedikit mengurangkan gejala dispepsia. Perencat pam proton mungkin mengurangkan pembentukan ulser baru berbanding plasebo (terdapat 36 ulser baru bagi setiap 1000 orang dengan perencat pam proton dan 119 ulser baru bagi setiap 1000 orang dengan plasebo). Perencat pam proton boleh mengurangkan komplikasi ulser dibandingkan dengan plasebo (terdapat 4 komplikasi bagi setiap 1000 orang dengan perencat pam proton dan 11 komplikasi bagi setiap 1000 orang dengan plasebo). Perencat pam proton mungkin meningkatkan sedikit kualiti hidup.
Perencat pam proton mungkin meningkatkan ulser baru berbanding penghadang-H2 (terdapat 154 ulser baru bagi setiap 1000 orang dengan perencat pam proton dan 77 ulser baru bagi setiap 1000 orang dengan penghadang-H2).
Perencat pam proton boleh meningkatkan ulser baru dibandingkan misoprostol, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti. Perencat pam proton boleh mengakibatkan kurang kesan yang memudaratkan dibandingkan dengan misoprostol, tetapi bukti adalah sangat tidak pasti.
Kami tidak menemui kajian yang membandingkan perencat pam proton dan sucralfate.
Apakah batasan bukti?
Kecuali perbandingan perencat pam proton dengan plasebo terhadap pembentukan ulser baru dan kualiti hidup, kami mempunyai keyakinan sederhana hingga sedikit terhadap bukti. Kajian adalah sangat kecil, mereka tidak melaporkan ukuran yang kami minati, perbandingan hanya disertakan melalui satu kajian, dan terdapat variasi antara kajian dalam keputusan (beberapa kajian menemui faedah manakala yang lain menemui kemudaratan).
Sejauh manakah ulasan ini dikemas kini?
Bukti adalah terkini sehingga 23 Oktober 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).