Soalan ulasan
Adakah pengambilan makanan tambahan asid folik (folat) menjejaskan risiko atau keterukan jangkitan malaria dalam kalangan orang yang mengambil ubat (antifolat) untuk mencegah atau merawat malaria, di kawasan yang lazimnya dijangkiti malaria?
Mesej utama
° Mereka yang menerima makanan tambahan asid folik (sahaja atau dengan zat besi) dan rawatan antifolat antimalaria mempunyai kurang kemungkinan untuk menghapuskan parasit malaria dan mengalami peningkatan dari segi kegagalan rawatan.
° Kajian yang sedia ada adalah tidak mencukupi untuk mengkaji sama ada pengambilan tambahan asid folik pada dos yang lebih rendah, seperti 400 μg, mampu menjejaskan risiko jangkitan malaria atau hasil kesihatan jika dijangkiti. Dos rendah ini adalah disyorkan diambil sebelum dan semasa awal kehamilan sebagai pencegahan kecacatan pada tiub saraf.
Malaria dan kepentingan folat
Malaria ialah penyakit yang disebarkan melalui gigitan beberapa jenis nyamuk betina dan ditemui di lebih 80 negara. Parasit malaria memerlukan folat untuk membesar dan terus hidup, dan beberapa ubat yang digunakan untuk mencegah dan merawat malaria menyasarkan folat. Asid folik (dalam bentuk sintetik folat) disyorkan diambil pada dos 400 μg setiap hari untuk mencegah kecacatan pada tiub saraf. Terdapat beberapa kebimbangan bahawa asid folik (terutamanya dos yang lebih tinggi) boleh menjejaskan malaria dan sejauh mana sesetengah ubat berfungsi untuk mencegah dan merawat malaria.
Apakah yang ingin diketahui?
Ulasan ini dilakukan untuk melihat bagaimana asid folik mempengaruhi risiko dan keterukan malaria dalam kalangan mereka yang mengambil ubat antifolat antimalaria dan tinggal di kawasan yang biasa dijangkiti malaria.
Khususnya, kami berhasrat untuk menjawab soalan-soalan berikut:
Pencegahan: Bagi mereka yang tidak menghidap malaria dan sedang mengambil ubat antimalaria untuk mencegah malaria, adakah makanan tambahan asid folik meningkatkan risiko mereka mendapat malaria atau mengalami hasil yang lebih teruk?
Rawatan: Bagi mereka yang menghidapi malaria dan sedang dirawat dengan ubat antifolat antimalaria, adakah pengambilan tambahan asid folik menjejaskan keberkesanan ubat tersebut dalam merawat malaria?
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang melihat kepada pengambilan asid folik dalam kalangan mereka yang mengambil ubat antifolat antimalaria untuk mencegah atau merawat malaria. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap maklumat yang ditemui berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami memasukkan lapan kajian (3486 orang); tiga adalah kajian pencegahan dan lima adalah kajian rawatan. Kebanyakan kajian menggunakan dos asid folik yang lebih tinggi (
>
1.0 mg) dan juga pengambilan ubat sulfadoxine-pyrimethamine (SP). Kajian pencegahan tidak memasukkan hasil utama yang kami cuba kaji. Dalam kajian rawatan, mereka yang mengambil asid folik dan ubat antimalaria antifolat mempunyai kurang kemungkinan untuk membersihkan parasit malaria daripada badan mereka (hari ke-3) dan lebih cenderung untuk mengalami kegagalan rawatan (sehingga 28 hari selepas rawatan) dibandingkan rawatan yang sama tetapi tanpa asid folik. Kebanyakan kajian yang dimasukkan menyediakan SP antimalaria dan asid folik dengan dos melebihi paras pengambilan yang boleh diterima (had atas;
>
1.0 mg). Hanya satu kajian yang menggunakan asid folik pada dos 400 μg sehari (dos harian asid folik yang disyorkan untuk pencegahan kecacatan tiub saraf); tiada perbezaan dalam pembersihan parasit atau kegagalan rawatan antara kumpulan yang diberi 400 μg sehari asid folik dan kumpulan yang tidak diberi asid folik.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Jumlah kajian yang kecil dan saiz kajian merupakan batasan ulasan ini, dan tiada kajian pencegahan yang melaporkan hasil utama.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga September 13, 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




