Mesej utama
-
Gabungan terapi manual dengan senaman mungkin menunjukkan peningkatan fungsi sederhana, tetapi sedikit atau tiada pengurangan dalam sakit leher berbanding dengan rawatan plasebo (sham).
-
Gabungan terapi manual dengan senaman boleh menyebabkan pengurangan sakit leher dan senaman sederhana meningkatkan fungsi dan kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan berbanding dengan tanpa rawatan.
-
Terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam peristiwa-peristiwa buruk (yang tidak diingini atau memudaratkan), seperti rawatan untuk sakit, sakit kepala, atau pening.
Apakah sakit leher?
Sakit leher adalah keadaan yang biasa yang boleh melemahkan dan membawa kepada kos ekonomi yang besar. Gejala boleh menjadi akut (< 4 minggu), subakut (4 hingga 12 minggu), atau berterusan (> 12 minggu). Sakit leher boleh mengakibatkan kelemahan atau kekebasan pada tangan dan boleh termasuk rujukan untuk sakit kepala, bahagian atas belakang, dan lengan. Sakit leher boleh berpunca daripada tulang, sendi, saraf, otot, atau tisu lembut, dan boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor sosial, psikologi, dan peribadi.
Bagaimanakah sakit leher dirawat?
Rawatan untuk sakit leher melibatkan terapi manual yang digabungkan dengan senaman. Terapi manual terdiri daripada teknik amali yang digunakan untuk menggerakkan atau memanipulasi tisu-tisu lembut, sendi, atau saraf. Komponen senaman mungkin melibatkan regangan, pengukuhan, kawalan motor, kardiovaskular dan senaman minda-badan (contohnya yoga).
Apakah yang ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui tentang manfaat dan risiko terapi manual dengan senaman.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari kajian yang mengkaji terapi manual dengan senaman berbanding dengan rawatan plasebo atau tiada rawatan dalam orang dewasa yang mengalami sakit leher. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian, konsistensi dapatan, dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami telah menemui sembilan kajian yang melibatkan 694 orang dewasa. Kajian telah dijalankan di Amerika Utara, Eropah, Asia, dan Pasifik.
Terapi manual dengan senaman berbanding dengan rawatan plasebo pada susulan jangka pendek (hampir empat minggu).
-
Kesakitan (9% manfaat sebenar): Orang yang menggunakan terapi manual dengan senaman mungkin menunjukkan sedikit atau tiada peningkatan sebanyak 0.91 mata pada skala 0- hingga 10-mata, di mana skor yang rendah bermakna kurang sakit.
-
Fungsi (10% manfaat sebenar): Orang yang menggunakan terapi manual dengan senaman mungkin meningkat sebanyak 10.20 mata pada skala 0- hingga 100-mata, di mana skor yang rendah bermakna fungsi yang lebih baik.
-
Kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan (2% manfaat sebenar): Orang yang menggunakan terapi manual dengan senaman mungkin menunjukkan sedikit atau tiada peningkatan sebanyak 2 mata pada skala 0- hingga 100-mata, di mana skor yang lebih rendah bermakna kualiti hidup yang lebih baik.
-
Peserta yang melaporkan kejayaan rawatan dan peristiwa buruk tidak dilaporkan.
Terapi manual dengan senaman berbanding dengan tanpa rawatan untuk susulan jangka pendek.
-
Kesakitan (24% manfaat sebenar): Orang yang menggunakan terapi manual dengan senaman mungkin meningkat sebanyak 2.44 mata pada skala 0- hingga 10-mata, di mana skala yang rendah bermakna kurang sakit.
-
Fungsi (14% manfaat sebenar): Orang yang menggunakan terapi manual dengan senaman mungkin meningkat sebanyak 13.84 mata pada skala 0- hingga 100-mata, di mana skor yang rendah bermakna fungsi yang lebih baik.
-
Kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan (24% manfaat sebenar): Orang yang menggunakan terapi manual dengan senaman mungkin meningkat sebanyak 24.80 mata pada skala 0- hingga 100-mata, di mana skor yang rendah bermakna kualiti hidup yang lebih baik.
-
Kejayaan rawatan yang dilaporkan oleh pesakit mempunyai bukti yang sangat tidak pasti semasa menggunakan terapi manual dengan senaman.
-
Peristiwa-peristiwa buruk yang tidak serius: Terdapat peningkatan sebanyak 2% dalam risiko peristiwa buruk sementara yang tidak serius seperti sakit, sakit kepala, atau pening. Hal ini bermakna 2 daripada 100 orang yang telah melaporkan peristiwa-peristiwa buruk dalam kumpulan rawatan dan 1 daripada 100 orang yang melaporkan peristiwa buruk yang tidak serius dalam kumpulan tanpa rawatan.
-
Tiada peristiwa buruk yang serius dilaporkan.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah rendah untuk sebab-sebab berikut. Hal ini mungkin disebabkan peserta dalam kajian tersebut sedar tentang rawatan yang diterima oleh mereka. Walau bagaimanapun, terdapat keterbatasan yang tidak boleh diubah dalam kebanyakan kajian pemulihan. Pelaporan hasil yang diminati pada susulan jangka pendek dan jangka panjang adalah tidak lengkap merentas kajian. Bias ini mungkin mengakibatkan sama ada anggaran yang berlebihan atau berkurang tentang saiz kesan yang dilaporkan. Kejadian peristiwa buruk tidak dilaporkan secara lazim. Bilangan peserta dalam kebanyakan kajian adalah kecil. Perancangan kajian yang berfokus dengan bilangan peserta yang banyak dan jenis pelaporan yang konsisten, intensiti, kekerapan dan tempoh terapi manual dengan senaman adalah diperlukan. Kajian masa depan adalah diperlukan untuk sakit leher akut dan subakut disebabkan oleh ketidakpastian dalam bukti tersedia pasa masa ini.
Adakah bukti ini yang terkini?
Ulasan ini mengemas kini ulasan bukan Cochrane kami sebelum ini. Bukti adalah terkini sehingga Mac 2025.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.