Mesej utama
• Disebabkan kekurangan bukti, manfaat taklimat susulan pasca insiden selepas langkah paksaan (pengasingan: mengurung seseorang dalam bilik berasingan, atau kekangan: menghalang pergerakan mereka) bagi individu dengan skizofrenia atau psikosis jenis skizofrenia adalah tidak jelas.
• Penyelidikan masa hadapan tentang kesan taklimat susulan pasca insiden selepas langkah paksaan diperlukan bagi mengetahui sama ada ia mempunyai manfaat untuk individu dengan skizofrenia dan sama ada ia mempunyai kesan sampingan dan kos yang tidak diingini.
Apakah itu skizofrenia, dan apakah yang dimaksudkan dengan pengasingan dan kekangan?
Skizofrenia ialah gangguan kesihatan mental serius yang menjejaskan bagaimana seseorang berfikir, berasa dan bertindak. Skizofrenia dan gangguan psikotik yang berkaitan memberi kesan besar terhadap berjuta-juta orang di seluruh dunia, dan menimbulkan cabaran disebabkan kepelbagaian simptom, beban ekonomi, dan risiko seseorang dikurung di dalam bilik selamat (pengasingan) atau dihalang daripada bergerak (kekangan), terutamanya jika mereka bertindak ganas. Taklimat susulan pasca insiden dicadangkan sebagai satu cara untuk mengurangkan penggunaan dan tempoh langkah-langkah ini, dan bertujuan memastikan keselamatan sambil mengambil kira isu etika dan potensi kemudaratan psikologi yang mungkin diakibatkan oleh langkah-langkah tersebut.
Pengasingan ialah satu langkah paksaan, yang bermaksud mengurung seseorang di dalam bilik berasingan di wad psikiatri. Kekangan bermaksud menghalang seseorang daripada bergerak, secara manual oleh anggota kakitangan, atau dengan peralatan tertentu seperti tali pinggang. Langkah-langkah ini patut digunakan sebagai langkah terakhir untuk mengelakkan seseorang daripada mencederakan diri sendiri atau orang lain. Taklimat susulan pasca insiden boleh digunakan selepas langkah-langkah paksaan ini dan ia merupakan satu bentuk terapi perbualan. Ia bertujuan untuk membolehkan kakitangan dan mereka yang pernah mengalami paksaan untuk belajar daripada peristiwa tersebut dan seterusnya mengelakkan episod paksaan pada masa hadapan.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui manfaat dan kemudaratan taklimat susulan pasca insiden selepas langkah paksaan bagi individu dengan skizofrenia atau psikosis jenis skizofrenia.
Apakah yang dilakukan?
Kami menjalankan carian menyeluruh di pangkalan data khusus untuk mengenal pasti kajian di mana individu dengan skizofrenia dibahagikan secara rawak kepada dua atau lebih kumpulan rawatan bagi menilai taklimat susulan pasca insiden dalam penjagaan psikiatri dewasa.
Apakah yang ditemukan?
Kami menemui satu kajian yang relevan dengan data melibatkan 109 orang. Kajian ini melibatkan taklimat susulan pasca insiden yang diseragamkan sehingga individu meninggalkan hospital. Mereka yang menerima taklimat susulan pasca insiden selepas langkah paksaan berkemungkinan lebih tinggi untuk dikenakan pengasingan semula berbanding dengan mereka yang menerima rawatan standard, namun ini sangat tidak pasti. Bukti yang menyokong penemuan ini adalah berdasarkan satu kajian, dan keyakinan kami terhadap penemuan ini adalah sangat terhad. Tiada bukti yang mencadangkan bahawa individu berasa kurang tertekan semasa atau sejurus selepas kejadian, atau bahawa mereka lebih berpuas hati dengan penjagaan mereka berbanding dengan rawatan standard. Sekali lagi, kami mempunyai keyakinan yang sangat terhad terhadap penemuan ini. Tidak terdapat maklumat yang mencukupi untuk menentukan perubahan dalam tingkah laku pesakit atau kesan tidak diingini atau memudaratkan.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap penemuan ini kerana kami hanya mendapati satu kajian kecil, dan terdapat kelemahan dalam reka bentuk serta pelaporannya. Walaupun taklimat susulan pasca insiden merupakan amalan biasa dalam persekitaran klinikal, tidak terdapat bukti buat masa ini untuk menyokongnya dalam bentuk sedia ada. Penemuan ulasan ini justeru menyarankan peringatan dalam penggunaannya. Ulasan ini menekankan keperluan untuk kajian lanjut berkualiti tinggi bagi menilai dengan lebih teliti kesan taklimat susulan pasca insiden dalam penjagaan pesakit psikiatri di hospital. Sebarang langkah taklimat susulan pasca insiden perlu ditakrif dan diterangkan dengan jelas supaya orang tahu bagaimana dan mengapa ia digunakan dalam amalan harian.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Februari 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kavessh Vandaiyar (RSCI & UCD Malaysia). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.