Mesej utama
-
Adalah tidak jelas jika ubat titis mata boleh mengurangkan respon imun di permukaan kelopak mata, seperti kortikosteroid dan cyclosporine, mempunyai sebarang kesan ke atas tanda-tanda dan gejala blefaritis pada minggu-minggu ke-4 hingga ke-12. Terdapat bukti terhad gabungan penggunaan kortikosteroid topikal beserta antibiotik mungkin memberi lebih pengurangan penstainan kornea berbanding antibiotik sahaja.
-
Lebih banyak kajian diperlukan untuk menilai manfaat dan mudarat ubat-ubatan mata secara standard untuk gejala-gejala dan tanda-tanda blefaritis.
Apakah blefaritis?
Blefaritis adalah keadaan mata yang lazim. Ia merujuk kepada kelopak mata yang bengkak dan gatal akibat keradangan. Gejala-gejala blefaritis termasuklah rasa berpasir, pedih, kegatalan dan koyakan, yang merupakan antara aduan paling kerap di klinik mata. Terdapat pelbagai punca blefaritis, termasuk jangkitan, kelenjar minyak tersumbat, atau keadaan-keadaan kulit.
Bagaimanakah blefaritis dirawat?
Kebersihan kelopak mata ialah rawatan awal untuk blepharitis, yang merangkumi pemanasan kelopak mata dan menggosok kelopak mata. Pemanasan kelopak mata boleh dilakukan dengan menggunakan tuala panas atau pek haba yang diletak di atas kelopak mata yang tertutup. Dalam sesetengah kes, klinisian mungkin mempreskrib ubat titis mata atau ubat sapu antibiotik untuk mengurangkan atau membasmi bakteria pada permukaan mata. Jika keradangan adalah sangat teruk, klinisian mungkin mempreskrib ubat untuk mengurangkan keradangan, seperti kortikosteroid dan imunosupresan yang tidak mengandungi steroid (ubat yang menghalang sistem imun melawan keradangan), seperti cyclosporine dan tacrolimus. Oleh kerana blefaritis adalah keradangan, ubat titis mata yang mengurangkan respon imun boleh memain peranan sebagai rawatan. Walau bagaimanapun, pada masa ini tiada garis panduan jelas tentang indikasi, tempoh rawatan, dan konsentrasi atau persediaan optimum jenis-jenis ubat mata sedia ada.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin tahu sejauh mana keberkesanan ubat mata, yang bertindak mengurangkan keradangan pada permukaan mata boleh merawat blefaritis.
Apakah yang dilakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang menguji ubat mata untuk merawat blefaritis, dan bandingkannya dengan pelbagai imunosupresan topikal, pada dos yang berbeza bagi ubat yang sama, plasebo (rawatan palsu yang tidak mengandungi sebarang ubat tetapi kelihatan sama dengan ubat yang sedang diuji), rawatan konvensional seperti kebersihan kelopak mata (membersihkan kelopak mata) atau penggunaan air mata tiruan, antibiotik atau tiada rawatan sama sekali. Sebarang kajian yang menguji pelbagai ubat-ubatan pada kedua-dua belah mata dalam seorang peserta dikecualikan.
Apakah yang ditemukan?
Kami sertakan 12 kajian yang melibatkan 2752 peserta (2802 mata) yang menyiasat kortikosteroid topikal (diaplikasi terus ke mata) digunakan bersama atau tanpa antibiotik, cyclosporine topikal, dan tacrolimus topikal sebagai agen imunosupresif. Enam daripada kajian dalam ulasan ini dijalankan di Amerika Syarikat. Titik penilaian dan tempoh rawatan adalah antara 2 hingga 12 minggu.
Apakah keputusan utama ulasan kami?
Kesan jangka panjang ubat mata terhadap gejala-gejala dan tanda-tanda blefaritis melebihi 12 minggu adalah tidak pasti. Kami tidak tahu sama ada kortikosteroid topikal (diguna bersama atau tanpa antibiotik), termasuk cyclosporine, berkesan ke atas skor simptom komposit berbanding plasebo atau antibiotik sahaja.
Tiada kajian yang membandingkan kortikosteroid topikal (dengan atau tanpa antibiotik) dengan plasebo dan menilai masa tear breakup (masa yang diambil untuk titik kering pertama muncul pada permukaan mata selepas berkelip. Penggunaan kortikosteroid topikal bersama antibiotik mungkin tidak memperbaik masa tear breakup berbanding pengunaan antibiotik sahaja. Adalah tidak jelas sama ada cyclosporine topikal memberi kesan kepada masa tear breakup” berbanding plasebo.
Kami tidak tahu sama ada kortikosteroid topikal (dengan atau tanpa antibiotik), termasuk cyclosporine, memberi kesan ke atas penstainan kornea (perubahan warna permukaan mata),berbanding plasebo. Walau bagaimanapun, penggunaan kortikosteroid topikal bersama antibiotik mungkin menunjukkan pengurangan besar penstainan kornea berbanding antibiotik sahaja.
Kortikosteroid topikal mungkin tidak meningkatkan kerengsaan mata dan kelopak mata berbanding plasebo atau antibiotik. Tiada kajian yang membandingkan cyclosporine dengan plasebo dan menilai mudarat.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kekurangan skala universal atau skala standard untuk menilai gejala-gejala dan/atau tanda-tanda blefaritis adalah sebab utama pelbagai reka bentuk alat dalam kajian-kajian ini. Mudarat bagi tempoh jangka masa pendek dan panjang yang berkait dengan penggunaan steroid topikal dan imunosupresan lain harus dinilai dengan teliti dalam kajian-kajian akan datang untuk menjadi panduan sebelum klinisian merangka pelan rawatan. Kajian-kajian berkualiti tinggi diperlukan kerana keyakinan kami terhadap bukti dalam ulasan ini adalah terhad kerana bilangan kajian yang kecil untuk kebanyakan perbandingan, dan tidak semua kajian memberi data tentang semua perkara yang kami minati.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 6 April 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.