Mesej utama
-
Penggunaan larutan penimbal (yang mengandungi bahan yang membantu mengekalkan tahap asid dalam darah stabil) untuk dewasa dan kanak-kanak yang sakit tenat tidak banyak memberi perbezaan atau tiada perbezaan kepada bilangan mereka yang meninggal dunia semasa di hospital, apabila dibandingkan dengan penggunaan larutan 0.9% saline (larutan garam dalam air).
-
Menggunakan larutan penimbal dan bukannya saline mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan pesakit yang mengalami kerosakan buah pinggang secara tiba-tiba yang mempengaruhi cara ia berfungsi (kecederaan buah pinggang akut).
Apakah resusitasi dalam kalangan pesakit yang sakit tenat?
Resusitasi adalah satu set prosedur perubatan yang digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami masalah kesihatan yang serius dan mendesak, terutamanya untuk memulihkan degupan jantung dan pernafasan mereka.
Apakah terapi bendalir intravena (ke dalam vena) yang digunakan dalam resusitasi?
Terapi bendalir adalah larutan garam berasaskan air. Ia digunakan sebagai rawatan perubatan untuk memastikan organ dan tisu badan menerima aliran darah yang mencukupi, menerima cecair yang mencukupi, dan mengekalkan keseimbangan elektrolit (garam). Terapi bendalir merupakan asas rawatan untuk pelbagai keadaan serius, seperti sepsis (tindak balas badan yang mengancam nyawa terhadap jangkitan), luka terbakar, trauma (kecederaan), atau menjalani pembedahan kecemasan.
Kristaloid adalah jenis terapi bendalir yang biasa digunakan dan merangkumi dua kumpulan larutan.
-
Larutan penimbal kristaloid mengandungi bahan (buffer, seperti laktat, bikarbonat, atau asetat) yang membantu mengekalkan tahap pH (keasidan) yang malar dalam darah
-
0.9% saline mempunyai osmolariti (kepekatan bahan terlarut) yang serupa dengan darah, walaupun komposisi elektrolitnya tidak sama. Ia hanya mengandungi sodium dan klorida, yang berada dalam kadar yang lebih tinggi daripada dalam darah.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui manfaat penggunaan larutan penimbal pada dewasa dan kanak-kanak yang sakit tenat (kritikal) (termasuk mereka yang mengalami sepsis, trauma, melecur, atau renjatan) dan belum menjalani pembedahan elektif (dirancang). Kami juga ingin tahu sama ada larutan penimbal menyebabkan sebarang kesan tidak diingini .
Apakah yang dilakukan?
Pada Julai 2023, kami telah mencari pangkalan data perubatan untuk kajian berkaitan yang dikenali sebagai kajian rawak terkawal. Kami telah menyemak semula pada Jun 2025, tetapi kajian yang kami kenal pasti sejak dua tahun lepas masih belum disertakan dalam penemuan kami.
Kami menggabungkan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti yang mereka berikan, berdasarkan faktor seperti saiz dan kaedah yang mereka gunakan.
Apakah yang ditemui?
Kami menemui 34 kajian yang melibatkan 37,859 dewasa dan kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal yang memerlukan terapi cecair intravena. Kebanyakan kajian adalah bersaiz sederhana (antara 22 dan 230 orang), tetapi dua kajian terbesar melibatkan sejumlah 26,854 orang. Kajian-kajian ini dijalankan di 16 buah negara.
Keputusan utama
-
Berbanding dengan saline 0.9%, larutan penimbal tidak banyak memberi perbezaan atau tiada perbezaan terhadap risiko kematian semasa berada di hospital.
-
Larutan penimbal mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada risiko kecederaan buah pinggang akut.
-
Bukti sangat tidak pasti tentang kesan larutan penimbal terhadap risiko disfungsi sistem organ (sistem badan gagal berfungsi secara normal).
-
Bukti juga sangat tidak pasti tentang kesan larutan penimbal terhadap elektrolit sodium dan kalium. Larutan penimbal boleh mengurangkan kepekatan klorida dan boleh meningkatkan tahap pH dan kepekatan bikarbonat.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami yakin dengan bukti yang membandingkan bilangan kematian apabila larutan penimbal digunakan dibandingkan apabila saline 0.9% digunakan.
Kami sederhana yakin dengan bukti untuk kecederaan buah pinggang akut . Kami tidak mempunyai keyakinan sepenuhnya kerana penilaian fungsi buah pinggang (seberapa baik buah pinggang berfungsi) mungkin telah dipengaruhi oleh pengetahuan doktor sama ada seseorang yang mengambil bahagian dalam kajian ini menerima larutan penimbal atau saline 0.9%. Ada kemungkinan kajian masa hadapan boleh menemui keputusan berbeza.
Kami tidak yakin dengan bukti tentang disfungsi sistem organ kerana ia hanya berdasarkan beberapa kes, dan kajian yang paling banyak menyumbang kepada keputusan tidak melaporkan dengan jelas bilangan orang atau keputusan, dan kami tidak mendapatkan maklumat lanjut.
Kami tidak yakin dengan bukti tentang keabnormalan elektrolit kerana bukti tersebut berdasarkan terlalu sedikit kajian untuk memastikan penemuan tersebut.
Siapa yang membayar kajian tersebut?
Dua puluh kajian dibiayai oleh kerajaan atau organisasi bukan berasaskan untung; empat menerima dana campuran; satu dibiayai oleh sebuah syarikat, tetapi tidak jelas perniagaan apa yang dijalankan oleh syarikat itu; dan sembilan kajian tidak memberikan butiran tentang dana.
Adakah ini ulasan yang terkini?
Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti di dalamnya adalah berdasarkan carian yang kami lakukan pada Julai 2023. Kami menjalankan carian selanjutnya pada Jun 2025 dan akan memasukkan keputusan tersebut dalam kemas kini ulasan kami yang seterusnya.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Manisha Coran (RCSI & UCD Malaysia Campus). Dikemaskini oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




