Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Apakah kesan pengendalian pesakit di hospital, yang diberikan oleh jururawat dan bukannya doktor terhadap pesakit, proses penjagaan dan kesan ekonomi?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

  • Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara penjagaan yang diberikan oleh jururawat dan penjagaan yang diberikan oleh doktor.

  • Walaupun bukti tidak pasti, dalam sebilangan kecil kes, hasil klinikal (fungsi fizikal dan psikologi, diabetes dan pengurusan ekzema) dan prestasi relatif pengamal (penilaian pesakit / tepat penilaian, mengikuti cadangan amalan, pengurusan ubat, mengenal pasti polip dan tempoh masa untuk memulakan prosedur) boleh bertambah baik.

  • Kajian masa depan yang menggunakan kaedah rawak untuk menempatkan pesakit ke dalam kumpulan rawatan diperlukan di negara-negara berpendapatan sederhana.

Apakah yang dimaksudkan dengan penjagaan yang diberikan oleh jururawat dan bukannya doktor?

Penjagaan yang diberikan oleh jururawat dan bukannya doktor merujuk kepada apabila tugas atau peranan yang biasanya dijalankan oleh doktor dilakukan oleh jururawat. Ini boleh termasuk, tetapi tidak terhad kepada, mengambil sejarah pesakit dan menjalankan pemeriksaan fizikal, memesan ujian, menetapkan ubat dan menyediakan pendidikan pesakit. Jururawat bertanggungjawab untuk memberikan penjagaan yang sama kepada pesakit. Jururawat boleh mengambil peranan ini secara bebas daripada doktor atau menjalankannya di bawah pengawasan doktor.

Terdapat tekanan ketara ke atas perkhidmatan penjagaan kesihatan disebabkan populasi yang semakin tua, penyakit kronik, beban kerja yang tinggi, rawatan yang mahal dan kekurangan doktor. Untuk memberikan penjagaan yang berkualiti tinggi, sesetengah negara menggantikan doktor dengan jururawat yang terlatih, sekali gus membolehkan akses kepada penjagaan yang baik di samping mengawal kos penjagaan.

Apakah yang ingin diketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada:

  • penjagaan yang diberikan oleh jururawat berbeza daripada penjagaan yang diberikan oleh doktor terhadap pesakit, proses penjagaan dan kesan ekonomi di hospital;

  • Hasil daripada penjagaan yang diberikan oleh jururawat bagi menggantikan doktor berbeza mengikut: lokasi penjagaan kesihatan, jenis pesakit, penyakit pesakit, jenis intervensi, gred jururawat, latihan tambahan yang diberikan, tahap tanggungjawab jururawat dan kaedah penggantian.

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mencari kajian yang membandingkan penjagaan yang diberikan oleh jururawat dan bukannya doktor di hospital. Kami mengambil kajian yang mengkaji kesan kepada pesakit (kematian, peristiwa keselamatan pesakit, hasil klinikal, kualiti hidup dan keberkesanan kendiri), kesan proses penjagaan (prestasi relatif pengamal), dan kesan ekonomi (kos langsung).

Apakah yang ditemukan?

Kami mengambil 82 kajian yang dijalankan di seluruh dunia, yang kebanyakannya dijalankan di UK (32 kajian). Kajian-kajian tersebut melibatkan sejumlah 28,041 peserta, dengan saiz antara 7 hingga 1907 peserta. Kebanyakan kajian berlangsung selama 12 bulan, dan dua kajian berlangsung sehingga lima tahun. Beberapa kajian berakhir dengan pesakit dibenarkan keluar atau selepas prosedur.

Keputusan utama

  • Kami menemui bahawa menggantikan jururawat dengan doktor mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan dalam kematian; memberikan sedikit atau tiada perbezaan dalam isu keselamatan pesakit; dan memberikan sedikit peningkatan dalam beberapa hasil klinikal ( fungsi fizikal dan psikologi, diabetes dan pengurusan ekzema). Menggantikan jururawat untuk doktor mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti hidup dan keberkesanan kendiri, dan sedikit peningkatan dalam beberapa prestasi relatif ukuran pengamal (penilaian pesakit / tepat penilaian, mengikuti cadangan amalan, pengurusan ubat, mengenal pasti polip dan tempoh masa untuk memulakan prosedur). Tidak jelas sama ada penggantian jururawat dengan doktor mempunyai kesan ke atas kos langsung.

  • Dalam sesetengah kes, kualiti hidup adalah lebih baik apabila jururawat menggantikan doktor di negara-negara berpendapatan sederhana, tetapi prestasi relatif pengamal adalah lebih baik di negara berpendapatan tinggi.

  • Apabila mempertimbangkan perbezaan mengikut jenis penyakit, kami menemui terdapat beberapa peningkatan dalam prestasi relatif pengamal bagi pesakit yang menghidap penyakit kardiovaskular yang menghadiri klinik yang diketuai oleh jururawat.

  • Apabila mempertimbangkan pelbagai jenis penggantian jururawat-doktor, kami menemui bahawa kesan klinikal boleh lebih baik apabila penjagaan diberikan oleh jururawat dan bukannya doktor di klinik yang dipimpin oleh jururawat dan penjagaan pesakit dalam hospital. Tiada perbezaan ditemukan untuk kematian, peristiwa keselamatan pesakit, kualiti hidup atau efikasi kendiri. Tidak jelas sama ada terdapat sebarang perbezaan dalam prestasi relatif pengamal.

  • Apabila mempertimbangkan gred jururawat, kami menemui terdapat sedikit isu keselamatan pesakit apabila jaga diberikan oleh jururawat yang lebih pakar. Tiada perbezaan antara gred jururawat dalam jumlah kematian, hasil klinikal, kualiti hidup dan efikasi kendiri.

  • Sedikit kajian menyediakan latihan tambahan untuk pengamal jururawat pakar atau lanjutan berbanding jururawat berdaftar. Tiada perbezaan ditemukan apabila kami mempertimbangkan latihan tambahan dan tahap tanggungjawab untuk mana-mana hasil kami.

  • Berkenaan cara penggantian, hasil menunjukkan prestasi relatif pengamal yang lebih baik untuk penjagaan standard dan peningkatan penjagaan apabila jururawat menggantikan doktor.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami hanya mempunyai keyakinan sedikit-sederhana terhadap bukti disebabkan oleh perbezaan dalam kalangan peserta, intervensi dan pengukuran hasil. Di samping itu, hanya sebilangan kecil kajian dijalankan di negara-negara berpendapatan sederhana.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini setakat 25 Jun 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah ole Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Butler M, Kirwan M, Mc Carthy VJC, Cole JA, Schultz TJ. Substitution of nurses for physicians in the hospital setting for patient, process of care, and economic outcomes. Cochrane Database of Systematic Reviews 2026, Issue 2. Art. No.: CD013616. DOI: 10.1002/14651858.CD013616.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan